UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA
5 Februari 2014
KLIA2: APAKAH STATUS SEBENAR PEMBINAAN KLIA2?
The Star hari ini membongkar keadaan yang mana sebahagian besar daripada bangunan terminal utama di KLIA2 masih belum mencapai piawaian keselamatan yang ditetapkan. Ini merupakan sebuah kontradiksi dengan kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, yang dalam laporan TV3 7 Januari menyatakan bahawa “Pembangunan terminal kos rendah baharu, KLIA2 yang kini 98% siap dijamin akan menerima sijil siap dan pematuhan CCC menjelang hujung bulan ini.”
Menteri Pengangkutan wajib menjelaskan kepada umum atas dasar apakah kenyataan ini dibuat, kerana ia bercanggah dengan dapatan dari pelbagai agensi kerajaan yang memeriksa bangunan tersebut, termasuk Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Bomba dan Indah Water Konsortium yang mendapati bahawa 65 peratus daripada bangunan terminal utama tidak mematuhi piawaian keselamatan. Malah, pemeriksaan oleh agensi-agensi tersebut juga telah mendapati bahawa paip-paip pembetungan merekah, dan tidak boleh digunakan.
Saya pernah membangkitkan pada Mac 2013 tentang kos pembinaan KLIA2 serta mempersoalkan adakah terminal baru tersebut akan siap dalam masa yang telah ditetapkan.
Sejak isu tersebut dibangkitkan, tarikh pelancaran 28 Jun 2013 telah pun berlalu dan kita masih lagi tidak mempunyai terminal KLIA 2 seperti yang telah digembar-gemburkan selama ini. Pada sidang Parlimen bulan Julai 2013, rakyat juga telah dikejutkan dengan pengumuman oleh YB Timbalan Menteri Pengangkutan bahawa kos pembinaan telah meningkat dari RM 2 bilion kepada RM 4 bilion.
Lebih malang, pada 12 September 2012 berlaku kegagalan sistem di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang terpaksa beroperasi tanpa radar dan frekuensi radio selama dua jam. Kontroversi rasional penilaian dan pemilihan kontraktor sistem masih belum selesai; adakah sistem yang sama, dibekalkan oleh kontraktor yang sama bakal digunakan untuk KLIA 2.
Pengumuman pada Oktober 2013 bahawa KLIA 2 – terminal tambang kos rendah yang terbesar di dunia – akan mula beroperasi pada bulan Mei 2014 adalah berita yang dinanti-nantikan oleh semua kerana tarikh siap KLIA 2 telah ditangguh berkali-kali sejak ia memberikan tender pada tahun 2009. Laporan berita terbaru yang bercanggah dengan dakwaan menteri sekali lagi mempertikaikan tarikh selesainya pembinaan KLIA2.
Sekiranya laporan daripada agensi kerajaan menyatakan bahawa sebahagian besar daripada bangunan terminal belum boleh digunakan, ia bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Hishamuddin. Adakah Menteri cuma mengulangi jaminan yang telah diberikan pihak kontraktor UEMC-Bina Puri, tanpa mengambil kira laporan dari agensi-agensi yang bertanggungjawab? Setelah beberapa kali pembukaan KLIA2 ini ditangguhkan, rakyat berhak mendapat penjelasan mengapa perkara seperti ini masih lagi berlaku. Kenyataan UEMC-Bina Puri menyatakan bahawa “mereka gagal untuk mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sebelum 31 Januari disebabkan isu yang ‘tidak dijangka’” tidak boleh diterima pakai. Sekiranya dua pertiga bangunan terminal utama tidak menepati piawaian, ini merupakan hasil dari pembinaan kurang berkualiti dan tidak menepati taraf yang telah ditetapkan.
Pada sidang parlimen akan datang, saya akan mengusulkan agenda reformasi parlimen bermula dengan penubuhan jawatankuasa parlimen untuk menangani dasar fiskal, pertahanan dan keselamatan dalam negeri, perdagangan domestik dan antarabangsa, pendidikan dan pengangkutan awam. Ini termasuk juga penubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan isu KLIA2, dianggotai oleh wakil-wakil dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – bertanggungjawab untuk memastikan pembinaan Lapangan Terbang ini mematuhi spesifikasi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberikan lebih kawalan kepada penyeliaan kos pembinaan KLIA.
Agenda reformasi parlimen ini adalah penting demi mendalami isu-isu secara terperinci untuk menjaga kepentingan rakyat. Sudah tiba masanya prinsip timbang tara dan pemisahan kuasa dilaksanakan melalui pengupayaan peranan parlimen oleh pelbagai jawatankuasa tetap dan terpilih.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN