KENYATAAN MEDIA
8 Julai 2013
UNTUK SEBARAN SEGERA
MASALAH DALAMAN UMNO MENYEKAT PELUNASAN JANJI PEMANSUHAN AKTA HASUTAN PERDANA MENTERI – DI MANAKAH TERLETAKNYA KUASA SEBENAR DATUK SERI NAJIB?
Bak kata pepatah Melayu, “Kalau menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan” – Jelas bahawa YAB Perdana Menteri harus meneruskan reformasi undang-undang yang telah beliau mulakan tahun lalu sehingga semua janji yang beliau buat dikota, lebih-lebih lagi kerana beliau telah mengulangi komitmen memansuhkan Akta Hasutan di London baru-baru ini.
Saya bersedia memberi YAB Perdana Menteri senaskhah Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 yang telah saya sediakan dan serahkan ke Parlimen minggu lalu, sama seperti sewaktu saya mencadangkan pemansuhan 4 perisytiharan darurat sekitar April 2011.
Kata-kata serta kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, apatah lagi janji sebegini wajib dilunas dan diberikan sepenuh perhatian oleh kerajaan di bawah seliaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib bakal mengalami pertembungan dalaman parti yang membawa kepada percanggahan pendapat – dolak dalih menerusi pendirian Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar semua yang ingin memansuhkan Akta Hasutan ini; termasuk anggota-anggota kabinet yang bersetuju dengan pemansuhannya termasuk Datuk Seri Nazri Aziz, serta Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang melahirkan hasrat beliau pada 17 Jun 2013 supaya undang-undang lapuk, termasuk Akta Hasutan 1948 digantikan secepat mungkin.
Akta Hasutan 1948 diwujudkan oleh kuasa kolonial British dan mempunyai peruntukan yang menyekat hak perlembagaan dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia. Bahasa yang digunapakai di dalam Akta tersebut adalah terlalu luas hingga mencangkup segala kritikan serta ucapan yang menyoal atau mengkritik kerajaan walaupun dasar serta tindakan kerajaan itu mungkin tidak menguntungkan negara atau rakyat. Tiada perbezaan yang wujud antara kritikan yang bersebab dan kritikan yang membawa kepada keganasan mahupun huru-hara. Pengalaman lampau dan terkini pimpinan Pakatan Rakyat serta aktivis tempatan membuktikan bagaimana Akta ini disalahguna demi menghukum individu yang tidak bersetuju atau menyokong Barisan Nasional.
Jikalau dibanding dengan undang-undang sedemikian dengan negara-negara seperti Kanada dan India, jelas bahawa seharusnya hasutan tidak boleh digunapakai tanpa kewujudan bukti yang menunjukkan hasutan yang disebut membawa bersama ugutan keganasan dan huru-hara.
Tambahan lagi, kenyataan Ahmad Zahid bahawa sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan tidak akan ada undang-undang yang boleh menjamin masyarakat selamat dari tindakan mereka yang cuba menghasut adalah salah. KEADILAN berpendirian bahawa undang-undang sedia ada mencukupi; sebagai contoh, Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) mampu menangani kenyataan-kenyataan yang mungkin mengakibatkan ketakutan atau kegusaran di kalangan masyarakat.
KEADILAN jua amat gelisah dengan pengumuman Datuk Seri Zahid tentang keperluan mewujudkan undang-undang baru bagi menggantikan kuasa Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan pada 2011. Menurut Datuk Seri Hishamuddin, mantan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab membebaskan 1,476 pada awal 2012, hanya 4 orang ataupun 0.27 peratus daripada tahanan terdahulu yang terlibat di dalam kes jenayah.
Sebaiknya, perbincangan dalaman kabinet yang rata-rata merangkumi pimpinan UMNO dilaksana terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman atau janji dibuat oleh mereka yang digelar Menteri!
Perlu diingat, bahawa tanda mercu demokrasi adalah ‘Rule of Law’ dan ‘Protection of the Rights of the Citizen from the power abuse of the State’ – nyata sekali tuntutan agar Akta Hasutan terus dikekalkan malah diminta juga dikembalikan Akta EO di dalam bentuk ‘baru’ menghakis legitimasi demokrasi kerajaan.
Sepatutnya, kerajaan harus mengambil kira ‘Kehendak Rakyat’ majoriti (People’s Will) dengan ‘Kehendak Politik’ (Political Will) untuk memulihkan demokrasi termasuk melaksanakan tugas sebuah kerajaan agar menyelesaikan ‘root cause’ atau sebab sebenar mengapa hasutan mahupun jenayah berganda dan bukan mencari jalan mudah dengan menggunakan akta-akta lapuk dan anti-demokratik untuk ‘menutup’ krisis perpecahan perpaduan serta keadaan jenayah yang meruncing.
Adalah jelas akta-akta ini menjadi senjata politik dan bukan alat untuk mempertahankan hak rakyat hidup bersatu dengan semangat muhibah dan selamat di negara ini.
Oleh demikian, hentikan permainan mempolitikan hak serta memperjudikan keselamatan nyawa maupun harta benda rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu jenayah harian yang memperlihatkan kekurangan anggota polis di jalanan – hanya 9,335 daripada sejumlah 106,079 anggota polis bertugas di dalam Jabatan Siasatan Jenayah; sedang nisbah polis dengan penduduk adalah 1:270 .
Menteri Dalam Negeri yang terbaru wajib menyelesaikan isu penugasan semula anggota PDRM, termasuklah memperbaiki kadar tangkapan yang memperhasilkan dakwaan dan salah laku di mahkamah, bukannya membiar masalah dalaman UMNO menganggu gugat usaha reformasi ke arah Malaysia yang lebih baik.
Segala cadangan yang sudah acap kali diberikan seperti tadi mampu dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang adil, rasional dan matang. Hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih – itulah saja gambaran yang dapat rakyat saksikan dengan kenyataan bercanggah kepimpinan Umno yang sedang membuat ‘political posturing’ tanpa menghiraukan keperluan dan kehendak rakyat.
Akhir kata, Presiden Umno wajib bersuara dan menyatakan pendirian muktamad mengenai janji memansuhkan Akta Hasutan. Sekiranya tidak, integriti serta kredibiliti kerajaan minoriti Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus dipersoal oleh rakyat apabila janji demi janji yang dibuat tidak pernah ditepati.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat