Ucapan ucaptama YB Nurul Izzah – Forum Fiqh Tawaqqu’
Bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya
29 November 2013
Masa depan, masa kita!
Saya mulakan ucapan ini dengan keyakinan bahawa setiap tindak-tanduk kita bakal mencorak masa depan negara.
Selagi kita menyedari hakikat ini; termasuklah permasalahan yang menyelubungi negara dan masyarakat maka butiran penyelesaian mampu kita raih.
Islam menuntut kita BerIkhtiar-Berusaha agar ‘Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini.’ Dan semua agama menuntut penganutnya membuat segala yang terdaya dan terbaik dalam membina kebaikan, kemurnian, kemuliaan dan kesejahteraan di muka bumi ini.
Namun, pabila HAK SEJAGAT untuk Menentukan Masa Depan kita disekat, dimanipulasi dan di rampas; Maka satu usaha mandiri – WAJIB kita laksanakan.
Sejarah telah membuktikan bagaimana kerajaan dan pemimpin menggerakkan minda massa menerusi visi yang mapan dan relevan dengan keperluan pembangunan negara.
Salah satu pendekatan yang membolehkan kita menggerakkan Satu Usaha Besar itu adalah Fiqh Tawaqqu.
Kita diingatkan tentang masa menerusi Firman Allah SWT di dalam surah al-Asr (Surah 103: Ayat 1-3);
“Demi Masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Terkandung di dalam Surah Al Asr keperluan meneruskan usaha menyebar kebenaran – walau pahit, walau dicemuh dengan penuh kesabaran. Begitulah pegangan yang dituntut pada akidah tauhid dan usaha melaksanakan tuntutan agama berpandukan Maqasid Syariah. Maqasid Syariah – yang secara umumnya boleh ditukil menerusi 5 prinsip Islam – dari menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta – merupakan tunggak syariah dalam usaha mewujudkan kebaikan, menolak keburukan dan mengelakkan kemudaratan.
Surah ini juga membuat kita merenung konsep ‘masa’ dalam kehidupan di alam fana ini, sementara menuju ke alam baka yang kekal selama-lamanya.
Masa yang berlalu tidak akan kembali. Kita boleh kerugian satu ringgit dan kemudian berusaha untuk mendapatkannya semula namun jika hilang sesaat, mustahil untuk kita mengembalikannya. Persoalannya adalah – apa fungsinya masa? Masa hadapan belum kelihatan kelibatnya dan kita masih meniti masa kini dari satu ke saat ke saat yang seterusnya.
Oleh kerana masa itu menjadi pengukur pengisian kehidupan, kita harus memandang ke hadapan demi membina serta memenuhi masa kehidupan agar ia lebih baik, lebih bermakna dan lebih diberkati hendaknya.
Maka kita disaran memiliki nawaitu untuk menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini.
Aspirasi untuk masa depan memerlukan kita menjangka serta merangka rupa bentuk masa depan yang lebih baik.
Kaedah pemikiran yang kehadapan (forward thinking) dengan memikirkan implikasi sesuatu tindakan di dalam sesuatu situasi atau ‘Maalatul-Af’al’ menjadi asas kepada pendekatan ‘Fiqh Tawaqqu’ dalam penulisan Sheikh Abdullah Ben Bayyah yang bermata airkan perbahasan al-Imam al-Syatibi dalam kitab beliau yang popular, iaitu al-Muawafaqat.
Fiqh itu sains – sains mengenai sesuatu – dan tawaqqu itu bermaksud meramalkan sesuatu yang bakal berlaku berdasarkan samada bukti empirikal, anekdoktal, atau berdasarkan pengalaman.
Oleh demikian, kita harus menjangka keadaan yang mungkin menjadi lebih buruk di masa hadapan dan berusaha mengurangkannya dengan tindakan-tindakan wajar dari sekarang.
Pada masa yang sama usaha menjadikan hidup kita agar ‘lebih baik’ sudah tentu memerlukan ‘perubahan’ iaitu islah. Dan maksud islah dalam konteks pembangunan negara kita adalah ‘reformasi’.
Reformasi yang bererti perubahan ke arah yang baik menjadi satu bentuk jihad untuk membawa kebaikan dan keberkatan sejagat.
Dari semua ini, dapat saya rumuskan bahawa manusia bertanggungjawab terhadap penggunaan masa melalui pendekatan ‘Fiqh Tawaqqu” dengan berjihad melalui ‘islah’ yakni perubahan atau reformasi didalam mengisi dan membina kehidupan masa depan yang lebih baik berpandukan Maqasid Syariah.
Pada hemat saya, pendekatan ini dapat membawa nafas baru kepada Politik Islamiyah lebih-lebih lagi pada pasca-Kebangkitan Dunia Arab atau ‘Arab Spring’ yang berusaha mendemokrasikan negara arab yang sudah lama dibelenggu autokrasi walaupun pendemokrasian tersebut sudah mengundur ke belakang atau ‘regressive’ – semuanya gara-gara tidak memahami asas-asas Maqasid Syariah.
Suasana politik tanah air pasca Pilihanraya Umum ke 13 juga menampakkan unsur-unsur pengunduran demokrasi dengan kembalinya undang-undang drakonian mirip ISA serta pengekalan dasar-dasar perkauman di dalam politik, pendidikan dan ekonomi negara.
Persoalannya adalah, apakah bentuk masa depan negara dengan pengunduran pendemokrasian itu dan adakah ia akan membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan untuk rakyat?
Ingatlah, kata-kata Ibn Qayyim: jika di sana ada ciri-ciri keadilan, dapatilah di sana ada Islam.
Sekiranya rasuah dibenarkan terus berkembang seperti sekarang sudah tentu di masa depan ia akan membangkrapkan negara, melebarkan jurang kemiskinan, menaikan harga barang, menyempitkan peluang pekerjaan serta perniagaan dan memaksa majoriti rakyat untuk bergantung kepada bantuan kewangan tahunan untuk menyara kehidupan.
Sekiranya proses pilihanraya terus berat sebelah seperti sekarang sudah tentu implikasinya di masa depan akan merugikan negara dan rakyat bilamana undi majoriti 52% tidak ada makna dan dengan hanya 17% undi mewakili 112 kerusi dapat membentuk kerajaan adalah menafikan hak demokrasi sebenar.
Sekiranya kualiti pendidikan terus merudum dan kos pendidikan pula melambung tinggi sudah tentu implikasinya di masa depan adalah kemerosotan daya saing dan keupayaan anak-anak kita terus membangunkan ekonomi dalam suasana global yang mencabar.
Indeks Pendidikan United Nations meletakkan Malaysia di kedudukan 98 daripada 181 negara, satu kedudukan yang mengecewakan. Malaysia berada di tangga 55 daripada 74 dalam kajian “Programme for International Student Assessment” (PISA) – yang mengukur kadar literasi para pelajar berumur 15 tahun bagi Matematik, Sains dan kadar kebolehan membaca serta kebolehan pelajar menyelesaikan masalah secara kritis berbanding menghafal. Kajian “Trends in Mathematics and Science Study” (TIMSS) 2011 mencerminkan penurunan prestasi Matematik dan Sains yang mendadak sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999.
Sekiranya sistem Parlimen tidak dibenarkan berfungsi sebagai penimbang-tara kepentingan suara rakyat dalam konsep pemisahan kuasa berperlembagaan melalui jawatankuasa tetap untuk memantau kementerian-kementerian serta projek-projek mega maupun Parlimen diberikan kuasa meratifikasikan perjanjian-perjanjian antarabangsa seperti Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik, sudah tentu implikasi untuk masa depan kekal dan terus mudarat.
Terkini, pendekatan “top-down approach” dalam menangani ekonomi negara telah banyak menjejaskan rakyat terbanyak. Pendekatan serupa ini jelas tidak mempedulikan aspirasi rakyat yang ingin bersama-sama merasakan kehidupan dalam kemakmuran dan kesejahteraan.
Pengenalan regim cukai regresif GST – cukai tinggi bagi golongan miskin; cukai rendah bagi golongan kaya; yang akan berkuatkuasa pada bulan April 2015 tidak dilakukan secara bertahap-tahap dan bakal menjejas kedudukan ekonomi-ekonomi keluarga walaupun ia bertujuan untuk mengimbangi defisit negara disebabkan oleh pengurusan ekonomi yang gagal dilaksanakan dengan baik.
Pengenalan dasar-dasar seiring GST akan melebarkan lagi jurang ekonomi di Malaysia – yang kekal antara yang tertinggi di Asia.
Justeru tidak menghairankan bila Merril Lynch meramalkan bahawa Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang muda dan miskin pada tahun 2030. Anehnya, kita membangun dan bermula seiringan dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan jiran terdekat Singapura, namun disebabkan oleh dasar-dasar masa kini – kita berhadapan kemerosotan lanjut.
Adalah menjadi tanggungjawab generasi kita untuk memastikan kita terselamat dari ramalan-ramalan yang menggerunkan sebegini. Kita bertanggungjawab kepada generasi seterusnya dalam memastikan mereka tidak dibebankan dengan belenggu masalah yang merantai kita selama ini. Tindak-tanduk kita mampu melepaskan mereka dari rantaian belenggu ekonomi ini.
Sheikh Yusuf Qardhawi menyatakan “politik adalah memastikan rakyat mendapat manfaat dan kemaslahatan.”
Saya yakin jawapan untuk membina masa depan yang lebih baik dan mengelakkan kemudaratan terletak pada pendekatan Fiqh Tawaqqu’ – melakar dasar bagi memenuhi keperluan masa depan dan mengelakkan keburukan daripada melanda.
Sekiranya Nabi Yusuf A.S. punyai kebolehan mentadbir sehingga merangka dasar ekonomi masa depan hingga 7 tahun seterusnya; apa alasan kita untuk tidak berbuat demikian?
Masa depan adalah milik kita jika kita bertindak sekarang untuk mengatasi kemudaratan yang dibawa golongan yang leka tanggungjawab dan lupa akhirat.
Maka, jadikanlah masa depan, masa kita!
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)