Peningkatan hampir 200 peratus ini merupakan pembaziran Maha Besar oleh kerajaan BN, yang enggan diperjelaskan oleh Menteri Pengangkutan sedia ada. Praktis memulakan sesuatu projek dengan kos yang rendah yang kemudiannya ditambah dengan alasan penemuan keperluan yang luar jangkaan hanya memperkukuhkan persepsi bahawa proses perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan tidak telus.
Terbaru, saya dimaklumkan bahawa sistem Air Traffic Modernization Program (ATMOP) untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kawalan trafik udara KLIA2 dan ruang udara sekitar diselubungi kontroversi. Saya difahamkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 3 Oktober 2012 menganugerahkan Surat Tawaran (Letter of Award, LoA) kepada ENAV S.p.A. sebagai Perunding bagi ATMOP – iaitu untuk bertindak selaku perunding untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bagi komunikasi, pengemudian, pengawasan dan kawalan trafik udara di KLIA2 dan ruang udara sekitarnya.
Kontroversi berkisar mengenai isu-isu berikut:
1. Hubungan rapat ENAV-SELEX
Siri pendedahan sebelum ini berkait masalah-masalah sistem kawalan trafik udara di Subang yang dibangunkan syarikat Selex Sistemi Integrati (SELEX) dengan kerjasama Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT), iaitu syarikat yang turut berkait dengan anak DS Jamaluddin Jarjis.
Yang paling merisaukan adalah hubungan SELEX dan ENAV. Dalam satu kenyataan media bertarikh 11 Mei 2009, dengan terangnya disebut bahawa kedua-dua syarikat ini akan bekerjasama untuk menembus pasaran antarabangsa bagi perkhidmatan kawalan trafik udara.Persoalannya di sini: Bukankah lantikan ENAV sebagai perunding bagi ATMOP menimbulkan kemungkinan berlakunya percanggahan kepentingan (conflict of interest) oleh sebab rakan perniagaannya SELEX adalah sebuah syarikat pembekal sistem kawalan trafik udara?
Klausa 33.1 surat perjanjian yang sama turut menyatakan Perunding tidak akan terlibat dalam aktiviti perniagaan atau profesional di Malaysia secara langsung mahupun tidak yang akan bercanggah dengan prestasi atau kewajipan yang akan ditanggung Perunding mengikut perjanjian tersebut. Disebabkan hubungan ENAV dan SELEX, adakah ENAV secara tidak langsung terlibat dalam aktiviti perniagaan dan telah melanggar klausa tersebut?
2. Harga projek ATMOP yang diumum ENAV
Klausa 1.4 dari senarai semakan projek ini menyatakan bahawa harga bumbung (ceiling price) projek ini adalah RM27 juta. Namun mengikut satu kenyataan media yang dibuat ENAV pada 3 Oktober lalu (iaitu pada hari sama LoA dianugerahkan), kontrak tersebut diberi nilai 10 juta Euro, yang bersamaan dengan hampir RM40 juta. Rakyat Malaysia wajib diberi penjelasan: jumlah mana yang benar?
3. Isu masalah sistem yang dibangun SELEX masih belum terjawab
Kementerian Pengangkutan wajib menjawab pertanyaan-pertanyaan di atas dan memberi jaminan bahawa ketiga-tiga klausa di atas tidak dilanggar oleh Kementerian dan DCA. Rakyat tidak mampu membiarkan SELEX yang masih belum selesai permasalahannya di ATCC Subang mendapat kontrak untuk KLIA2 menerusi hubungan syarikat tersebut dengan ENAV.
Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai
merangkap Naib Presiden KEADILAN