Dilapor oleh Sinar Harian:
Program Klinik Bergerak Percuma dapat sambutan
PANTAI RIA – Program Klinik Bergerak Percuma anjuran Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai / Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lembah Pantai dengan kerjasama Surau Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
Setiausaha Surau Al-Hijrah, Jamil Omar berkata, hampir 100 penduduk termasuk kanak-kanak hadir bagi melakukan pemeriksaan dan mendapat rawatan pelbagai penyakit.
Menurutnya, program yang diadakan di Bilik Tadika Blok C kawasan perumahan tersebut turut dihadiri penduduk bukan Melayu.
“Pihak surau mengalu-alukan sebarang program berbentuk kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada semua penduduk dari mana-mana pihak tanpa mengira fahaman politik.
“kita bersikap terbuka terhadap program seperti ini dan bersedia bekerjasama dengan pihak luar yang berminat untuk berbakti kepada penduduk di sini,” katanya.
Jamil berkata, hanya 60 penduduk sahaja yang dapat diperiksa manakala bakinya pulang hampa kerana masa yang terhad dan juga bilangan doktor yang tidak mencukupi.
“Walaupun hanya seorang doktor dengan lima pembantu, namun kita berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Jawatankuasa surau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang bersusah-payah mengadakan program ini dan berharap supaya ia dapat diteruskan lagi pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua PKR Bahagian Lembah Pantai (penaja), Mohd Amin Mian berkata, pihaknya tidak menyangka program perintis tersebut menerima sambutan luar dugaan daripada penduduk.
“Pada asalnya program ini kita adakan di pejabat Ahli Parlimen setiap Sabtu, namun tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan. Oleh itu, kita cuba adakan klinik bergerak di beberapa kawasan di Lembah Pantai bagi melihat sambutan penduduk.
“Memandangkan penduduk di Pantai Ria memberi sambutan menggalakkan, kita faham dan prihatin akan menambah bilangan doktor kepada tiga orang pada masa akan datang bagi membolehkan semua penduduk mendapatkan rawatan sepenuhnya,” katanya.
Mohd Amin berkata, pihaknya akan menjalankan program serupa di lokasi sama setiap bulan dan lokasi-lokasi lain di Lembah Pantai.
“Klinik ini dikendalikan oleh doktor sukarelawan yang merangkumi pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh. Sekiranya pada masa pemeriksaan, penduduk dikesan sedang sakit seperti demam, batuk atau selesema, doktor akan memberi ubat secara percuma.
“Tetapi untuk penyakit kronik seperti jantung, kita akan rujuk kepada pakar. Kita juga merancang untuk mengadakan program yang sama di PPR Sri Pantai bulan depan,” katanya.