Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN menjelaskan
a) Kenapa siasatan ke atas laman web Malaysiakini dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) walaupun langkah tersebut bercanggah dengan Perkara 7 dalam Bill of Guarantee Multimedia Super Corridor (MSC); dan
b) Langkah-langkah yang perlu/telah diambil untuk memastikan tiada lagi sekatan melampaui batas diambil oleh SKMM.
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Kerajaan memberikan jaminan atau dengan izin, Bill of Guarantee, kepada syarikat-syarikat yang memperoleh status Multimedia Super Corridor (MSC). Walau bagaimanapun, jaminan ini tidak memberi sebarang imuniti kepada mana-mana pihak untuk melakukan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara melalui perantaraan Internet malah syarikat-syarikat bertaraf MSC juga perlu memastikan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka dalam Internet mematuhi semua undang-undang negara yang berkaitan.
Berikutan aduan dari orang ramai yang diterima oleh SKMM, satu siasatan telah dijalankan terhadap laman sesawang www.malaysiakini.com berkaitan penyiaran klip video bertajuk “Temple Demo: Residents march with cow’s head” pada 28 Ogos 2009 dan “Hisham: Don’t blame cow-head protesters” pada 2 September 2009 yang telah dimuat naikkan ke dalam laman sesawang tersebut.
Siasatan yang dijalankan adalah kerana SKMM mengesyaki berlakunya pelanggaran terhadap peruntukan Seksyen 211 dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi & Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan bahawa seseorang tidak boleh menggunakan kemudahan perkhidmatan aplikasi kandungan untuk membuat apa-apa komunikasi yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya.
Sehubungan dengan itu, penyiasatan kes ini bukanlah menjurus kepada isu penapisan Internet sebaliknya ianya adalah penyiasatan berdasarkan pelanggaran undang-undang bagi kesalahan yang mungkin atau telah berlaku di bawah AKM 1998.
Seksyen 263 (2) AKM 1998 menetapkan bahawa adalah menjadi kewajipan pemegang lesen membantu SKMM atau pihak berkuasa lain, setakat yang munasabah, untuk mencegah perlakuan sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang Malaysia.
Dalam hal ini, sebagai langkah untuk mencegah perlakuan sesuatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, arahan untuk menyekat laman-laman sesawang dan blog adalah merupakan satu bentuk tindakan yang dibenarkan di bawah AKM 1998. Oleh yang demikian, ia tidak bercanggah dengan peruntukan Subseksyen 3(3) akta yang sama yang tidak membenarkan penapisan Internet.