Skip to main content
BrickfieldsPress ReleaseStatements

Kenyataan Media: “Pulangkan Padang Kami”

By 11 June, 2012February 18th, 2020No Comments

KENYATAAN MEDIA

11 Jun 2012

UNTUK SEBARAN SEGERA

PULANGKAN PADANG KAMI

Saya rujuk laporan akhbar The Star “Chan Ah Tong field in Brickfields to make way for development” (11 Jun 2012) yang melaporkan padang Chan Ah Tong telah diberikan kepada Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dalam satu pelan pertukaran penswastaan (privatization exchange plan).

Difahamkan bahawa padang Chan Ah Tong dan perumahan kerajaan di Jalan Chan Ah Tong, Lorong Chan Ah Tong, dan Jalan Rozario – yang lebih dikenali sebagai “100 Quarters” – akan dibangun semula oleh MRCB. Tanah ini diberi setelah MRCB melaksanakan projek Little India yang bernilai RM36.6 juta, pembangunan semula Pines Bazaar, dan pembinaan Ang Seng Development yang akan menempatkan kuarters kerajaan Kelas F yang baru bagi menggantikan kuarters di Jalan Rozario. Tanah seluas 214,630 kaki persegi (4.9 ekar) ini bernilai RM129 juta (penilaian 2011), dan anggaran nilai pembangunan kasar (gross development value) adalah RM1 bilion.

Untuk makluman semua, padang Chan Ah Tong merupakan antara kawasan terbuka terakhir yang boleh dinikmati penduduk sekitar Brickfields. Saya berharap agar padang tersebut akan dibaikpulih dan dipulangkan kepada penduduk setempat, sepertimana yang dijanjikan Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Fuad dalam laporan StarMetro pada 29 November tahun lepas.

Setelah pembangunan Little India yang hingga ke hari ini masih dibelenggu masalah lalulintas yang tidak berkesudahan, penduduk Brickfields bakal kehilangan padang terakhir mereka serta dibelenggu pembinaan yang tak berkesudahan.

Saya turut risau nilai warisan perumahan “100 Quarters” ini akan lenyap dan terhapus, maka saya berharap model pembangunan yang diguna MRCB akan lebih berteraskan “adaptive-reuse” di mana struktur asal bangunan disimpan atau diubah sedikit bagi kegunaan yang baru, sepertimana dilakukan kepada bangunan-bangunan lama dan bersejarah di Singapura, Australia, dan Hong Kong.

Saya menggesa pihak MRCB untuk mempamerkan pelan rancangan pembangunan mereka bagi kawasan ini – termasuklah kajian impak lalulintas (traffic impact assessment) – agar penduduk setempat dapat memahami keadaan serta menyuarakan pendapat mereka mengenai pembangunan tersebut.

KEADILAN menyokong pembangunan, namun biarlah pembangunan itu mesra insan dan mendatangkan kebaikan terutamanya buat penduduk setempat.

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap

Naib Presiden KEADILAN