Pertanyaan
Yang Berhormat Lembah Pantai pula menyatakan terdapat kira-kira 17 ribu orang yang telah memohon mykad hijau di Sabah tetapi hanya 1000 orang sahaja yang diluluskan.
Jawapan dan Penjelasan
Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan JawatanKuasa Task Force pada 1 Novemeber 2008 bertujuan untuk menyelesaikan permohonan permit masuk dan kewarganegaraan yang tertunggak. Selain itu, penubuhan Jawatan Kuasa Task Force juga bertujuan untuk menangani masalah rakyat yang tiada sijil lahir dan kad pengenalan.
Dibawah Jawatankuasa Task Force ini, Jabatan Pendaftaran Negara telah mengadakan “Program MyDaftar” bagi seluruh Semenanjung dan “Program Unit Khas Bergerak” bagi negeri Sabah dan Sarawak. Tujuan kedua-dua program ini dilaksanakan adalah untuk menangani masalah rakyat yang tiada dokumen pengenalan diri dan “stateless person” di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai ramai penduduk yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Mulai 26 November 2008 hingga 14 februari 2009, program MyDaftar telah dilaksanakan di negeri Perak, Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Hasil daripada program tersebut, Jabatan Pendaftaran Negara telah menerima sebanyak 150 Permohonan Daftar Lewat Kelahiran terdiri daripada 111 permohonan oleh kaum India, 37 Melayu, 1 Cina dan 1 Orang Asli. Jumlah Daftar Lewat Kad Pengenalan yang diterima pula adalah sebanyak 46 permohonan yang terdiri daripada 36 permohonan oleh kaum India, 9 Melayu dan 1 Cina. Jumlah keseluruhan permohonan Daftar Lewat Kelahiran Daftar dan Lewat Kad Pengenalan yang diterima adalah 196 kes.
Permohonan daftar lewat kelahiran dan kad pengenalan yang diterima melalui Program MyDaftar sehingga 14 Februari 2009 akan selesai diproses pada akhir bulan April 2009. Kedua-dua program ini akan dijalankan secara berterusan.
Berhubung dengan isi stateless person, Jabatan Pendaftaran Negara telah mengeluarkan semila Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (Kad Pengenalan Hijau) mulai 6 Oktober 2008 setelah ditamatkan pengeluarannya pada bulan Januari 2005. Jumlah Kad Pengenalan Hijau yang telah dikeluarkan sehingga tarikh tersebut adalah sebanyak 38,672.
Salah satu kategori pemohon yang layak memohon Kad Pengenalan Hijau adalah mereka yang berstatus stateless iaitu orang-orang yang dilahirkan di Malaysia dan memiliki Sijil Lahir Malaysia. Dalam Sijil Lahir tersebut tiada maklumat ibu/bapa dan tidak dicatatkan nombor dokumen kedua-duanya atau nama ibu/bapa dicatatkan tetapi nombor dokumen tidak dicatatkan.
Sehingga 25 Februari 2009, sebanyak 8,616 Kad Pengenalan Hijau telah dikeluarkan kepada stateless persons. Baki sebanyak 30,056 pemegang Kad Pengenalan Hijau belum lagi hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat pembaharuan.