Skip to main content
Lembah PantaiMediaPress ReleaseStatements

KENYATAAN AKHBAR Projek “Little India” Brickfields

By 11 May, 2010February 5th, 2021No Comments

KENYATAAN AKHBAR

Projek “Little India” Brickfields: Sejauhmana Perancangan Pembangunan Mempertimbangkan nasib dan kebajikan penjaja dan penduduk setempat?

Pada 7hb Mei yang lalu, atas desakan penjaja dan penduduk Brickfields, Kementerian Pembangunan Wilayah telah bersetuju mempamerkan Pelan Pembangunan Brickfields (blueprint) agar golongan berkepentingan di Brickfields akan dapat memahami serta memperolehi maklumat yang secukupnya berhubung projek pembangunan “Little India” yang bakal dilaksanakan. Sedari awal, saya bersama-sama para penjaja dan penduduk setempat yang prihatin tidak bersetuju dengan cara projek ini hendak dilaksanakan. Kami tidak menolak hasrat Kementerian untuk menaiktaraf kawasan tersebut tetapi kami khuatir projek “Little India” itu dijalankan tanpa mengambil kira pandangan penjaja dan penduduk setempat. Impaknya, kebajikan dan kualiti hidup para penjaja dan penduduk setempat di Brickfields akan terjejas sekiranya projek pembangunan ini diteruskan secara melulu.

Justeru, saya mengusulkan langkah-langkah berikut diambil bagi memastikan projek pembangunan “Little India” dijalankan tanpa memberi kesan negatif kepada para penjaja dan penduduk di Brickfields:

1. Projek “Little India” dijalankan sehingga selesai agar tidak menjadi satu lagi projek terbengkalai Kerajaan Barisan Nasional. Bahkan, proses rundingan bersama rakyat harus diteruskan sekiranya timbul isu-isu yang menjejaskan para penjaja dan penduduk tempatan sepanjang proses pembangunan. Ini adalah kerana penyertaan rakyat dalam pembuatan keputusan adalah kunci kepada pembangunan dan pentadbiran yang adil serta telus.

2. Kedua, saya menggesa pihak yang berkenaan agar dapat memberi jaminan dan perlindungan kepada kebajikan dan kesejahteraan penjaja serta penduduk setempat semasa serta selepas projek pembangunan diselesaikan.

3. Ketiga, memandangkan Brickfields mempunyai bilangan penduduk kurang upaya (OKU) yang agak tinggi, projek “Little India” haruslah memastikan bangunan serta kemudahan awam yang dibina adalah mesra-OKU.

4. Keempat, memandangkan projek “Little India” bakal menjadikan Brickfields satu pusat komersil, saya ingin menggesa, agar kedai-kedai menjual minuman keras tidak berlesen ditutup dan kawalan yang ketat dikenakan ke atas kedai-kedai berlesen. Ini adalah bagi memastikan penjualan minuman keras yang dijangka meningkat ekoran projek pembangunan ini tidak akan menyebabkan masalah sosial yang tidak diingini berlaku terutamanya di kalangan golongan muda di Brickfields.

Bantahan keras saya bersama penjaja dan penduduk Brickfields yang prihatin terhadap cara projek “Little India” hendak dilaksanakan bukanlah untuk mensabotaj atau menghasut orang ramai agar menolak pembangunan yang ingin dibawa oleh Kementerian Wilayah. Sebaliknya, saya percaya bahawa pembangunan yang membawa kebaikan kepada rakyat adalah pembangunan yang tidak mengenepikan suara kecil rakyat yang terjejas hanya kerana mengutamakan pulangan wang semata-mata.

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai