Kenyataan Media
31 Mei 2017
Lebih 28,000 Pemilih Baru Disenaraikan Melalui Proses Tuntutan
Adakah ini satu KEAJAIBAN atau PENIPUAN?
* Pada kali pertama dalam sejarah, SPR telah mempamerkan Senarai Tuntutan Daftar Pemilih dari 25 – 31 Mei, atas alasan bahawa terdapat beberapa nama yang tercicir ketika pameran rasmi RDPT bermula 9 – 22 Mei lepas.
* Seramai 28,416 pengundi tentera telah dimasukkan ke dalam Senarai Tuntutan selepas tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Pertama 2017 (ST1/2017).
* Sebanyak 8,286 permohonan pengundi baru ditolak oleh SPR pada 2016, yang mana 88.1% adalah di negeri Selangor.
Statistik yang diperoleh menerusi Senarai Tuntutan RDPT S1/2017 yang diterbitkan 25 Mei lalu menunjukkan beberapa perkara yang boleh saya sifatkan sebagai ‘keajaiban’. Kalau ia bukan ‘keajaiban’ ia jelas satu bentuk penipuan!
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘tuntutan’? Setiap suku tahun, SPR akan mempamerkan rang daftar pemilih selama dua minggu. Dalam tempoh itu, kita boleh menjangkakan dua perkara (1) tuntutan dan (2) bantahan. Proses ‘tuntutan’ berlaku apabila pemohon yang baru mendaftar mendapati nama mereka tidak dikemaskini ke dalam RDPT atau kemaskini yang dimasukkan tidak tepat. Individu berkenaan akan mengisi ‘borang tuntutan’ untuk menuntut kembali pendaftaran sebagai pengundi. ‘Bantahan’ pula berlaku apabila ada seseorang yang membantah mana-mana nama yang terdapat dapat RDPT.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah SPR mempamerkan Senarai Tuntutan Daftar Pemilih. Amat membingungkan apabila Pegawai Kanan SPR Selangor memaklumkan kepada pihak Pakatan Harapan bahawa pameran ini terpaksa dilakukan kerana pejabat-pejabat SPR di negeri-negeri sudah tercicir nama-nama pemilih ketika pameran rasmi RDPT pada 9-22 Mei 2017 lalu.
Mengikut Pegawai Kanan SPR tersebut, Pameran Tuntutan itu tidak pernah dilakukan kerana biasanya, jumlah kesilapan atau keciciran data adalah sangat minima. Jadi sangatlah ‘ajaib’ pada kali ini, wujud keciciran lebih 28,000 nama – ini bukan angka yang kecil! Mana mungkin angka sebesar ini tercicir? Mungkin juga ia satu ‘keajaiban’ kerana keciciran ini wujud tatkala kita sedang menanti-nanti pilihan raya umum yang dijadualkan pada bila-bila masa.
Dalam Senarai Semakan Tuntutan RDPT S1/2017, wujud penambahan luar biasa bagi pengundi berdaftar yang melaksanakan tuntutan seramai 28,416 orang. Mengikut penelitian pihak Pakatan Harapan, semua pengundi yang didaftarkan selepas proses tuntutan ini ialah anggota tentera dan pasangan mereka berdasarkan lokaliti yang didaftarkan. Kawasan-kawasan parlimen di Kuala Lumpur menerima tuntutan tertinggi iaitu 7,609 orang. (Rujuk Graf 1)
Saya tertanya-tanya, kenapa jumlah tuntutan ini terlalu tinggi? Lebih ‘ajaib’ lagi, semua tuntutan ini dibuat di Pejabat SPR Putrajaya.
Ketiganya, satu lagi ‘keajaiban’ yang ingin saya pertikaikan ialah tindakan SPR menolak 8,286 pengundi baru pada 2016. Apa alasan yang boleh diberikan SPR atas keputusan untuk menolak 8,286 permohonan pengundi baru ini? Untuk maklumat, 91.5 % (7,581 daripada 8,286) permohonan telah ditolak pada setengah tahun kedua 2016, apabila PRU-14 kian menjelang. Daripada jumlah tersebut, 88.1% (7,304 daripada 8,286) permohonan yang ditolak adalah dari negeri Selangor. Lebih mengejutkan lagi ialah penemuan hampir 99% daripada pengundi-pengundi Selangor ini yang telah berdaftar dan dibuang nama tersebut adalah berbangsa Cina. (Rujuk Graf 2)
Inilah sebab SPR bertekad untuk menyembunyikan salinan digital CD RDPT. Secara kebiasaan setiap kali Daftar Pemilih Induk (DPI) dikeluarkan oleh SPR, Pakatan Harapan akan membuat semakan CD RDPT dengan portal rasmi SPR (http://daftarj.spr.gov.my/DAFTARJ/) untuk memastikan bahawa kesemua nama didaftarkan. Namun, pencabulan kepada hak parti politik untuk mempergunakan CD RDPT membolehkan SPR membuang nama pengundi secara sewenang-wenangnya. Justeru, kita daripada Pakatan Harapan menjangka bahawa untuk Suku 1 Tahun 2017, lebih banyak lagi nama yang bakal dibuang oleh SPR kerana tiada sesiapa yang mampu memantau apa yang mereka lakukan tanpa CD RDPT.
Selain mengembalikan amalan pemberian salinan digital RDPT seperti yang dilaksanakan sebelum ini, kami juga mahu SPR buktikan sama ada anggapan kami bahawa semua angka yang meragukan ini bukan penipuan, tetapi benar-besar satu ‘keajaiban’.
NURUL IZZAH ANWAR (KEADILAN)
Ahli Parlimen Lembah Pantai
DR. ONG KIAN MING (DAP)
Ahli Parlimen Serdang
DR. MOHD HATTA RAMLI (AMANAH)
Ahli Parlimen Kuala Krai
TARIQ ISMAIL BIN MUSTAFA (BERSATU)
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi