Kenyataan Media
15 September 2008
KeADILan Tidak Anjur Perarakan ke Istana 16 September
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) telah dimaklumkan tentang adanya beberapa poster dan kain rentang yang telah diletakkan di beberapa tempat di Kuala Lumpur tentang suatu perhimpunan dan perarakan ke Istana Negara pada 16 September 2008 yang kononnya dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat.
KeADILan dengan ini ingin memaklumkan bahawa ia TIDAK sama sekali terlibat dalam penganjuran mana-mana perhimpunan mahupun perarakan ke Istana Negara pada 16 September 2008 seperti yang diwar-warkan. Penyebaran maklumat palsu yang melibatkan PKR ini dilihat sebagai suatu usaha terdesak pihak tertentu yang mahu menimbulkan kekacauan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam dan akan seterusnya menimbulkan kebimbangan kepada warga penduduk Kuala Lumpur.
KeADILan juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang dakyah palsu yang sedang dijaja dan disebar secara meluas oleh golongan jahat yang mengamalkan politik fitnah tentang penglibatan PKR dalam mana-mana aktiviti yang melanggar batas-batas kesusilaan dan prinsip demokrasi, yang secara nyata bertujuan untuk memburukkan pertalian yang baik di antara PKR dan Dulu-Duli Raja-Raja Melayu.
Dato Salehuddin Hashim
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat