Skip to main content

Salam teman-teman,

Berikut merupakan ucapan dan slaid pembentangan saya di Konvensyen Pakatan Harapan yang pertama semalam. Jemput baca.

convention-ph-2016_page1 convention-ph-2016_page2 convention-ph-2016_page3 convention-ph-2016_page4 convention-ph-2016_page5 convention-ph-2016_page6 convention-ph-2016_page7 convention-ph-2016_page8 convention-ph-2016_page9 convention-ph-2016_page10 convention-ph-2016_page11 convention-ph-2016_page12 convention-ph-2016_page13 convention-ph-2016_page14 convention-ph-2016_page15 convention-ph-2016_page16 convention-ph-2016_page17

MALAYSIA TANPA BN SEBAGAI HARAPAN RAKYAT

1. Assalamualaikum Wa rahmatullahi Wa Barakatuh dan selamat sejahtera.

Syukur, Alhamdulillah.

Tahniah saya ucapkan di atas anjuran julung kalinya konvensyen Pakatan Harapan hari ini. Walau apapun yang melanda , kita mampu berada di sini, dengan keizinan yang Maha Esa.

Ingatlah, dalam setiap kesusahan yang kita hadapi tentu ada hikmahnya.

‘Apa yang bakal terjadi di masa depan, mempunyai akarnya di zaman ini. Hari ini mengandungi pelbagai kemungkinan yang hanya menjadi kenyataan di hari muka’ (muka surat, 165)

– Datuk Seri Anwar Ibrahim
Mantan Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

dalam “Gelombang Kebangkitan Asia”

Saudara dan Saudari harapan Malaysia sekalian;

2. Saya mengimpikan Malaysia yang aman dan harmoni.

Aman dari sudut hubungan sesama rakyat, tanpa wujud prejudis Melayu terhadap India, India terhadap Cina, Cina terhadap Melayu; Muslim terhadap yang bukan Islam.

Harmoni dengan punyai sifat toleransi atau ‘tasamuh’ yang tinggi sesama warganegara dalam konsep ‘muwatinun’ citizens spt nukilan Dato Dr Siddiq Fadzil

– yang melihat semua rakyat tidak kira kaum atau agama sebagai warga saksama dalam negara, saling hormat-menghormati dan bantu membantu.

Apa yang dimusykilkan ialah kerana sementara masyarakat bumiputera terus menggantungkan harapan kepada satu dasar yang dianggap penyelamat, berpuluh bilion ringgit dirompak di hadapan mata.

Masyarakat bukan bumiputera di sebaliknya resah gelisah kerana menganggap mereka didiskriminasikan. Mereka gusar merenungkan anak pintar dinafikan peluang pendidikan di Universiti tempatan, serta biasiswa luar negara dipotong. Sebenarnya, kita bersama dalam meredah kemelut ekonomi.

Rakyat sudah jelik dengan kebobrokan pemerintah sedia ada dan lebih daripada bersedia untuk mengheret UMNO-BN dari Putrajaya.

Justeru, ini bermaksud syarat utama lagi perdana adalah menumbangkan UMNO-BN melalui peti undi dan landasan demokrasi. (walaupun jelas kita bertanding di atas padang yang tidak rata dan persempadanan semula telah membuktikan untuk badan pelaksana Pilihan Raya di Malaysia telah membantu beri cek kosong kepada BN)

SPR telah merubah sempadan dan menukar status kerusi2 – yang tidak akan lagi menjadi marginal – tetapi kerusi yang lebih tinggi majoriti menurut kaum.

*Permuafakatan Politik Yang Jitu*

Saudara Saudari sekalian,

Kita harus akui bahawa kesemua agenda di atas mahu tidak mahu memerlukan sebuah Permuafakatan Politik yang jitu lagi tersusun, serta jaminan kesepakatan gerak kerja di semua peringkat demi memberi keyakinan, serta komitmen untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dalam sebuah demokrasi menumpaskan gejala kembar jahat kleptokrasi dan korupsi. Muafakat ini wajib kita buktikan menerusi Pakatan Harapan.

Misi kita – menumbangkan *Dua K-Kleptokrasi dan Korupsi*

Semboyan kita – ‘Rakyat Mahu Demokrasi tanpa Kleptokrasi dan Korupsi’_ mesti dicanang dan dilaungkan keseluruh negara.

Izinkan saya untuk berkongsi bagaimana sebenarnya jati diri tulen melayu intelektual yang berani untuk menyatakan prinsip sejak zaman 1927 lagi iaitu Pendeta Za’aba.

Itulah yang telah disuarakan oleh Za’ba. Beliau telah melihat keadaan ini sejak tahun 1920-an lagi. Beliau merupakan antara orang Melayu pertama yang mengupas tentang keadaan ekonomi orang Melayu.

Kata Zaaba, apalah gunanya dipimpin oleh pak haji yang rasuah. Zaaba menekankan kepentingan membawa satu bangsa yang berupaya berfikir secara kritis.

3. Saya seringkali termimpi-mimpi, negara ini tidak kedengaran lagi ibu-ibu menangis kerana anaknya yang lapar, remajanya menghormati ibu bapa, gejala sosial berjaya diatasi, orang-orang miskin terbela, orang-orang kaya yang pemurah, anak-anak muda menghormati orang tua, orang tua meraikan anak muda, pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang berkesan, orang-orang sakit mendapat pembiayaan percuma, dan seterusnya rakyat terbela.

Sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang saya kira telahpun menjadi model kesenjangan ekonomi yang ketara di negara, dimana rakyat tersepit antara miskin kota dan golongan pertengahan yang saban hari dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.

Impian agar tidak ada lagi anak-anak yang keciciran pendidikan, graduan yang tidak mampu mendapat pekerjaan, akses kesihatan yang merata untuk rakyat serta jaminan untuk kebajikan warga emas dapat dilaksana.

Di mana janji Rancangan Malaysia ke sebelas
Seorang graduan bg keluarga termiskin
Langsung tidak dicerminkan menerusi potongan belanjawan universiti-universiti tempatan oleh Datuk Seri Najib Razak.

Kesemua ini hanya akan tinggal satu untaian harapan yang tidak akan mampu menjadi realiti selagimana UMNO-BN berada di tampuk pemerintahan negara.

Mencapai cita-cita murni rakyat bertitik tolak dari citra kepimpinan politik yang amanah serta sanggup menggalas tanggungjawab untuk mengenepikan perbezaan dan mencari kesatuan titik persamaan sejagat demi menegakkan keadilan dan martabat negara.

Tentu sekali ini memerlukan muafakat yang membawa berkat melalui tekad pilihan raya *usaha satu lawan satu*

Jangan tunggu lama lama nanti negara dirampas orang. Kita mengalu-alukan sesiapapun selagi mengikut garis perbatasan perjuangan menuntut islah (Reformasi) dan KEADILAN serta kebaikan.

4. Hati saya selalu bercita-cita mahu melihat, Malaysia yang kita cintai ini bukan lagi salah sebuah negara yang masyhur untuk sebab yang salah seperti rasuah, sebaliknya lebih hebat dari Sweden dan Ireland dari sudut sifar rasuah.

Saya bercita-cita untuk menyaksikan Malaysia sebagai negara yang paling aman diduduki oleh manusia. Tidak ada kecurian dan penipuan dalam kalangan rakyat yang hanya mampu dimulakan jika tiada penyelewengan dan rasuah; tidak ada ketirisan dan kebocoran di peringkat pimpinan.

Yang pasti hanya iltizam agong untuk membawa pencerahan atau ‘tanwiry’ kewajipan menegakkan ‘Demokrasi Tanpa Kleptokrasi dan Korupsi’ kepada setiap pengundi seluruh negara sahaja yang akan memaknai janji kemerdekaan dalam misi pembebasan atau ‘tahriry’ bersama dari semua bentuk penjajahan dan penindasan hak rakyat.

5. Saudara saudari sekalian, saya membesar dalam suasana yang menjelaskan tentang agama yang membawa keamanan. Rahmat ke seluruh alam. Ini menunjukkan fungsi utama Islam itu adalah untuk penyebaran rahmah(kasih sayang) dan bukannya melalui simbol marah-marah.

Namun kini, fungsinya seolah tercemar apabila ditunggangi oleh pemerintah yang tamak dengan agenda kendiri.

Pasti sahaja masyarakat yang pelbagai mula mempersoalkan, mengapa perpecahan masih berlaku jika setiap agama menampilkan input harmoni yang setara.

Jelas, semua ini berlaku, kerana Putrajaya diperintah oleh ketidakmampuan UMNO-BN dalam memberikan solusi kepada masyarakat.

Pemurnian agama serta memenuhi maqasid shariah tanpa Kleptokrasi dan Korupsi menjadi syarat utama sebelum pembaharuan dan pembaikan kearah membentuk ‘khairu ummah’ tercapai.

Saudara-saudari harapan Malaysia sekelian;

6. Pentadbiran Najib dan para menterinya pada hari ini, terbukti gagal. Pada saat pendapatan rakyat tidak meningkat, cukai yang tidak adil dibebankan kepada rakyat. Pada saat orang-orang miskin tidak terbela, banyak subsidi-subsidi rakyat ditarik. Kerajaan BN yang dulu dikenali sebagai Barisan Nasional, kini sudah dikenali sebagai Kerajaan Harga Barang Naik; Berapa Naik? sudah pasti Banyak Naik. itulah BN.

Martabat bangsa dan negara tidak dibataskan dengan pertimbangan ekonomi semata. Maka kita menggagaskan pembaharuan ekonomi yang melandaskan kepada prinsip etika dan keadilan – al-Adl wal-Ihsan.

Bagaimana mungkin martabat sesebuah masyarakat dapat diangkat apabila kita rakyat masih lagi dihimpit dengan sistem percukaian yang membebankan hingga ke laras B40 sekalipun. Apabila subsidi makanan asas ditarik semula bertopengkan alasan rasionalisasi. Apabila sistem pengangkutan awam yang langsung tidak berganjak kualiti. Hampir semua harga barang terkesan dengan kenaikan harga minyak masak yang mana menteri dengan angkuhnya menjawab “air mineral lebih mahal dari minyak masak”.

Rakyat minta kerajaan turunkan harga dan kaji kesan kos sara hidup. Ya, kerajaan kaji dan menteri bayar bajet jutaan kepada PEMANDU hanya untuk meningkatkan bajet JPM dan potong lagi belanjawan universiti.

7. Memandangkan ketirisan yang terjadi melampau-melampau, tidak hairan pentadbiran Najib dan para menterinya seakan-akan mahu mematikan kemampuan rakyat untuk memiliki rumah. Ini amat jelas dengan belanjawan Najib mengenakan kepada bakal penyewa unit PPR dapat membeli unit PPR dengan harga RM35 ribu dan RM 42 ribu. Jelas, bukan mampu milik, tapi mampu tilik sahaja.

8. Pentadbiran Najib dan para menterinya pada hari ini juga, kelihatan mahu mengabaikan pendidikan. Bukan sekadar tidak mencapai ranking yang memuaskan, malahan belanjawan universiti dalam bajet 2017 dikurangkan dengan begitu tinggi. Jika ini berlaku, sasaran untuk menjadi sebuah negara tumpuan dari sudut pendidikan setahap Oxford University, amat jauh mampu dilaksanakan. Ini juga satu isyarat besar, capaian terhadap kemajuan tamadun amat jauh terlaksana. Kerana, tanpa pendidikan, tamadun pasti tidak akan terbina.

Yang dapat hanya Oxford University, bukan anak-anak Malaysia yang di hantar ke Oxford University.

Saudara-saudari harapan Malaysia;
9. Bukan sekadar ini sahaja, malahan banyak lagi kegagalan dalam pentadbiran Najib yang boleh disenaraikan. Namun, semua ini tidak akan berjaya diubah, jika setiap kita tidak mempunyai impian dan harapan dalam memastikan UMNO-BN gugur dari putrajaya.

10. Justeru, perubahan terhadap sistem pentadbiran dengan agenda mengugurkan Najib dan para menterinya dari berkuasa di Putrajaya merupakan tangggungjawab semua parti-parti di Malaysia. Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah, DAP disatukan matlamat murni dan satu jiwa merdeka- tidak boleh abai bahawa agenda yang kita bawa adalah agenda rakyat; agenda kita adalah memastikan rakyat terbela; agenda kita adalah agenda perubahan sistem; agenda kita adalah harapan rakyat.

11. Kami dari Parti Keadilan Rakyat menyeru kepada rakan-rakan dari Parti Amanah dan DAP, bahawa agenda kita ini adalah agenda perubahan. Disamping berusaha mencapai kemenangan dalam PRU akan datang, agenda perubahan sistem merupakan tugasan yang besar perlu kita lakukan.

Saudara- saudari harapan Malaysia sekelian;

Jagalah garis batas perjuangan menuntut islah dan KEADILAN.

12. Dalam kita melakukan perubahan, perkara yang tidak wajar kita lupakan adalah Hikmah Siyasiyyah, atau kebijaksanaan politik. Bersulamkan akhlak, hindari fitnah dan pertembungan sesama kita, pendekatan bijaksana amat dititik beratkan.

Dalam kempen gunapakai pepatah, ‘tarik rambut dalam tepung. Tepung tidak berselerak, rambut tidak putus’.

Prinsip satu lawan satu kita usahakan.

13. Sebagai kesediaan menjadi pemerintah, pendekatan politik kita perlu bersifat memandu, bukan dipandu. Kita perlu menjadi kalangan yang mencipta naratif, bukan menurut naratif politik musuh; kita menjadi orang yang memalu gendang untuk musuh menari, bukan kita yang menari dengan gendang yang dimainkan oleh musuh. Pendekatan yang perlu kita bawa adalah;
A. Ekonomi Manusiawi, iaitu satu tawaran ekonomi yang memberi keuntungan kepada semua pihak, tanpa mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan dan penjagaan alam.
B. Pemikiran progresif, iaitu sentiasa melihat kehadapan dalam memajukan negara. Mengambil pengajaran dengan kegagalan lepas, membina kejayaan mendatang dengan cemerlang.

C. Masyarakat kasih sayang, iaitu masyarakat yang punyai nilai kemanusiaan yang tinggi, tidak bermusuh-musuhan walaupun berbeda pendekatan parti, sebaliknya mengambil sikap syura dan mesyuarat dan berjiwa besar dalam berhadapan dengan kepelbagaian.

Dalam Pidato di Madrid pada 1883, Jose Rizal ada menyebut;
“Kemanusiaan tidak mungkin diselamatkan, selagi akal masih terkongkong, selagi kepercayaan ingin menundukkan fakta, selagi nafsu dijadikan raja dan selagi ada bangsa memijak bangsa yang lain”

D. Karamah Insaniyyah, iaitu selalu peduli terhadap keselamatan nyawa, harta, keturunan dan maruah manusia, tanpa dibataskan pada sesuatu anutan agama dan mazhab; juga warna kulit dan bangsa. Hal ini berasaskan kepada Pesanan Mulia Nabi Muhammad dalam Khutbah Wida’;

“Hai manusia, darahmu, harta bendamu dan kehormatanmu, sama sucinya dengan tanah suci ini” (HR Bukhari)

Saudara-saudari harapan Malaysia sekelian;

Bak kata Saidina Ali Radiyallahu ‘anhu, ‘kebatilan yang tersusun mampu mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun’. Justeru, bukan gerak kerja sahaja yang perlu dibina, malahan penyusunan gerakan kerja amat penting dipandang tinggi.

16. Kita wajib sedar bahawa tenaga kita perlu dimanfaatkan semaksima mungkin. Kala ini, bukan perbedaan idealogi yang perlu dibangkitkan, malahan kekuatan gerak kerja perlu diketengahkan.

Muhammad Iqbal pernah berkata dalam syairnya;

Berdiri sendiri, tanpa gabungan tidak akan ada kekuatan. Ombak itu kuat, kerana gabungan sesama air laut. Di luar lautan, tidak ada kekuatan ombak’.

17. Justeru, bila kita mengambil iktibar dari Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat maupun Referendum Brexit United Kingdom, nyata sekali JIKA generasi muda atau ‘millenials’ mereka keluar menjalankan tugas menggalas tanggungjawab demokrasi di peti undi sudah pasti keputusan dan hala tuju masa depan akan berlainan.

Ini bermaksud untuk Selamatkan Malaysia, kita mesti berganding bahu menggandakan usaha siang dan malam memastikan anak-anak muda dan semua warga yang belum berdaftar sebagai pengundi mesti BERDAFTAR kerana kejayaan perubahan dan masa depan negara bebas dari Kleptokrasi dan Korupsi terletak dalam tangan semua warga. Hanya apabila kita Bersatu Teguh barulah kita Berjaya Ampuh!

17. Sebagai penutup, saya ingin mengungkapkan serangkap pantun;

“Di atas runtuhan kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
Ingatlah, wahai seluruh warganegara.
Negara ini, rakyat Malaysia yang punya”

18. Apakah yang melakar keunikan kita? Kita punyai pertalian antara identiti melayu bumiputera seperti saya dan rakan-rakan dari sabah dan sarawak,cina seperti Kit Siang, bersetuju bahawa polemik momokan kaum hanya digunapakai oleh pihak tertentu untuk membenarkan pemimpin kuku besi di tampuk pemerintahan.

19. Kini, alhamdulillah. Setinggi kesyukuran kita panjatkan apabila jelas perjuangan kita tidak sia-sia. Lihat sahaja bagaimana pakatan mampu menyaksikan sesiapa sahaja yang dahulunya tidak melihat peranan dan fungsi kita, hari ini mampu untuk berlapang dada dan hadir dalam menggalas misi menjatuhkan Kleptokrat.

20. Justeru, saya menyeru kepada anak-anak muda. Ayuh sertai bahtera ini sekaligus dalam membentuk sebuah nakhoda yang mana akan menempuhi getir-getir demokrasi untuk menuju ke sebuah daerah Malaysia yang jauh lebih baik untuk masa depan kita semua.
Jangan lupa 19 November nanti, usaha kita membersihkan rakyat. Kalau BERSIH mampu membuka hati mantan Perdana Menteri yang dahulu mengecam perhimpunan tetapi sekarang di barisan hadapan perhimpunan menuntut pilihanraya BERSIH dan ADIL nothing is impossible – nation above self!

Dahulukan Malaysia sebelum kesengsaraan peribadi.

Reformasi!!!
Berani kerana Benar!!!
Lawan tetap lawan!!!
Hidup rakyat!!!

Wabillahitaufik walhidayah, wassalamu’alaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH BERSAMA
PILIHANRAYA KEADILAN