KENYATAAN KELUARGA DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: ZIARAH DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK, PERDANA MENTERI MALAYSIA
Bagi pihak keluarga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas ziarah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini. Perdana Menteri dan isteri sempat menziarahi ayah kami, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sekarang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu, yang kecederaannya menjadi semakin parah akibat pemenjaraan dan kemalangan bulan lepas semasa dalam jagaan Kerajaan Malaysia.
Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon supaya Kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar ayah kami dibenarkan berada di kemudahan perubatan di luar penjara untuk menjalani rawatan, selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh panel doktor yang merawat beliau.
Bagi pihak keluarga, izinkan saya melahirkan sepenuh penghargaan kepada pasukan pakar perubatan serta staf HKL beserta kakitangan penjara di atas rawatan dan pemulihan buat ayahanda kami.
Saya berharap budi bicara yang ditunjukkan setakat ini turut dipanjangkan kepada permohonan untuk membenarkan ayah kami mendapat rawatan di kemudahan perubatan luar penjara untuk tempoh selama yang mungkin.
Muhamad Ihsan Anwar
17 November 2017