Berikutan adalah ucapan saya di Parlimen pada hari terakhir sidang Parlimen ke dua belas, sesi pertama:
“Saya menjurus kepada kontradiksi halangan berpolitik yang tertera dalam akta pindaan [private institutions act] ini. Ini berhubung dengan apa yang dinyatakan oleh YB Kubang Kerian. Cakap pelajar tak boleh berpolitik, tentulah apa yang dimaksudkan adalah politik pembangkang.
“Kerana pada masa yang sama, terdapat institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan dan dikawal oleh parti politik secara langsung dan tidak langsung. Sebagai contoh: ASIAN INSTITUTE OF MEDICINE, SCIENCE & TECHNOLOGY (AIMST) dimiliki oleh MIC.
[Petikan akhbar bernama 21 Februari, 2009 18:37 PM] Yang menjelaskan bahawa MIED dan AMIST milikan MIC mula disiasat.KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) — Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), sebuah entiti pendidikan MIC yang diberi tanggungjawab membina dan mengurus Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Koh Hong Sun hari ini mengesahkan bahawa JSJK telah memulakan siasatan ke atas pembinaan dan penyelenggaran AIMST selepas anggaran kos awal universiti itu melonjak dari RM230 juta kepaad RM500 juta di akhir tempoh pembinaan awal tahun lepas.
AIMST, yang terletak di Semeling, Kedah, mula dibuka 18 bulan lalu sebagai hasrat MIC memiliki dan menguruskan sebuah universiti. Penubuhan AIMST, yang diilhamkan oleh Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, dibina atas sumbangan ikhlas orang ramai, derma dan pungutan dari setiap cawangan MIC di negara ini.
Kami memulakan siasatan selepas beberapa laporan polis diterima mengenai perkara itu. Kami juga telah mengambil keterangan dari beberapa pemegang jawatan dalam MIED dan siasatan sedang diteruskan,” kata Koh kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
“Pelbagai universiti-universiti di negara kita juga dimiliki oleh parti komponen Barisan Nasional. Sebagai contoh:
- Universiti Tengku Abdul Rahman (UTAR) dimiliki oleh MCA. Pengerusi Majlis Universiti Tunku Abdul Rahman adalah Tun Dr Ling Liong Sik yang merupakan bekas presiden MCA ketika era Tun Mahathir dulu.
- Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dikuasai oleh UMNO.Dalam perhimpunan Agung UMNO 2005, Perdana Menteri menyatakan UMNO tidak bercadang untuk menubuh universitinya sendiri sebaliknya akan memperkukuh lagi Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) sebagai platform pendidikan terpentingnya.
- Wawasan Open University (GERAKAN). Move IT: Gerakan Pasir Gudang to menganjurkan makan malam amal untuk WOU.
“Selain itu, syarikat-syarikat berkendalian kerajaan (GLC) turut menceburi bidang pengajian institusi tinggi. Adakah ini tidak melanggar prinsip di dalam akta ini? Kita gunakan contoh-contoh tersebut:
- Multimedia Universiti Malaysia (MMU) dimiliki Telekom Malaysia
- Uniten dimiliki Tenaga Nasional
- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dimiliki penuh oleh Petronas
“Institusi pendidikan yang dikuasai oleh parti politik boleh digunakan dan telah digunakan untuk tujuan politik dan kempen politik. GLC boleh dipengaruhi oleh parti politik terutamanya parti yang mentadbir. Jadi kontradiksi jelas ini perlu diperbetulkan, dengan memberi kembali hak kepada pelajar untuk berpersatuan.
Inikan tidak, melalui pindaan ini, pelajar-pelajar IPTS dilarang menjadi ahli atau mempunyai apa-apa penggabungan, persekutuan atau urusan lain dengan persatuan, pertubuhan, badan, kumpulan orang, kesatuan sekerja dan parti politik.
“Tambahan kepada semua ini, penambahan IPTS yang berstatus Universiti dan Kolej Universiti kini tumbuh bagai cendawan. Persoalan saya adalah, mengapa kayu ukur untuk menentukan sesebuah Kolej Universiti begitu longgar?Saya beri contoh institusi-institusi yang baru dan kurang berprestij, seperti Twintech dan Cosmopoint. Persoalan saya:
Kolej Cosmopoint ditubuhkan pada tahun 1991. dan hanya membekalkan program bertaraf diploma and sijil sebelum dinaiktaraf sebagai Kolej Universiti (Kuala Lumpur Metropolitan University College) yang boleh membekalkan ijazah sendiri pada tahun 2006.
“Sebagai bandingan, institusi-institusi seperti Taylor’s College dan INTI college telah banyak membekalkan program ijazah (3+0 atau twinning dengan universiti di dalam dan luar negara) serta program pra-universiti antarabangsa (GCE A-Levels, Canadian Pre-University, South Australian Matriculation) sebelum diberikan status Kolej Universiti.
Mengapa tiada penyeragaman dalam menganugerahkan status kepada mana mana kolej universiti. Perkara sebegini akhirnya melunturkan kualiti institusi-insitusi pendidikan –tidak ada ketelusan, konsistensi dan juga wujud banyak percanggahan –seperti dibangkitkan oleh YB sebelum ini –akhirnya kita juga yang rugi.