Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan apakah langkah segera untuk memastikan setiap pili bomba di setiap unit perumahan kelolaan DBKL berfungsi supaya langkah awal dapat diambil ketika berlaku kecemasan atau kebakaran.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Lembah Pantai, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa memantau dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan dalam memastikan keselamatan penghuni di perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sentiasa terjamin.
Sehubungan dengan itu, setiap PPR dan Perumahan Awam yang dikelolakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dilengkapi dengan pelbagai kemudahan peralatan pencegahan kebakaran. Peralatan-peralatan tersebut adalah seperti berikut:
i) Alat Pemadam Api;
ii) Sistem Pancur Turun (Downcomer System) / Sistem Pancur Basah (Wet Rinser System) / Sistem Pancur Kering (Dry Rinser System);
iii) Sistem Alat Bantu Mula (Hose Reel System); dan
iv) Sistem Pili Bomba (Pillar Hydrant System).
Tuan Yang di-Pertua,
DBKL masih bertanggungjawab ke atas penyeggaraan di perumahan PPR dan Perumahan Awam (PA), sehinga Badan Pengurusan Bersama (JMB) ditubuhkan. Dalam hal ini, DBKL sentiasa memantau penyenggaraan kesemua peralatan pencegah kebakaran melalui kontraktor-kontraktor yang dilantik. Kontraktor-kontracktor ini bertanggungjawab untuk memastikan peralatan-peralatan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik, berfungsi dan selamat untuk digunakan, terutamanya apabila berlaku kes-kes kebakaran.
Di samping itu, dalam usaha untuk memastikan setiap pili bomba sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertanggungjawab melaksanakan langkah-langkah berikut:
i) membuat perancangan pemeriksaan pili bomba secara berkala dengan menetapkan setiap pili bomba diperiksa sekurang-kurangnya dua (2) kali setahun. Pemeriksaan dan pengujian dibuat ke atas pili bomba tersebut berdasarkan keadaan fizikal pili dan tekanan aliran air;
ii) membuat pembaikian segera ke atas mana-mana pili bomba yang rosak;
iii) mengambil tindakan undang-undang melalui Seksyen 23 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Kompaun) ke atas mana-mana orang / pihak yang menyebabkan pili bomba gagal berfungsi; dan
iv) melaksanakan program Skim Teman Pili Bomba di mana penghuni perumahan dilantik sebagai ‘bapa angkat’ kepada pili bomba yang berhampiran dengan perumahan mereka.
Dalam hal ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih bertangungjawab terhadap kemudahan-kemudahan berskala besar di persekitaran perumahan PPR dan Perumahan Awam termasuk pili bomba. Malah, DBKL telah menyediakan sejumlah peruntukan untuk tujuan tersebut. Oleh yang demikian, dalam memastikan supaya langkah awal dapat diambil ketika berlaku kecemasan atau kebakaran, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur amat berharap agar penghuni-penghuni PPR dan Perumahan Awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat bekerjasama menjaga keselamatan peralatan pencegahan kebakaran daripada dicuri atau dimusnahkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.