Skip to main content
KENYATAAN MEDIA 
27 DISEMBER 2017 
 
HAMPIR 4 JUTA UNDI POS SEBAGAI TALIAN HAYAT BN DALAM PRU 14 INI?
 
 
Belum selesai kontroversi kemasukan pengundi pos di kerusi-kerusi sasaran Menteri sebelum kem siap, kita kini dikejutkan dengan kenyataan media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menetapkan kategori skim anggota keselamatan dan kesihatan sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum Ke-14. 
 
Semuanya memberi isyarat seolah-olah akan berlaku permainan kotor melibatkan SPR dalam PRU kali ini.
 
Persoalannya, adakah  mereka yang berdaftar sebagai anggota sukarelawan polis (PVR), seperti anggota RELA boleh dikategorikan sukarelawan polis layak mendaftar untuk undi pos? Begitu juga status polis bantuan, kor kadet, simpanan pesara polis – adakah semuanya tersenarai sebagai pengundi pos?
 
Menurut data terkini, jumlah anggota tetap pegawai rela adalah seramai 1,100 orang, walhal sukarelawan RELA  hampir 3.05 juta orang. 
 
Banyak pihak meragui, apakah pada saat akhir sebelum PRU-14 kelak, SPR bersedia menyatakan jumlah terkini bagi keseluruhan kategori undi pos, termasuk yang difikir layak?
 
Hal ini kerana, langkah tidak popular ini akan mengakibatkan banyak pihak menganggap SPR seperti pengadil yang berat sebelah, iaitu akan menyelamatkan kerajaan kleptokrasi UMNO/BN  dengan menggunakan undi pos sebagai talian hayat akhir dalam PRU ke14. 
 
Pertama, keraguan amat jelas apabila pendaftaran pengundi pos dalam kategori petugas dan pasukan keselamatan dilakukan secara hendap dan tidak telus.
 
SOP yang tempang ini turut memberi laluan kepada kerajaan BN menggunakan kuasa untuk memindah pengundi ke kawasan pilihan raya yang mahu BN menangi di saat-saat akhir. 
 
Lebih-lebih lagi, apabila senarai pengundi pos tidak diwartakan awal sebelum pilihan raya umum dan calon juga tidak menerima maklumat tentang pengundi pos. 
 
Malahan, Menteri yang mempunyai kuasa dalam pendaftaran anggota RELA, mempunyai ruang untuk mendaftar undi pos anggota RELA ke kawasan DUN atau parlimen yang mereka mahukan tanpa justifikasi yang jelas.
 
Sebelum ini pun, kita menyaksikan terdapat beberapa kes pengundi dipindahkan pada saat akhir. Kebanyakan pengundi ini tidak hadir ke JPN, SPR dan pejabat Pos untuk menukar alamat dalam cip Mykad mereka.
 
Bahkan, tersebar juga maklumat yang menyatakan bahawa terdapat perpindahan pengundi dari parlimen Bagan ke DUN Telok Ayer Tawar, Seberang Jaya dan Sungai Bakap tanpa pengundi ini hadir di JPN dan SPR untuk menukar alamat mengundi. 
 
Pihak SPR perlu sedar bahawa rakyat terkesan dengan memanipulasi pilihan raya menerusi pendaftaran pengundi pos dan pemindahan pengundi ini. Malaysia merupakan negara berdaulat dan demokratik – manipulasi pilihanraya sebegini bertentangan dengan prinsip kenegaraan serta perlembagaan negara.
 
Buktinya, semasa PRU 13 lepas, BN memperoleh 133 daripada 222 kerusi dengan kemenangan majoriti tipis hampir 30 kerusi melalui undi pos.
 
Bermakna, andai tidak wujud undi pos dan undi awal, pakatan pembangkang berupaya memenangi 30 kerusi tambahan daripada 89 kerusi asalnya , seterusnya mendapat kerusi majoriti parlimen dengan 119 kerusi.
 
Kedua, untuk memastikan pilihan raya telus, SPR perlu membuat pengiraan undi awal pada hari pengiraan undi biasa berlangsung. 
 
Sebuah badan antarabangsa yang memantau proses pilihan raya, ACE Knowledge Network menegaskan bahawa pengiraan undi terbaik bermula apabila semua peti undi ditutup. Perkara ini berbeza dengan amalan pilihan raya di Malaysia – peti undi awal disimpan di dalam lokap polis sehingga tarikh asal pilihan raya. 
 
ACE turut menyatakan jarak masa pengiraan undi yang panjang diantara undi awal dan undi kertas boleh mendorong ke arah penipuan pilihan raya. 
 
Perkara ini dilaksanakan di banyak negara seperti Australia, Bangladesh, Ivory Coast, Rwanda, Tanzania, Georgia, Senegal, Mexico, Cameroon dan Georgia yang akan mengira undi sejurus peti undi ditutup. Langkah ini mempercepatkan penubuhan kerajaan bagi menguruskan pentadbiran negara. 
 
Berbeza dengan negara yang mengamalkan kiraan undi lewat seperti Honduras. Realitinya,  negara tersebut menghadapi krisis  pemerintah akibat proses pilihan raya yang dimanipulasikan. 
 
Justeru, SPR perlu mengikut pengamalan negara yang berjaya dalam mengurus pilihanraya. Malahan, disarankan agar SPR untuk mengamalkan pilihanraya yang telus dan adil. 
 
Saya menyeru rakyat Malaysia bersama-sama mempertahankan ketelusan pilihanraya; iaitu dengan mendesak agar SPR menggunakan mekanisma pemantauan terperinci pada setiap peti undi pada hari pengundian awal dan pos. Ini kerana, setiap undi adalah suara dan aspirasi rakyat. 
 
 
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN