Skip to main content

KENYATAAN MEDIA

MANIFESTO BN ‘KEBELAKANG’ DALAM KEBAJIKAN PEKERJA TEMPATAN

Pakatan Harapan (atau Pakatan Rakyat sebelum ini) telah sekian lama memperjuangkan kenaikan gaji minimum, sejak awal 2011. Semenjak pelancaran Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan (PH) 2018 sehingga manifesto Buku Harapan Mac lalu, PH telah mengangkat komitmen untuk meningkatkan gaji minimum sebanyak RM1500 secara berperingkat.

Kenaikan yang dicadang PH ini dianggarkan memberi manfaat kepada hampir 300,000 pekerja dalam pelbagai sektor dan industri.

Namun, cadangan PH untuk menaikkan kadar gaji minimum dalam manifesto yang diumumkan awal bulan Mac 2018 telah diperlekehkan oleh siapa lagi, kalau bukan pihak UMNO/BN sehingga menuduh manifesto ini boleh merugikan negara.

Dalam pelancaran manifesto baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) seolah-olah baru terjaga daripada lena yang panjang apabila terpaksa menabur janji menaikkan secara beransur-ansur gaji minimum ke RM1500 berbanding paras sekarang iaitu RM1000 untuk Semenanjung dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Janji manis menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula memperlihatkan cara mudah BN menagih simpati rakyat, dengan pemberian ‘one-off’ yang masih tidak menyelesaikan isu kos sara hidup secara menyeluruh.

Persoalan saya, dari mana BN akan meraih dana untuk menampung perbelanjaan besar sebegini sedangkan berbillion ringgit duit rakyat dikerah melalui GST dan cukai-cukai lain? Betapa mudahnya tugas sebuah kerajaan, mempergunakan keringat dan lelah rakyat untuk kepentingan politik.

Secara purata, dianggarkan paling kurang RM40 billion dikutip kerajaan melalui GST sedangkan jumlah keseluruhan pemberian BR1M hanya RM5.41 billion.

Begitulah permainan BN, yang berlagak menjadi hero setelah mewujudkan pelbagai masalah bagi rakyat dengan mengurangkan bantuan subsidi sebanyak RM18 billion antara 2013 dan 2016, dan memperkenalkan GST sehingga mengakibatkan harga barangan naik mendadak.

Jelas, manifesto ini tidak lebih daripada madah berhelah untuk mengaburi mata rakyat khususnya golongan pekerja. Sesungguhnya, paras gaji dan kebajikan sosial di Malaysia hampir tiada perubahan di bawah kerajaan BN yang sememangnya terbelakang dan tidak serius dalam memperjuangkan isu gaji minimum serta jaringan keselamatan sosial buat rakyat khususnya golongan pekerja.

Awal Mac lepas, Naib Ketua Pemuda UMNO mencemuh manifesto PH sebagai gagal kerana usaha menaikkan kadar gaji minimum ke paras RM1500 didakwa beliau akan memberi tekanan kewangan dan meningkatkan kos operasi syarikat.  Begitu juga dengan Abdul Rahman Dahlan, pengarah manifesto BN yang pada awalnya menempelak cadangan menaikkan gaji minimum dalam manifesto PH dengan tomahan janji ‘ bulan dan bintang’ dan tidak realistik.

Ironinya, tanpa diduga, BN secara tiba-tiba menciplak cadangan PH untuk menaikkan kadar gaji minimum dalam manifesto BN. Maka, adakah BN sekarang menjanjikan ‘bulan dan bintang’ selepas menjanjikan pelaksanaan peningkatan gaji minimum dalam manifesto BN?

Secara tegas, saya sifatkan ini sebagai ‘fake news’ terawal BN dalam soal gaji minimum.

PH komited dalam memperjuangkan kenaikan kadar gaji minimum untuk rakyat terutama golongan pekerja. PH sentiasa jelas dan konsisten dalam isu ini, berbanding BN yang nampaknya bersikap ‘tangkap muat’ untuk meraih simpati pengundi menjelang PRU14.

PH juga komited untuk mengubah struktur tenaga buruh Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, tidak seperti BN yang hanya berbicara soal sasaran pengurangan pekerja asing tiap kali pilihan raya tetapi terus-menerus gagal melaksanakan janji-janji yang dicanang.

Model kebergantungan kepada kira-kira 4 juta pekerja asing yang diamalkan oleh kerajaan BN ini tidak memberi nilai tambah kepada sektor ekonomi negara malah berpotensi mengakibatkan aliran keluar mata wang secara besar-besaran.

Apa gunanya gaji minimum dinaikkan jika hanya sekelumit pekerja tempatan yang mendapat manfaat? Dengan penstrukturan semula dasar pekerja asing, pastinya majikan mampu mengurangkan ketagihan terhadap buruh murah dan fokus pada pelaburan naik taraf teknologi serta kemahiran pekerja.

Di pihak Pakatan Harapan, kami juga bersedia mengangkat saranan Laporan Bank Negara Malaysia 2017 untuk melaksanakan gaji cukup hidup (‘living wage’) bagi menjamin gaji dibayar majikan dapat membantu pekerja memenuhi semua keperluan asas hidup. Dasar ini tentunya akan diperhalusi dan diusahakan selepas kerajaan PH menawan Putrajaya pada PRU14.

NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, KEADILAN