12 Februari 2009, 9.30 am, Menara 1-DBKL Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
YB Nurul Izzah Anwar bersama delegasi Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dan wakil penduduk telah mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Perancang Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan DBKL bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap permasalahan setinggan Kg. Kerinchi, Bukit B (Balai Islam), Pantai Dalam. Perbincangan yang turut dihadiri oleh Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, YM Dato’ Raja Nong Chik, itu menjadi agak hangat apabila YB Nurul Izzah membangkitkan tentang isu borang bancian berlogokan parti UMNO. Borang yang telah diedarkan sendiri oleh YM Dato’ Raja Nong Chik, pada 3 Januari 2009, telah menimbulkan tanda tanya dan kerisauan di kalangan penduduk. Pengerusi Persatuan Peneroka Bandar, Penduduk Setinggan Balai Islam Bukit B, Kg. Kerinchi, Termizi Bin Mat Amin, yang hadir dalam pertemuan tersebut telah memaklumkan tentang kerisauan terhadap kewujudan borang bancian berlogokan Parti UMNO dan telah membuat laporan ke Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai. Penduduk setinggan Kerinchi khuatir pengedaran borang tersebut digunakan untuk tujuan politik bagi meraih undi di kalangan ahli UMNO. “Nanti takut Ahli UMNO sahaja yang mempunyai prioriti bagi mendapatkan rumah. Orang yang tidak menyokong UMNO atau bukan ahli UMNO tak dapat. Perkara sebegini memang sudah biasa kita dengar,” kata Termizi.
Menurut YB Nurul Izzah Anwar, “Kita mengalu-alukan penglibatan semua pihak tanpa mengira latar belakang serta organisasi mana pun dalam membantu memperjuangkan hak rakyat di Lembah Pantai. Tetapi kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dalam permasalahan yang dihadapi penduduk. Pembahagian dan bancian yang dilakukan mestilah adil serta diberikan kepada mereka yang benar-benar layak mengikut syarat dan peruntukan yang telah ditetapkan oleh DBKL. Pejabat Parlimen Lembah Pantai akan terus bekerjasama dengan DBKL bagi memastikan penduduk setinggan Kg. Kerinchi mendapat penempatan baru.”
Berikut antara tuntutan Ahli Parlimen Lembah Pantai:
i. Memohon supaya DBKL mengadakan bancian semula bagi mendapatkan senarai terkini mereka yang layak.
ii. Memohon supaya DBKL memaparkan senarai bancian kepada umum bagi mengelakkan ketidakadilan dan salah faham di kalangan penduduk.
iii. Memohon supaya DBKL mempercepatkan proses pemindahan atau mencari jalan terbaik bersama pemilik tanah supaya penduduk dipindahkan segera.
iv. Sementara menunggu proses pemindahan, pihak DBKL diminta membantu membaikpulih jalan masuk ke penempatan setinggan.
v. Memohon DBKL membantu menyelesaikan masalah pungutan sampah di kawasan setinggan tersebut.