Skip to main content
Press Release

KESELAMATAN DAN KEDAULATAN NEGARA HARUS DIBANGKITKAN DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

By 8 December, 2013February 18th, 2020No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA
5 DISEMBER 2013

Pendedahan Bekas Pengarah Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim tentang sogokan wang yang didakwa melibatkan Peguam Negara sehinggakan keputusan ICJ tidak memihak kepada Malaysia di dalam kes Pulau Batu Puteh pada tahun 2007 adalah sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutamanya Barisan Nasional.

Isu ini melibatkan pencabulan kedaulatan negara kita oleh rakyat kita sendiri. Justeru, UMNO sebagai sebuah parti yang menggambar gemburkan hasrat ingin menjadi parti harapan rakyat, pembela keselamatan dan kedaulatan negara mestilah membangkitkan isu ini di Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung sekarang.

UMNO juga harus turut serta bersama rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dengan penjajahan ekonomi yang bakal berlaku sekiranya TPPA dimeterai oleh kerajaan. Oleh kerana itulah, saya juga mengesyorkan supaya UMNO membangkitkan isu penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan TPPA dan juga membahaskan tuntutan agar Parlimen diberikan kuasa untuk meratifikasikan perjanjian tersebut sebelum ditandatangani dan membawa musibah kepada negara.

Isu ketiga yang juga harus diambil kira oleh UMNO, jika benar parti tersebut mahu menggarap harapan rakyat adalah isu pencerobohan negara. Pencerobohan Sulu di Sabah disusuli oleh penculikan serta pembunuhan pelancong Taiwan di Pulau Pom Pom, Sabah harus diberikan tumpuan yang serius.

Isu pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing seperti yang dibuktikan menerusi penemuan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja di Sabah; serta dakwaan bahawa beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Singapura sedang aktif mengintip Malaysia bukan sahaja perlu dibahaskan malahan dikecam sekeras-kerasnya oleh UMNO.

Akhir kata, UMNO tidak boleh lari daripada memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut; seraya membangkitkan kesemua isu ini sekiranya parti tersebut berhasrat mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan berdaulat. Tiba masanya UMNO (Baru) membuktikan bahawa parti yang berumur 25 tahun itu bukan hanya menumpukan kepada pemusatan habuan ekonomi serta pengekalan kuasa kepada golongan-golongan terpilih sahaja.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT