Budak-budak bermain tombak, Tombak diikat dengan rantai, Kalau takut dilambung ombak, Jangan berumah di tepi pantai.
Tentunya pelbagai interpretasi mampu diukir daripada pantun klasik ini. Pun begitu, bimbang saya adalah bila ia sering disalah tafsir oleh pak-pak menteri berserta segelintir pimpinan negara kita.
Komentar mereka buat rakyat mudah sekali, “Jika tak setuju, boleh pilih untuk tidak duduk di Malaysia”
Maksud tersirat sebenarnya dalam definisi rumah dan ombak yang dimaksudkan. Ombak yang diklasifikasikan sebagai kesempitan kos sara hidup; dan bakal menghempas rumah dalam erti kata kehidupan yang bertambah perit apabila rakyat dikerah keringat untuk #2Kerja, sedangkan puluhan menteri pun tidak mampu melunaskan satu kerja iaitu menjaga kebajikan rakyat.
Justeru, selepas mengutip maklum balas dan rintihan teman-teman, saya cuba merungkai satu persatu harapan dan impian buat Malaysia.
Malaysia ini rumah kita; maka tentunya setiap seorang daripada isi rumah ini berhak untuk menuntut hak mereka dan jaminan agar generasi akan datang terpelihara.
Berikan saya ruang menjemput saudara-saudari, menaiki kapsul masa bersama saya dan meninjau keadaan Malaysia yang kita impikan pada tahun 2020.
Pada waktu itu, Pakatan Harapan bersama teman-teman lain telah menang besar dalam PRU14 yang telah diadakan pada tahun 2018. Kerajaan Malaysia telah dua tahun berada di dalam tampuk pemerintahan Pakatan Harapan. Meskipun baharu, telah banyak perubahan-perubahan yang kita berjaya laksanakan.
Bukan hanya bersifat material dan kosmetik, tetapi dasar dan falsafah negara yang menjadi platform penyatuan rakyat dan negara. Kepimpinan tatkala itu menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan mengangkat Rukun Negara sebagai tunjang utama.
Alangkah indahnya apabila pendidikan tidak lagi dipolitikkan. Bayangkan anak-anak kita mencatat prestasi cemerlang di sekolah. Ini kerana mereka berada dalam dasar yang konsisten dan tidak lagi menjadi mangsa ditikus makmalkan oleh kementerian yang mengubah dasar setiap kali menteri pendidikan diubah.
Tambahan pula, menteri pada waktu itu diangkat atas kapasiti pengalaman dan kemampuan serta dinilai oleh rakyat menerusi Key Performance Index yang relevan.
Bayangkan waktu itu Sekolah Rendah Berasrama Penuh di kawasan-kawasan tertumpu berpendapatan rendah berjaya diwujudkan, contohnya di Kampung Kerinci, Taman Medan dan Jinjang Utara.
MalaysiaKu menjelang 2020, universiti-universiti awam dikembalikan dana dan belanjawan bagi memantapkan penyelidikan dan pembangunan. Bayangkan saat itu, Universiti Malaya yang menjadi kebanggaan dan warisan pendidikan tinggi negara mencapai ranking QS sehingga top 50 di peringkat global.
Bahkan dana yang dipotong pada Bajet 2016 dikembalikan dalam bentuk pelaksanaan aktiviti yang berpusatkan membangun karakter mahasiswa universiti-universiti awam di Malaysia.
Saya bayangkan juga, Harimau Malaya merangkul gelaran juara Asia apabila FAM dirombak dari gelojak politik serta pemain dalam yang layak dan terbaik terpilih. Harimau Malaya juga menyerlah dalam Kejohanan Juara Asean dan membolot licin keseluruhan anugerah yang disediakan.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan kadar GST kepada sifar peratus. dan mengeluarkan arahan kepada KPDNKK agar memantau harga barangan supaya tidak wujud monopoli yang membebankan rakyat terbanyak.
Malaysiaku menjelang 2020, undang-undang drakonian dilupus serta-merta dan tiada lagi tahanan politik yang dipenjarakan. Serta keutamaan diberikan kepada keselamatan taman-taman perumahan dan konsep neighbourhood policing diperkenalkan bagi memantau secara mikro kesejahteraan rakyat di taman perumahan.
Masyarakat Melayu Bumiputera akan dibantu berpandukan kayu aras kestabilan sosial. Sasaran ekonomi kita adalah pekali GINI 0.35 menjelang 2018 dan bukan lagi bergantung pada GDP per kapita. Saat itu, kerajaan tidak akan benarkan rakyat yang miskin terus papa kedana. Diminimumkan kadar kemiskinan relatif pada 60 peratus gaji median serumah pada setiap bulan.
Malaysiaku 2020, sering disebut di bibir pemimpin dunia kerana kepimpinan yang adil, selamat dan ekonomi yang peduli rakyat dan penemuan saintifik terkini.
Ayuh teman-teman, bersama-sama kami dalam merealisasikan impian dan wawasan yang dekat dengan jiwa generasi kita. Pesan saya untuk anak muda, pastikan anda sudah laksanakan kewajipan mendaftar sebagai pengundi baharu di pejabat pos, dan program yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.