Dis 9, Kerinchi : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga sekarang masih tidak memberikan sebarang kata putus tentang proses merobohkan sebuah surau di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur hari ini (Khamis).
Surau Al-Falah yang didirikan sejak 1998 itu telah mendapat satu notis daripada DBKL sebulan yang lalu untuk merobohkan surau tersebut sedangkan surau tersebut pernah mendapat bantuan pembinaan daripada DBKL termasuk perbelanjaan mengecat pada dua bulan lalu.
Berikutan penerimaan notis berkenaan, pengerusi surau terbabit, Encik Jasni Abdullah (gambar) menulis surat pada 16 dan 24 November lalu kepada DBKL memohon agar pihak berkuasa menarik balik notis itu.
Bagaimanapun, setakat hari ini, masih belum menerima sebarang maklum balas daripada DBKL dan Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
“Saya masih lagi dalam proses perundingan dengan DBKL,” katanya.
Beliau juga menafikan surau terbabit adalah madrasah yang ‘mencetak’ ahli-ahli penyokong PAS. Isu roboh surau ini juga kemungkinan berkaitan dengan khabar angin mengatakan tempat itu adalah milik PAS.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Izzah Anwar turut berkesempatan meluangkan masa kira-kira 1 jam bersama hampir 80 mahasiswa dan penduduk kampung untuk menyelesaikan isu ini.
YB Izzah bergegas awal ke surau tersebut setelah mendapat berita tentangnya, kira-kira jam 8.30 pagi untuk mengadakan satu sidang akhbar dengan kumpulan wartawan yang datang membuat liputan.
Menurutnya, beliau sendiri akan berusaha untuk mendapatkan ‘hitam putih’ daripada Datuk Raja Nong Chik berkenaan hal ini dan berharap pihak di sebelah sana dapat memberi ‘kerjasama’ yang baik.
“Saya akan berjumpa dengan dia sendiri dan akan minta penjelasan berhubung satu memorandum yang telah diserahkan oleh penduduk di sini kepada dia 16 dan 24 November lalu.”, jelasnya.
Tambahnya, “Saya akan mewakili penduduk di sini untuk meminta penjelasan sebab apa surau ini dirobohkan kerana menurut maklumat yang dapat, isu roboh ini hanya daripada lisan, tak ada hitam putih lagi.”
http://umtoday.blog.com/2010/12/09/isu-surau-al-falah-dbkl-masih-bisukan-diri/