*Hak Sabah dan Sarawak akan dikembalikan
*Lantikan GLC peringkat pusat dari Sabah dan Sarawak akan dipertingkat
*Kerajaan negeri yang berkompetensi, telus, berakauntabiliti dan berintegriti
*Kemampanan pertumbuhan ekonomi, keseimbangan, keterangkuman dan kelestarian alam sekitar
*Pengiktirafan rasmi kepelbagaian etnik Sabah dan Sarawak, bukan ‘lain-lain’
Sabah dan Sarawak adalah dua negeri penting buat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Meskipun mempunyai visi dan misi yang sama dengan pusat, pimpinan KEADILAN Sabah dan Sarawak yang diterajui oleh YB Christina Liew dan YB Baru Bian bukan sahaja menikmati autonomi meluas, termasuk pemilihan calon anak negeri, tuntutan hak spesifik malah sangat komited dalam memperjuangkan isu-isu tempatan yang mencerminkan denyut nadi dan naluri rakyat Sabah dan Sarawak.
Menyedari kedudukan strategik negeri-negeri berkenaan, terdapat dua naratif utama yang sedang dan akan terus digunakan oleh mana-mana parti politik untuk memenangi hati dan minda rakyat Sabah dan Sarawak yakni aspek pembangunan dan autonomi menerusi Perjanjian Malaysia.
Walaupun tiada siapa dapat nafikan peri pentingnya mana-mana parti politik dan wakil rakyat di Sabah dan Sarawak istiqamah memperjuangkan kedua-dua isu ini, saya ingin suarakan kebimbangan saya mengenai 1) masa depan rakyat Sabah dan Sarawak dan 2) kecemerlangan urus tadbir, konsisten dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.
Sebagai rakan kongsi yang sentiasa komited dalam Pakatan Pembangkang , KEADILAN akan terus mempertahankan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia seperti pemulihan autonomi pentadbiran dan penggunaan bahasa rasmi.
Namun, pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan juga perlu lebih proaktif dan agresif memperkasa anak-anak negeri agar mereka dapat sama menikmati kemakmuran dan kesejahteraan hidup dalam sebuah Persekutuan yang berjaya. Justeru, KEADILAN berikrar menambah peruntukan pelantikan ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan dan biasiswa di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan khusus untuk anak-anak Sabah dan Sarawak sekiranya mendapat kepercayaan bersama-sama muafakat parti pembangkang lainnya dalam mengambilalih pentadbiran negeri dan pusat.
Reformasi menyeluruh sistem pentadbiran terutamanya di Sabah perlu dilaksanakan segera demi memastikan kecemerlangan urus tadbir, keluhuran undang-undang dan kesaksamaan sosioekonomi. Jurang antara miskin dan kaya yang semakin melebar merupakan antara petanda wujud pembaziran, ketirisan dan salah tadbir kronik di Malaysia khususnya Sabah. Penemuan jutaan ringgit wang tunai di kediaman pengarah sebuah agensi kerajaan negeri pimpinan UMNO/BN baru-baru ini adalah bukti kukuh bahawa kegusaran saya berasas.
Saya percaya autonomi yang didambakan oleh rakyat Sabah dan Sarawak bukan bertujuan untuk mengasingkan diri dari Persekutuan atau merencat permuafakatan nasional tetapi lebih kepada usaha dan mekanisme untuk menghalang pelbagai sumber negeri daripada diseleweng, disalahguna atau digelapkan oleh pimpinan BN dan kroni.
Oleh itu, sekiranya diberi mandat, kami percaya reformasi dan rombakan yang kami akan jalankan secara tuntas dan komprehensif dapat menjamin kecemerlangan urus tadbir, mencantas rasuah dan salah laku melibatkan dana dan aset awam, memelihara hak dan kepentingan rakyat terbanyak seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi dan pentadbiran awam.
Ini juga melibatkan urusan pentadbiran tanah termasuk tanah milik persendirian. Saya yakin majoriti warga Sabah dan Sarawak menyokong sekiranya proses dan prosedur terutama bagi tujuan pembalakan dan penerokaan ladang-ladang baharu diperketatkan. Sudah-sudahlah hutan tropika warisan berabad lamanya ditebang untuk membuka ladang-ladang.
Tidakkah kita malu berbangga dengan jolokan syurga flora dan fauna bagi Borneo sedangkan hakikatnya dipenuhi ladang kelapa sawit? Itu belum lagi diambilkira kesan jangka pendek dan panjang terhadap alam sekitar dan perubahan iklim sejagat. Jika kerajaan negeri sekarang masih berdolak-dalih, kami pinta, menerusi undi rakyat, biarkan sahaja kami laksanakannya.
Paling utama, sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan, antara perkara pertama yang kami akan pastikan adalah warga Sabah dan Sarawak tidak lagi akan dikategorikan sebagai ’lain-lain. Kita sepatutnya berbangga dengan identiti kita yang kaya dengan kepelbagaian namun kerajaan BN masih gagal menangani hal semudah ini biarpun setelah melewati setengah abad.
Ingin saya tegaskan, setelah KEADILAN di Sabah dan Sarawak dipimpin oleh anak-anak tempatan yang benar-benar faham aspirasi dan keluh-kesah warga kedua negeri ini, saya percaya rakyat Sabah dan Sarawak akan memilih para wakil di kalangan mereka sendiri dan bukannya penyambung lidah, pak angguk dan pak turut pemimpin pusat yang berpengkalan di Semenanjung.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden merangkap Pengarah Pilihanraya Bersama Parti KEADILAN Rakyat