Skip to main content
Issues Affecting the RakyatKesihatanParliament

Jawapan Soalan Bertulis – isu paten dan pengkomersilan hasil penyelidikan

By 25 December, 2009February 18th, 2020No Comments

Soalan

Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan jumlah hasil penyelidikan oleh para saintis negara serta penyelidik universiti yang telah dipatenkan dan telah dikomersilkan. Berapakah jumlah dan peratus dari jumlah keseluruhan kajian yang telah dilakukan digunapakai oleh syarikat tempatan dan antarabangsa?

Jawapan

Tuan yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, data dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sejak tahun 1986 hingga Julai 2009 menunjukkan sejumlah 1369 paten dalam pelbagai bidang telah didaftarkan di Malaysia oleh rakyat Malaysia. Harta intelek kini merupakan salah satu sumber pertumbuhan baru yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memang sentiasa melipatgandakan usaha untuk meningkatkan pendaftaran paten bagi projek-projek penyelidikan yang dibiayai oleh MOSTI dalam RMKe-8 dan RMKe-9. Namun, tidak semua projek yang dibiayai oleh MOSTI boleh dipatenkan dan seterusnya dikomersilkan kerana sesetengahnya adalah penyelidikan asas dan fundamental.
Melalui projek R&D yang dibiayai oleh Kerajaan sejak RMKe-8 hingga kini, sejumlah 1270 harta intelek telah diperolehi. Dari jumlah ini sebanyak 668 adalah paten, 420 adalah hakcipta, 84 adalah reka bentuk industri, dan 98 adalah cap dagang. Jumlah keseluruhan untuk harta intelek bagi RMKe-8 adalah sebanyak 773. Manakala dalam RMKe-9 pula, sejumlah 497 harta intelek telah diperolehi di mana 103 adalah paten, 296 adalah hakcipta, 13 adalah rekabentuk industri dan 85 adalah cap dagang.
Jumlah bilangan projek yang berpotensi dikomersilkan pula bagi RMKe-8 adalah sebanyak 239 projek. Dari bilangan ini sebanyak 204 projek telah Berjaya dikomersilkan dengan hasil jualan sebanyak RM850.80 juta. Bagi RMKe-9 pula, sebanyak 304 projek berpotensi dikomersilkan dan dari jumlah ini terdapat sebanyak 79 projek yang telah dikomersilkan. Bilangan projek dalam RMKe-9 adalah rendah kerana masih terdapat projek yang dalam proses untuk dikomersilkan sehingga penghujung tahun 2010.
Teknologi yang telah dikomersilkan kini telah digunapakai dalam berbagai bidang seperti biofarmasi, pertanian, farmaseutikal, pertanian, industri, kesihatan dan tenaga diperbaharui. Sebagai contoh terdapat sepuluh (10) teknologi telah dipasarkan untuk kegunaan rakyat tempatan manakala sebanyak lapan belas (18) teknologi pula telah berjaya dikomersilkan di luar negara.
Peratusan projek yang telah dikomersilkan dari projek yang telah siap dalam rancangan RMKe-8 adalah sebanyak 8.95% dan peratusan projek yang dikomersilkan dari projek yang telah siap dalam RMKe-9 pula adalah sebanyak 8.54% (RMKe-9 belum tamat).