Skip to main content
Issues Affecting the RakyatLembah PantaiMediaPantai DalamPress Release

Jangan Ketepikan Penjaja Atas Alasan Pembangunan, PTG/DBKL Wajar Memberikan Tapak Perniagaan Yang Lebih Tersusun

By 12 May, 2015February 5th, 2021No Comments

Baru-baru ini, saya telah mendapat aduan daripada beberapa penjaja yang sedang berniaga di sekitar Jalan Kampong Pasir yang mana mereka menerima arahan dari Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG) pada 23 April lepas untuk mengosongkan tapak perniagaan mereka, pada atau sebelum 13 Mei 2015.

Penjaja-penjaja berlesen yang terlibat telah mendakwa bahawa mereka telah lama berniaga di kawasan tersebut dalam lingkungan 5 hingga 40 tahun, dan tidak pernah mengalami sebarang masalah dengan sebarang agensi kerajaan, dan tidak pernah diberikan sebarang amaran samada oleh PTG mahupun DBKL.

Oleh itu, arahan pengosongan tapak yang hanya memberikan masa kira-kira 3 minggu adalah amat tidak berpatutan sama sekali.

Sewajarnya, sebelum mengambil langkah yang amat drastik ini, PTG perlu mengambil langkah proaktif untuk berbincang terlebih dahulu dengan penjaja yang terlibat. Menurut penjaja yang sempat ditemui, sekiranya perlu, mereka boleh bersetuju untuk berpindah, tetapi PTG perlu memberikan masa yang secukupnya untuk mereka berpindah, selain daripada menyediakan tapak khas untuk penjaja-penjaja tempatan ini untuk melakukan aktiviti perniagaan mereka.

Saya sendiri tidak menolak pembangunan yang pesat digiatkan di kawasan Lembah Pantai. Namun pembangunan yang sedang dilakukan ini tidak boleh sama sekali mengenepikan hak-hak penduduk tempatan untuk mencari rezeki yang halal. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu mempunyai perancangan untuk menempatkan penjaja-penjaja ini di tempat yang lebih strategik serta mampu untuk membantu penjaja-penjaja ini terus maju dalam perniagaan mereka.

Janganlah hanya atas nama pembangunan bagi golongan elit, hak-hak penjaja ini diketepikan.

Saya sebelum ini telah pun menulis sepucuk surat kepada Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur untuk merayu menangguhkan arahan ini, selain daripada menuntut penjelasan daripada pihak PTG tetapi sehingga hari ini masih lagi tidak ada apa-apa jawapan daripada pihak PTG.

Oleh itu, saya menuntut agar PTG menangguhkan dahulu arahan pengosongan tapak ini sehingga kebajikan penjaja-penjaja kecil ini dapat dipastikan. Saya menuntut agar pihak PTG dapat mengadakan pertemuan dengan penjaja-penjaja yang terlibat, untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk merungkai kemelut yang melanda.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI