Dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berlangsung baru-baru ini, Parti tersebut mendakwa bahawa Kerajaan dipimpin UMNO berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dari 60% sebelum kemerdekaan kepada kurang daripada 1 peratus pada hari ini. Pun demikian, laporan yang dikemukakan oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mencatatkan statistik yang berbeza.
Laporan Pembangunan Sumber Manusia 2013 (The Malaysia Human Development Report 2013) oleh UNDP melaporkan bahawa jumlah kemiskinan relatif di Malaysia telah meningkat sejak tahun 2007; dengan 1 dalam 5 isi rumah (20%) dianggap miskin tegar pada tahun 2012. Angka-angka yang telah dikeluarkan jelas menunjukkan dakwaan yang dilontarkan oleh UMNO adalah bertentangan sama sekali dengan realiti sebenar.
Tambahan pula, kadar hutang isi rumah yang meningkat adalah pada paras yang membimbangkan iaitu 140 peratus berbanding Pendapatan Lebihan atau 86.8 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Angka ini jauh lebih tinggi daripada di Amerika Syarikat iaitu 122 peratus berbanding PDK mereka, atau 78 peratus berbanding KDNK mereka pada suku pertama tahun lepas.
Harus di ingat bahawa wujudnya laporan baru-baru ini yang mengatakan lebih daripada 10,000 majikan masih lagi gagal untuk melaksanakan kadar gaji minimum untuk pekerja-pekerja mereka sebanyak RM900 sebulan.
Ternyata, Kos sara hidup sudah tentu akan meningkat akibat kesan berganda GST yang akan diperkenalkan pada April 2015. Majoriti rakyat Malaysia adalah berpendapatan rendah, terutamanya apabila kita mengambil kira bahawa cuma 14 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia layak membayar cukai pendapatan pada tahun 2013. Angka ini nyata jauh lebih rendah sekiranya kita membandingkan dengan negara-negara maju seperti United Kingdom, negara-negara Skandinavia, Australia dan Amerika Syarikat yang berada pada angka 70 hingga 80 peratus. lebih menyedihkan apabila gaji dan upah cuma bernilai kurang dari 30 peratus sahaja daripada KDNK Malaysia.
Menurut laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sesebuah isi rumah itu akan dianggap sebagai miskin sekiranya berpendapatan kira-kira RM830*. Angka ini tidak mempunyai apa-apa makna sekalipun. Ini adalah cara yang ketinggalan zaman untuk mengukur tahap kemiskinan, dan saya, sekali lagi ingin menegaskan bahawa kerajaan perlu menggunakan cara-cara alternatif yang diiktiraf di serata dunia untuk mengukur tahap kemiskinan; antaranya menerusi kemiskinan relatif atau Indeks Kemiskinan Multidimensi.
Kemiskinan Relatif mengukur sejauhmana pendapatan sesebuah isi rumah jatuh berbanding dengan tahap ekonomi sesebuah negara. Ukuran ini lebih memberikan gambaran yang tepat berkenaan keadaan sesebuah negara itu.
Indeks Kemiskinan Multidimensi pula mengukur kekurangan-kekurangan yang dihadapi ke tahap individu. Pendekatan MPI ini menggunakan tiga dimensi; kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan yang diukur menggunakan 10 indikator yang berlainan; antaranya tempoh persekolahan, peratusan kemasukan kanak-kanak ke sekolah, nutrisi, bekalan elektrik dan tahap kebersihan. Indeks ini boleh digunakan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kehidupan orang miskin, dan perbandingan antara bandar dan luar bandar; antara etnik dan pelbagai lagi demografik masyarakat.
Laporan UNDP membuktikan kepentingan untuk kerajaan berlaku jujur dan telus dalam mengakui masalah sebenar yang kita hadapi. Hanya dengan mengemukakan kebenaran dan melaksanakan dasar yang berintegriti mampu menjadi formula dalam membanteras isu kemiskinan dan isu-isu berkaitan. Selagi kita masih bersembunyi di sebalik ‘topeng statistik yang diputarbelitkan’, isu kemiskinan akan diabaikan dan tidak akan dapat ditangani dengan komprehensif. Laporan itu membuat kesimpulan bahawa polisi-polisi yang baru perlu digubal dengan segera untuk menyelesaikan kemelut kesenjangan jurang pendapatan, bagi memastikan kekuatan ekonomi rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan.
Justeru, saya menggesa kerajaan agar menggunakan pendekatan yang lebih telus dan menggunakan angka yang lebih reflektif dengan keadaan sebenar dalam isu kemiskinan di Malaysia. Isu kemiskinan mungkin tidak diendahkan pada Perhimpunan Agung UMNO, janganlah mengulangi kesilapan yang sama dalam praktis pentadbiran negara.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN