Skip to main content

 

Warga Kota Terbela, WilayahKu Sejahtera

Tanggal 1 Februari 1974 termaktublah Wilayah Persekutuan sebagai negeri yang ditadbir secara langsung di bawah kerajaan persekutuan. Dengan lantikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang sebelumnya diwujudkan sebagai suruhanjaya ibu kota, DBKL menerima mandat langsung daripada Menteri dan bukan lagi menerusi pemilihan rakyat. Saya mendesak agar kuasa diberikan kepada warga kota dan mungkin sahaja usul agar jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dimansuhkan lebih-lebih lagi untuk individu yang berkepentingan dalam parti pemerintah.

Melewati 42 tahun sebagai warga kota, kita masih dibelenggu dengan persoalan yang sama. Siapa sebenarnya bertanggungjawab untuk memelihara kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan?

Saban isu yang dibangkitkan, deretan lubang di jalanan, lambakan pembangunan tanpa pantauan. Soalnya dimana kesudahan dan apa jaminan penyelesaian? Izinkan saya gariskan #5TuntutanWilayah yang wajib diberi perhatian tuntas oleh Datuk Bandar dan Menteri:

1. Mencorak Pembangunan Seimbang,lestari dan Teratur – Kuala Lumpur perlu dibangunkan secara seimbang dan perlu berteraskan aspirasi warga kota yang turut dirasai oleh pelbagai latar belakang, khususnya warga kota B40. Mengamalkan urus tadbir yang baik dengan pelaksanaan tender terbuka dan telus dalam pengagihan projek. Pengekalan garis panduan kepadatan penduduk seperti yang ditetapkan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.[1]

2. Menyelia Sistem Trafik yang berkesan, menambahbaik sistem Pengangkutan Awam

Pengawalseliaan aliran trafik ketika waktu puncak, penggunaan komposisi tar jalan yang berkualiti bagi mengurangkan kekerapan pembaikpulihan jalan.

Semakan semula kontrak kutipan caj parkir di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan beserta pembatalan pengambilalihan tapak parkir yang membebankan rakyat.

Kadar khas tambang pengangkutan awam mengikut latar belakang ekonomi seperti B40,pelajar dan warga emas.

Perlu wujud pemisahan kuasa yang jelas bagi mengelakkan salah guna dana awam menerusi pilihanraya kerajaan tempatan wajar diberi pertimbangan serius.

3. Menaiktaraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam yang Kondusif

Menyediakan lebih banyak perumahan awam mampu milik yang berkualiti di samping mempercepatkan proses permohonan rumah PPR di Kuala Lumpur kepada mereka yang berkelayakan.

Memperkemas sistem pengurusan sampah dan menyediakan tempat pembuangan sampah yang efisien.

Memantau kebersihan dan kesihatan awam demi menangani wabak penyakit terutamanya denggi  di samping meningkatkan infrastruktur dan kemudahan PPR dan PA seperti taman permainan, lif dan surau.

4. Menambah Baik Sistem Perparitan dan Kawalan Banjir di Kuala Lumpur

Membersihkan sistem perparitan dan saliran air dengan menubuhkan unit khas yang melibatkan pakar di samping mengemaskini status laporan peruntukan RM15 juta yang disalurkan untuk atasi banjir kilat di Kuala Lumpur.

5. Memelihara dan Memulihara Kawasan Hijau di Kuala Lumpur

Memastikan tidak ada lagi projek mahal tanpa kesan seperti projek gergasi Taman Tugu yang dijangka menelan belanja RM650 juta kononnya berlandaskan penghijauan Kuala Lumpur.

Adalah menjadi keutamaan semasa buat DBKL adalah untuk memulihara hutan simpan seperti Bukit Gasing yang semakin terjejas dengan pembangunan rancak  melibatkan kelulusan Datuk Bandar.

Saya menggesa agar Datuk Bandar kembali menyerap semangat menjadi pelindung warga kota yang menggariskan dasar-dasar pro rakyat dan bukan hanya pro menteri. Dana yang diperuntukkan sebanyak RM 2.871 billion kepada DBKL adalah untuk memelihara kesejahteraan 1.76 juta penduduk warga kota, bukan hanya mengeluarkan arahan untuk halwa telinga Menteri semata-mata.

Buat warga kota sekalian, Selamat Hari Wilayah.
Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Lembah Pantai

[1] www.dbkl.gov.my/pskl2020/malay/perumahan/index.htm