Skip to main content

KENYATAAN MEDIA
25 APRIL 2018

DARI PENGKALAN DEKLARASI KE LAPANGAN REFORMASI : LEMBAH PANTAI DAN PERMATANG PAUH DIHATIKU

Ulangtahun ke 36 pemilihan seorang anak muda ke Parlimen Permatang Pauh empat hari lalu, baru sahaja berlalu – apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Berpaksikan prinsip reformasi yang digalas sejak dua dekad lalu, saya Nurul Izzah Anwar menerima penuh keputusan kolektif pucuk pimpinan KEADILAN yang meletakkan saya sebagai calon Parlimen P044 Permatang Pauh.

Sebagai anak jati kotaraya yang lahir dan membesar di Kuala Lumpur, saya yakin khidmat yang diasah selama sepuluh tahun di Lembah Pantai boleh digarap dalam menebar sayap reformasi ke kawasan luar bandar jua.

Cabarannya mungkin sahaja berbeza, tetapi hakikat perjuangannya tetap sama. Pengalaman mengajar saya untuk memberikan komitmen sehabis daya dan kerja keras untuk membawa perubahan positif serta pembangunan sosial buat masyarakat Permatang Pauh.

Pelaksanaan cukai regresif rejim Barisan Nasional telah memberi impak negatif kepada semua rakyat tidak kira di Lembah Pantai mahupun di Permatang Pauh. Ikrar saya adalah menumpukan usaha menjaga kebajikan dan masa hadapan masyarakat Permatang Pauh, yang terus menerus ditekan  dek kos sara hidup tinggi, pelaksanaan GST akibat perbelajaan boros berlapik skandal rasuah, dan kenaikan harga barang di bawah pemerintahan Dato’ Sri Najib Razak dan Barisan Nasional.

Berbekalkan keazaman dan inisiatif yang telah disusun, saya meneruskan tradisi perjuangan menegakkan keadilan buat masyarakat setempat. Saya juga menegaskan fokus untuk mempertingkat kualiti pendidikan dan tahap kehidupan warga Permatang Pauh, memperhebat usaha membangun belia dan memantapkan perkembangan ekonomi Permatang Pauh, demi membentuk komuniti yang lebih maju dan berwawasan.

Saya juga mengumpul tekad dan azam untuk mengambil langkah-langkah segera memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan  menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat

InsyaAllah, keputusan pimpinan Pakatan Harapan agar saya berkhidmat di tempat baru adalah keputusan musyawarah yang perlu saya terima dengan positif. Prinsip kami jelas, dimana ada rakyat untuk diperjuangkan, di situ kami akan berpencak dengan Barisan Nasional.

Buat warga Lembah Pantai, saya bertekad meneruskan tanggungjawab  atas kapasiti Ketua Cabang KEADILAN Lembah Pantai. Saya yakin Lembah Pantai akan menikmati khidmat pemimpin muda yang mahu menabur khidmat pada rakyat dan negara untuk mencapai masa hadapan yang gemilang. Atas dasar peluang keemasan itulah saya nekad terus memastikan pejabat saya terbuka buat khidmat pemerkasaan Pendidikan anak anak setakat kemampuan saya, walau dinafikan peruntukan RM5 juta setahun sepanjang saya bergelar wakil rakyat

Strategi Barisan Nasional dalam menempatkan Calon kitar semula UMNO di Lembah Pantai adalah bukti nyata bahawa pihak UMNO dan Barisan Nasional hanya dahagakan kuasa Parlimen, tetapi gagal mempertahankan hak rakyat ketika harga barang naik, kezaliman GST memuncak dan rakyat semakin sengsara.

Kita temui 9 Mei ini dengan sejarah deklarasi Permatang Pauh demi menempa sebuah Malaysia yang lebih baik. Izinkan saya menumpang semangat pejuang tempatan yang tidak pernah luntur kudratnya, goyah tenaga memperjuangkan suara warga Permatang Pauh serta rakyat Malaysia. Ayuh gamatkan Dewan Rakyat demi kehidupan yang lebih berkualiti dan selesa. Masa depan pastinya milik kita bersama.

NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, KEADILAN