Skip to main content

whatsapp-image-2016-09-23-at-5

Sejak beberapa tahun kebelakangan, umum mengetahui tentang skandal gergasi iaitu 1MDB yang berkisar di dalam dan luar negara.

Prosiding undang-undang antarabangsa menunjukkan hampir RM15 billion telah dibawa keluar dari tabung 1MDB – secara terang-terangan dirompak daripada simpanan dan pelaburan setiap rakyat Malaysia.

Malangnya, syor-syor yang dikemukakan oleh SPR minggu lalu untuk persempadanan semula melalui sempadan kerusi Parlimen yang baru merupakan rampasan hak rakyat yang terbesar oleh kerajaan undi minoriti yang terus-terusan bergelumang dengan rasuah, hanya kerana untuk menyelamatkan diri dan kekal di tampuk pemerintahan menerusi manipulasi sistem pilihanraya.

Keinginan BN untuk memenangi perlawanan sengit ini dengan menyediakan padang yang tidak sama rata, dan seakan menyepak pemain pihak lawan dengan referee yang berpihak biarpun sebelum perlawanan dimulakan.

Diakui, ini bukanlah permainan. Malangnya, permainan BN ini bakal menentukan hala tuju rakyat Malaysia, dan demi masa depan anak cucu kita.

Manipulasi persempadanan semula sebegini merupakan penghinaan dan tamparan hebat kepada sistem demokrasi yang membawa erti kebebasan, dan keadilan untuk rakyat.

Kita mahukan suara alternatif demi memastikan skandal yang dikaitkan dengan menggunakan dana negara ini mampu dihentikan serta ditangani.

Suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan menerusi Perkenan Yang Dipertuan Agong dalam menangani ancaman utama kepada tamadun sebuah negara demokrasi ini.

*Menilai Kesan Jenayah Rasuah yang Gagal dibanteras*

Membenarkan persempadanan semula tanpa bantahan merupakan satu kesilapan besar yang sekaligus memberi cek kosong pemerintahan kerajaan BN yang berterusan tanpa akauntabiliti dan halangan daripada pihak pembangkang atau sesiapapun.

Bayangkan peningkatan tahap pemerintahan kuku besi, perpecahan kaum dan agama hanya untuk menguatkan kedudukan UMNO walaupun pemimpin utamanya dikecam dan keluar daripada parti, bahkan rompakan raksasa tabung negara melalui skandal 1MDB – semua hanya bakal menggandakan mimpi ngeri rakyat Malaysia.

Hakikatnya, itulah wajah masa depan yang bakal berlangsung sekali lagi setelah BN memenangi PRU14.

Rakyat umumnya maklum mengenai skandal 1MDB yang melibatkan pemimpin UMNO tertinggi negara.

Bayangkan skandal 1MDB sahaja melibatkan ketirisan hampir RM15 billion, maka  kecurian, penipuan dan penyelewengan dalam tempoh enam tahun di bawah pemerintahan Perdana Menteri, maka analoginya seperti sebanyak *RM 7,000 dicuri bagi setiap 2.2 juta pembayar cukai Malaysia*. Saya yakin tidak ada  isi rumah di negara ini mampu untuk menerima subsidi daripada para elit BN berjumlah RM 7000? Harus diingat bahawa dana awam adalah dana rakyat.

Dana ini adalah milik rakyat untuk pelaburan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kita, latihan kemahiran untuk pekerjaan yang lebih baik atau mana-mana perkara yang boleh meningkatkan kualiti hidup keluarga kita sendiri – bukan kehidupan untuk golongan 1% elit yang rakus meragut kekayaan negara.

Persempadanan semula adalah jaminan kerajaan BN ini , walau kehilangan undi popular, mampu kembali dengan lebih dua pertiga majoriti dan mempunyai kuasa  mengubah perlembagaan tanpa semak dan imbang yang wujud.

Enam tahun lagi, persempadanan semula ini, bakal menyaksikan skandal 1MDB akan menjadi satu perkara remeh. Jika kita tidak menghalang dan membantahnya dari sekarang, maka kita berisiko untuk kehilangan segala-galanya.

*Berakhirnya Era Kebebasan Bersuara*

Kini, pemerintahan BN menggunakan polis sebagai jalan untuk menangkap kartunis, wartawan dan pimpinan parti pembangkang atas kelantangan bersuara. Negara kita dimalukan dengan salah guna kuasa serta menahan beberapa tahanan politik sedekad lalu, lebih-lebih lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, perintis Muslim Demokrat di dunia.

Tiada jaminan bahawa setiap rakyat akan selamat sekiranya  cadangan persempadanan semula SPR digubal. Bahkan di Parlimen sekalipun, kerajaan minoriti BN meletakkan negara dalam keadaan berbahaya dengan menemui cara untuk menggantikan kuasa dan struktur yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong ke tangan Perdana Menteri berdasarkan pewujudan Akta Majlis Keselamatan Negara.

*Bayangan Masa Depan Yang Kian Kabur*

Cadangan SPR membawa negara kita ke arah sebuah negara fasis, bukannya bergerak lebih dekat dengan cita-cita kita yang mahukan sebuah demokrasi berperlembagaan. Sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa ia adalah ‘perkara biasa’, Saya tegaskan kebimbangan dan pendirian saya: Jika orang yang benar tidak bangkit bersama, siapa lagi yang diharapkan untuk bangkit apabila BN mendapat majoriti besar dan mula meminda perlembagaan bertentangan serta menafikan hak dan kebebasan manusia apabila berlaku sudut pandang berbeza antara pimpinan di masa akan datang.

*Masanya Untuk Berpartisipasi*

Kita berada di persimpangan politik yang  kabur jika dibandingkan dengan sejarah yang pernah kita hadapi satu ketika dahulu. Sama seperti negara-negara lain ASEAN, OIC, dan lain-lain di seluruh dunia yang bekerja untuk menambah baik kerajaan dan tadbir urus mereka, Malaysia pula terlalu unik apabila kita bersedia untuk jatuh ke dalam jurang politik yang tidak beransur pulih. Saya kira tidak ada alasan untuk mana-mana pimpinan dan rakyat untuk berdiam diri dan membiarkan perkara ini berlaku. Justeru, saya ulangi gesaan agar:

1) Mengemukakan bantahan di setiap daerah terjejas dan menolak pencabulan hak memilih serta proses tidak demokratik  pihak SPR.

2) Menyokong dan turun ke BERSIH 5.0 beramai-ramai demi menuntut keadilan pilihanraya yang bersih dan adil.

3) Sertai kami dalam petisyen dan merayu kepada pemimpin-pemimpin kita, Yang Di-Pertuan Agong untuk menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya dan mewujudkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja yang membawa kepada objektif, sistem yang bebas dan demokratik dalam pembahagian daerah pilihan raya di Malaysia

NURUL IZZAH ANWAR

AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA KEADILAN