Skip to main content
Press ReleaseStatements

KEADILAN Kecam Serangan “Malam Berdarah Lembah Pantai”

By 25 May, 2012February 5th, 2021No Comments

KENYATAAN MEDIA
25 Mei 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

KEADILAN KECAM SERANGAN “MALAM BERDARAH LEMBAH PANTAI”

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno, khususnya Umno Lembah Pantai yang dinaungi Raja Nong Chik, yang telah mengganggu program Ceramah Perdana KEADILAN Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai malam tadi, 24 Mei 2012.

Tindakan provokasi samseng puak Umno yang telah membaling batu bata, telur dan botol air mineral ini telah mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kecederaan:

1) seorang pakcik yang terkena batu di kepala; dan
2) seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang mungkin telah patah tangan akibat terkena batu bata di pergelangan tangan.

Dan beberapa orang awam termasuk anggota polis yang hadir juga telah terkena telur yang dibaling pihak Umno.

Kami juga difahamkan beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai telah diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung, dan tayar kereta YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Cukup jelas bahawa tindakan samseng Umno, khususnya Umno Lembah Pantai, untuk mengadakan ceramah yang ditempatkan dalam kawasan kuarters DBKL berjarak 100m dari ceramah KEADILAN adalah suatu tindakan provokasi yang cukup tidak bertanggungjawab. KEADILAN menggesa supaya pihak Polis Di-Raja Malaysia dan DBKL menyiasat bagaimana kuarters tersebut telah dibenarkan untuk digunapakai pihak Umno dan adakah ini merupakan SOP yang sesuai dalam konteks masakini.

Secara dasar, KEADILAN melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam tadi tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir, dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

Episod Malam Berdarah di Lembah Pantai malam tadi jangan harus berulang. KEADILAN menggesa pihak PDRM untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

KEADILAN juga menggesa Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno, Datuk Raja Nong Chik selaku Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai, dan Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda Umno untuk sama-sama mengecam tindakan samseng ini, serta untuk mengatakan TIDAK kepada Politik Samseng. Sekiranya mereka tidak melakukan sedemikian, maka Umno telah melampaui batas dan melangkah garis di mana semua tindakan kekerasan ini merupakan tidak lain tidak bukan suatu “Deklarasi Perang Terhadap Rakyat”, yang memberi restu untuk menyerang Rakyat dan membunuh Demokrasi.

Akhir sekali, KEADILAN menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya parti-parti politik seperti Umno, supaya menolak dengan menyeluruh Politik Samseng.

YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN
YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN
Sdr Shamsul Iskandar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN