SOALAN NO. 4
Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menjelaskan, berdasarkan kemungkinaan penggunaan sumber tenaga nuklear di Malaysia sebagai sumber baru dalam penjanaan elektrik menjelang 2025:
a) sudahkah kerajaan meneliti sebab-sebab berlakunya krisis
pengurangan sumber tenaga asli termasuk pengurusan sumber
tenaga yang tidak efisyen?
b) apakah langkah-langkah persediaan yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan negara bersedia dalam penggunaan tenaga nuklear?
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk Makluman Ahli Yang Berhormat,
Bagi menjawab soalan pertama Ahli Yang Berhormat kawasan Lembah Pantai, suka saya jelaskan di Dewan yang mulia ini bahawa negara kita pada hakikatnya tidak menghadapi sebarang krisis tenaga pada masa ini. Bekalan tenaga masih mencukupi walaupun saya tidak menafikan bahawa sektor elektrik negara sememangnya menghadapi kekangan dalam mendapatkan bekalan sumber bahan api utama bagi penjanaan elektrik iaitu gas dan arang batu. Namun, hasil daripada pengurusan sumber tenaga yang mantap oleh Kerajaan, kekangan-kekangan tersebut dapat diatasi tanpa menjejaskan keselamatan pembekalan tenaga negara.
Seterusnya mengenai langkah-langkah persediaan untuk memastikan negara bersedia untuk menggunakan nuklear bagi penjanaan elektrik, suka saya maklumkan bahawa dengan mengambil kira kekangan-kekangan yang dihadapi dalam mendapatkan bekalan arang batu dan gas bagi sektor elektrik, Kerajaan perlu mempelbagaikan sumber bahan api bagi penjanaan elektrik supaya tidak terlalu bergantung kepada gas dan arang batu kerana ia boleh menjejaskan keselamatan bekalan elektrik negara..
Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah membuat keputusan untuk meneliti opsyen penggunaan nuklear bagi penjanaan elektrik sebagai salah satu penyelesaian jangka masa panjang bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik negara pasca 2025. Berdasarkan analisis awal yang dijalankan, negara tidak lagi dapat bergantung kepada sumber-sumber penjanaan elektrik sedia ada iaitu gas, hidro dan arang batu bagi membekalkan bekalan elektrik yang mencukupi, berdaya harap dan pada harga berpatutan. Oleh itu, opsyen penggunaan nuklear bagi penjanaan elektrik tidak dapat diketepikan kerana ia dapat menawarkan opsyen yang menarik untuk memenuhi keperluan elektrik negara.
Sebagai langkah awal, Kerajaan telah memutuskan supaya kajian dilaksanakan untuk meneliti keupayaan dan kesediaan negara untuk melaksanakan program pembangunan nuklear bagi penjanaan elektrik untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik negara pasca 2025. Pelbagai aspek seperti perundangan, kawal selia, pembangunan sumber manusia dan sebagainya akan dikaji untuk menilai kesediaan negara dalam bidang ini. Hasil kajian tersebut akan menyediakan asas yang lebih kukuh dalam membantu pihak Kerajaan untuk menimbangkan opsyen penggunaan nuklear bagi penjanaan elektrik pasca 2025.