Skip to main content
Keutamaan saya pada sidang parlimen yang bermula esok ialah menarik perhatian ahli-ahli parlimen terutamanya di sayap kerajaan terhadap isu-isu pendidikan tinggi dan kesihatan yang merupakan nadi kepentingan masyarakat.
 
Seperti yang ramai sedia maklum, saya merupakan lulusan universiti tempatan dan ibu saya juga pernah berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Malaya selama 14 tahun. Kami amat berbangga dengan pencapaian universiti tempatan Universiti Malaya (UM).  Manakan tidak, universiti tempatan seperti UM dan UPM, umpamanya, sudah berjaya menempah nama untuk tersenarai dalam kalangan 300 universiti terbaik dunia berdasarkan Quacquarelli Symonds’s (QS) tahun 2016/2017.
 
Bagaimanapun, saya bimbang pemotongan peruntukan ini akan memberi kesan besar kepadpencapaian universiti tempatan. Saya juga amat khuatir perkara-perkara berikut bakal terjadi akibat pemotongan peruntukan ini.
 
Saya bimbang pemotongan peruntukan akan menyebabkan universiti memilih untuk tidak memberi keutamaan kepada penyelengaraan di universiti, termasuk di kolej-kolej penginapan. Ini belum termasuk lagi pengangkutan awam dan pengurusan kebersihan. Secara tidak langsung, pembangunan infrastuktur penting, khususnya peralatan berteknologi tinggi dalam bidang sains juga tidak dapat dijalankan dan akan menjejaskan mutu pendidikan negara.
 
Saya khuatir ia akan menjejaskan para pensyarah sendiri di mana banyak peralatan untuk tujuan akademik tidak dapat dinaiktaraf. Malah, dalam surat khabar Berita Harian pagi ini, adalah dilaporkan bahawa sebanyak 6,000 pensyarah telah dihentikan kerja sejak tahun 2016. Bagi pelajar, yuran pengajian, terutamanya melibatkan pasca siswazah, akan bertambah mahal, sementara pemotongan biasiswa akan memberi kesan langsung kepada pelajar.
 
Dari sektor kesihatan, kerajaan perlu melaksanakan perubahan khusus dengan penambahan dana kesihatan dalam belanjawan 2017, iaitu dalam akses perubatan dan infrastruktur hospital.
 
Kebergantungan rakyat kepada perkhidmatan kerajaan dalam sektor kesihatan kian meningkat. Pemotongan dana farmasi dan bekalan perubatan menyukarkan rakyat mendapat akses ubat yang berpatutan bila masa kos sara hidup kian membebankan. Malah, kebajikan pesara kerajaan mendapatkan rawatan kesihatan juga dikurangkan awal tahun 2017. Saya bimbang kesihatan rakyat menjadi bertambah kronik pada masa hadapan akibat tiada sokongan daripada kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan rawatan secara serius.
 
Insiden yang berlaku di hospital Sultanah Aminah memberi mesej jelas bahawa kemudahan dan infrastuktur perubatan, khususnya hospital perlu dinaik taraf. Penambah baikkan ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatn dan keselesaan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan. Katil di hospital awam juga perlu ditambah memandangkan rakyat yang mndapat rawatan di hospital awam kian meningkat.
 
Justeru, walaupun di sayap pembangkang, saya merasa bertangungjawab untuk memastikan proses semak dan imbang (check and balance) terlaksana demi masa depan generasi seterusnya yang akan memasuki alam pekerjaan.  Kerajaan yang prihatin tentunya mahukan rakyatnya menikmati kemakmuran menerusi taraf hidup yang bermutu tinggi. ilmu dan ijazah yang diperolehi melalui sistem pendidikan berkualiti antarabangsa yang memberikan jaminan masa depan yang cerah.
 
Tuntasnya, apa yang kita saksikan di universiti dan hospital sepatutnya ditambah baik oleh kerajaan ini amat membimbangkan. Justeru, saya akan bawa isu ini ke parlimen dengan harapan kerajaan ambil maklum dan mengambil tindakan bagi menangani masalah yang wujud akibat pemotongan peruntukan ini.
 
Jadi, kita sama-sama doakan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Malaysia pada sidang parlimen kali ini. Semoga suara saya, mewakili rakyat yang mahukan Malaysia lebih baik bakal memberi impak dan perubahan kepada rakyat.
 
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN