Soalan
Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan sama ada kementerian mengenakan cukai import ke atas peralatan bagi tujuan penyelidikan. Jika ya, adakah kementerian bercadang memansuhkan cukai import tersebut supaya kos penyelidikan di Malaysia dapat diturunkan.
Jawapan
Tuan yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang berhormat, selaras dengan objektif untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, Kementerian Kewangan menyediakan kemudahan pengecualian duti import ke atas peralatan, mesin dan bahan mentah yang digunakan secara langsung di dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dengan mengemukakan permohonan melalui Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Disamping itu, pengecualian duti import juga disediakan ke atas semua barangan yang digunakan untuk tujuan pembangunan dan penyelidikan oleh agensi penyelidikan awam di bawah Perintah Duti Kastam (Pengecualian) (Pindaan) (No. 2) 1995. Pengecualian ini diberi kepada organisasi atau agensi tertentu bagi memastikan tiada berlaku penyelewengan.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, peralatan, mesin dan bahan mentah yang diimport bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan adalah pelbagai dan umum. Sehubungan dengan itu, permohonan pengecualian cukai ke atas kemasukan peralatan, mesin dan bahan mentah bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan akan di pertimbangkan secara kes berasingan.