UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA
Parti Keadilan Rakyat menekankan peripentingnya prinsip keadilan sosial; yang dilihat menerusi kelangsungan program jaringan keselamatan sosial mempersiap rakyat menangani masa depan ekonomi yang semakin mencabar.
Dengan ‘household debt’ yang begitu besar, itu pada 140 peratus berbanding dengan pendapatan, rakyat Malaysia terus dicengkam dengan beban yang begitu besar. Untuk setiap RM1 yang diperolehi, seorang rakyat menanggung RM1.40 hutang. Hutang ini sebahagian besarnya datang daripada menanggung hutang perumahan dan kereta yang begitu tinggi di Malaysia.
Tambahan, pekerja juga sengsara dengan pulangan sedia ada. Sebanyak 28 peratus sahaja daripada KDNK Malaysia disumbangkan oleh gaji dan upah pekerja sementara lebih 67 peratus disumbangkan oleh keuntungan perniagaan. Tambahan dengan kenaikan gaji sebenar sejak sepuluh yang tahun lepas adalah negatif, bermakna jika dibandingkan dengan kadar inflasi, gaji semakin menurun.
Pun begitu, kerajaan BN masih menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kejayaan-kejayaan seperti; jumlah penurunan golongan miskin tegar yang semakin kecil iaitu sebanyak 1.7 peratus pada tahun 2012 dibandingkan dengan 49.7 peratus pada 1970; dan pemberian wang BR1M tahun ini kepada seramai 7.9 juta orang.
Sebenarnya, perancangan masa depan rakyat di bawah BN amat menakutkan. Pertama, peratus gaji pekerja yang dibawa pulang daripada KDNK bakal jatuh daripada 28 peratus seperti yang disebut, hingga sekadar 21 peratus menjelang 2020! Perangkaan inilah yang disasar PEMANDU dalam Program Transformasi Ekonomi mereka, sedangkan di Korea Selatan pekerja membawa pulang gaji sebanyak 45.8 peratus; walhal Singapura sebanyak 42 peratus.
Kedua, seperti dinyatakan oleh Professor Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM; menerusi potongan subsidi kerajaan secara berperingkat, rakyat, terutamanya isirumah Melayu dan Bumiputra yang miskin adalah golongan yang paling terkesan kelak, samada di bandar atau di luar bandar; kadar kemiskinan ini dijangkakan akan kembali seperti pada tahun 1970 dalam tempoh terdekat atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi-polisi kerajaan.
Model ekonomi yang digunapakai Dr Fatimah juga menunjukkan bahawa pemotongan subsidi tersebut juga meningkatkan kadar kemiskinan bangsa Cina dan India di bandar dan luar bandar, walaupun kesannya tidak begitu mendadak dibandingkan dengan golongan Bumiputra. Yang terpenting, BR1M dikenalpasti sebagai pemberian yang tidak mampu menyelamatkan rakyat daripada perangkap kemiskinan yang bakal menanti!
Pada ketika ini indeks GINI Malaysia berada pada 0.43, salah satu tertinggi di dunia dan bilamana kita berada di tangga 45 bersebelahan negara Botswana dan Belarus dalam laporan gaji purata International Labor Organisation, maka nyata sekali pendapatan rakyat rendah.
Kesan pemotongan subsidi bahan api, kajian itu telah mendapati bahawa pertambahan sebanyak 37.5 peratus daripada bumiputra bandar dan 23.3 peratus daripada bumiputra luar bandar akan berada dalam risiko miskin tegar oleh kerana pemotongan subsidi itu. Mereka ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi sekiranya terjadi kejadian yang tidak disangka seperti bencana alam atau kematian pencari nafkah.
Justeru, dalam mengenalpasti golongan berisiko tinggi ini, KEADILAN mencadangkan kaedah baru buat Malaysia dalam memastikan masa depan kita terjamin menerusi penggunaan Indeks Kemiskinan Multidimensi (Multidimensional Poverty Index) atau MPI.
MPI mengukur tahap kekurangan pada tahap individu, iaitu pada dimensi kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan. Indeks ini boleh digunakan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kehidupan orang miskin, dan perbandingan antara bandar dan luar bandar; antara etnik dan pelbagai lagi demografik masyarakat.
Ukuran kemiskinan dengan menggunakan garis kemiskinan tidak lagi mencukupi untuk menerangkan dengan jelas tentang kemiskinan, malahan ianya memberikan gambaran yang salah, terutamanya dalam keadaan kerajaan enggan menakrifkan kembali garisan kemiskinan itu.
Cukuplah dengan mendabik dada berbangga dengan pengurangan golongan miskin tegar kepada 1.7 peratus (2012)! Tiba masanya kita menaiktaraf cara menilai kadar kemiskinan yang setaraf dengan negara-negara berpendapatan tinggi lainnya. Sekiranya tidak, kita hanya akan terus menggelapkan harapan serta kesejahteraan masa depan rakyat.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai