Skip to main content
Penerbitan

IMPIAN MRT WARGA KOTA

By 10 March, 2014February 18th, 2020No Comments

Bas mini yang pernah berdesup di jalan raya Kuala Lumpur masih segar dalam kenangan warga kota. Dengan perkhidmatannya yang cepat dan murah, ianya menjadi pilihan serta menjadi nadi utama pengangkutan awam di dalam ibu negara kita. Perkhidmatan ini yang kadangkala diberi jolokan BMW (Bas Mini Wilayah), dihentikan perkhidmatannya oleh Kerajaan pada tahun 1998. Pemberhentian ini, menjadi suatu petanda yang buruk sekali, iaitu kualiti perkhidmatan pengangkutan awam yang bakal dinikmati oleh penduduk Kuala Lumpur untuk dekad yang seterusnya akan menjadi amat mengecewakan.

Ternyata, petanda itu menjadi suatu realiti. Tetapi, selepas lebih 15 tahun warga kota terseksa dengan sistem pengangkutan awam yang seperti ini, pengumuman Projek MRT Lembah Kelang (KVMRT) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) sudah tentu akan membuatkan semua menarik nafas lega. Baik daripada pengguna pengangkutan awam ini, dan juga rakyat yang sudah bosan dengan kesesakan lalulintas yang sudah menjadi lumrah kehidupan kota.

Begitupun, seperti mana banyak projek-projek kerajaan yang lain, projek KVMRT ini tidak kurang kontroversinya. Paling awal ialah berkenaan dengan pemilihan MMC-Gamuda sebagai kontraktor utama tanpa melalui proses tender. Walaupun Ketua Pengarah Eksekutif MRT Corp mempertahankan langkah tersebut dengan mengatakan ianya dilakukan untuk memastikan projek itu berjalan dengan pantas, tetapi atas dasar ketelusan, kontraktor utama bagi sebarang projek yang melibatkan kepentingan awam mestilah melalui proses bidaan bagi memilih kontraktor yang terbaik. Tetapi ini cuma merupakan masalah kecil, berbanding dengan masalah-masalah lain yang timbul selama projek ini berlangsung.

Pada tahun 2009, kos bagi laluan Sungai Buloh – Kajang yang telah dianggarkan bernilai kira-kira RM12.2 billion. Dua tahun kemudian angka ini naik ke RM18 billion! Pakar analisis kewangan telah mengatakan kenaikan ini berdasarkan kepada kadar kenaikan harga bahan mentah. Benarkah kadar inflasi kita begitu tinggi? Kenaikan ini adalah kira-kira 50 peratus kenaikan daripada harga asal, ataupun kenaikan kira-kira 25 peratus setahun!

Bernama dalam sebuah laporan pada Februari tahun ini mengatakan bahawa kos projek ini tidak akan lebih dari RM23 billion pula, naik RM5 billion sejak tahun 2011. Keadaan ini meletakkan projek MRT ini sebagai sebagai salah satu projek rel yang paling mahal di dunia.

Dengan kos sebanyak RM23 billion, kos per kilometer bagi projek ini ialah kira-kira RM451 juta. Bandingkan kos ini dengan kos Circle Line Singapura, iaitu pada kira-kira S$10 billion (RM25.9 billion), memberkan jumlah kos per kilometer sebagai RM725 juta. Mungkin sekali pandang kita lihat seperti kos Circle Line Singapura lebih mahal, tetapi, Circle Line yang berjarak 35.7 km seratus peratus dibina bawah tanah. KVMRT bagi laluan Sungai Buloh – Kajang mempunyai laluan sejauh 9.5 kilometer yang dibina bawah tanah. Menurut penganalisis, 40 peratus kos pembinaan disalurkan ke laluan bawah tanah, lalu memberikan kos per kilometer laluan bawah tanah ini ke RM968 juta.

Ini menunjukkan bahawa Singapura boleh membina projek MRT bawah tanah dengan kadar 25 peratus lebih murah daripada kos yang dikenakan pada kita. Sungguh menghairankan. Dari segi pasaran buruh, sudah tentu kita mempunyai tenaga buruh yang jauh lebih murah daripada Singapura.

Di China, Hangzhou Metro Line 1 yang dibina oleh MTR Corporation menelan belanja sebanyak USD$3.5 bilion atau kira-kira RM11.4 billion. Dengan jarak kira-kira 48 kilometer, kos per kilometer projek ini ialah RM237.6 juta. Di Indonesia, fasa pertama MRT mereka yang sejauh 15.7 kilometer akan menelan belanja sebanyak USD$1.5 bilion (RM4.9 bilion) atau RM312 juta per kilometer. Jelasnya kedua-dua projek di dua buah negara yang jauh berbeza dari segi aspek sosio-ekonomi, membina kemudahan ini dengan harga yang jauh lebih murah sekiranya dibandingkan dengan kos per kilometer keseluruhan KVMRT. Apatah lagi dengan keadaan geografi yang dihadapi oleh projek Hangzhou Metro Line 1 yang melalui tanah dibawah Tasik Xi Hu dan Sungai Qiantang yang memerlukan penggunaan teknologi yang canggih dan rumit.

Jadi apa yang berlaku sebenarnya? Kerajaan perlu memberikan penjelasan yang terperinci kenapa kos projek ini menjadi begitu tinggi sekali, kerana penjelasan yang diberikan tidak masuk akal sama sekali.

Yang pasti, projek ini merupakan salah satu lagi projek yang menunjukkan kegagalan kerajaan dalam pengurusan projek secara teratur dan telus. Untuk ini, negara kita sangat memerlukan pemerhatian yang teliti daripada semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan pengurusan kewangan projek adalah lebih teratur, seterusnya memastikan projek-projek yang diusahakan menepati piawaian yang ditetapkan. Saranan saya, kerajaan mestilah bersedia membuka pintu mereka untuk sama-sama duduk berbincang dengan wakil-wakil daripada semua parti politik, NGO dan orang ramai yang ingin memberikan maklumbalas yang membina ke arah kebaikan bersama. Kerajaan perlu akur, walaupun mereka memegang tampuk kuasa, itu tidak bermakna mereka boleh mengenepikan suara-suara pihak lain, terutamanya daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat Malaysia.

Cadangan demi cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk pelbagai isu yang memberi kesan kepada rakyat kebanyakan telah saya ajukan kepada kerajaan. Sekiranya kerajaan Barisan Nasional benar-benar ikhlas untuk melakukan rekonsiliasi, proses membuat keputusan dalam isu-isu negara perlu dilakukan secara lebih inklusif tanpa melibatkan kepentingan individu tertentu. Ini termasuk dengan isu pengangkutan awam yang sudah lama menghantui masyarakat kota. Jangan jadikan impian MRT warga kota sebagai pemangkin menambahkan kekayaan kroni sahaja.