Skip to main content
Press Release

Kerajaan Digesa Mendedahkan Keputusan Audit ICAO Ke Atas Sistem Radar Komersil Malaysia Sebagai Langkah Utama Pasca Keluaran Laporan Awal Insiden MH370

By 3 May, 2014February 18th, 2020No Comments

KENYATAAN MEDIA
UNTUK SEBARAN SEGERA
3 Mei 2014

Saya merujuk kepada Laporan Awal Insiden MH370 yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Inspektor Kemalangan Udara di Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Walau diterima baik laporan tersebut yang julung kalinya diterbit buat tatapan ramai, kehilangan pesawat MH370 dan langkah susulan pihak berkuasa khususnya Jabatan Penerbangan Awam, lebih banyak menimbulkan tanda tanya daripada memberikan jawapan.

Sejauh ini, Laporan Awal tersebut menyentuh butiran-butiran yang telah diulang beberapa kali termasuk garis masa penerbangan, rumusan transkrip transmisi radio, gerakan mencari dan menyelamat (SAR), termasuk juga cadangan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memperkenalkan sistem penjejakan bagi pesawat-pesawat awam.

Ia telah dilaporkan secara meluas di media massa, memandangkan tiada ketetapan undang-undang, syarikat penerbangan Malaysia Airlines tidak menaik taraf sistem software pesawat yang dapat memudahkan penjejakan pesawat dengan lebih berkesan.

Saya sendiri pernah membangkitkan seawal Julai 2012 dan sekali lagi selepas kejadian kerosakan pada sistem radar di Lapangan Terbang Subang pada September 2012 agar sistem udara Malaysia diaudit oleh ICAO untuk melindungi ruang udara Malaysia dengan lebih ketat dan komprehesif. Pada waktu itu, kali terakhir audit dilaksanakan adalah pada tahun 2005.

Rakaman dari radar angkatan bersenjata hanya menunjukkan bahawa ada kemungkinan sebuah pesawat yang meyerupai MH370 merentasi Semenanjung Malaysia ke arah barat. Persoalannya adalah, jika pesawat tersebut adalah MH370, mengapa ia tidak dikenalpasti dengan lebih awal dan seandainya ia bukan MH370, adakah ia satu kebiasaan bahawa pesawat pesawat yang tidak diketahui asal usulnya dengan senang wenang dapat menembusi ruang udara Malaysia?

Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana ia melibatkan keselamatan individu-individu yang berada di dalam pesawat serta keselamatan negara. Kejadian serangan 9/11 sentiasa terngiang ngiang di ingatan kerana serangan tersebut dilakukan dengan menggunakan jet penerbangan awam.

Diharapkan dengan adanya laporan awal serta laporan lengkap yang bakal menyusul berkenaan insiden ini, ia merupakan mercu tanda kesediaan kerajaan Malaysia untuk memberikan lebih perhatian kepada keselamatan udara di Malaysia dan meningkatkan mutu perkhidmatan yang sedia ada.

Sebagai seorang rakyat yang turut prihatin, adalah diharapkan agar laporan awal ini memperlihatkan kesediaan kerajaan untuk melalui satu pengauditan oleh ICAO demi mempertahankan ruang udara serta keselamatan sistem penerbangan di Malaysia ini.

Pada pertengahan April 2014, pemangku Menteri Pengangkutan telah menyatakan bahawa ICAO akan menjalankan audit berkenaan keselamatan di KLIA2.

Saya mendesak agar Menteri menerbitkan kepada umum keputusan audit ICAO secepat mungkin; secara minima sekalipun harus dibentang di dalam Dewan Rakyat. Audit yang pernah saya sarankan secara konsisten sejak tahun 2012 wajib dilaksana dan dibentang bagi memastikan negara tidak terkesan dengan sebarang kelemahan dan bagi mengenalpasti tindakan dan langkah susulan bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan pertahanan ruang udara. Kita wajib melakukan sedaya upaya bagi mengelakkan tragedi MH370 berulang lagi.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI