Memorandum Memohon Siasatan Suhakam:
Keganasan Politik “Malam Berdarah Lembah Pantai”
31 Mei 2012
Adalah kami merujuk kepada perkara di atas.
ADALAH DIMAKLUMKAN BAHAWA:
2. Pada malam 24 Mei 2012, satu program Ceramah Perdana Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Lembah Pantai yang berlangsung di PPR Pantai Permai, Pantai Dalam telah menjadi mangsa kepada keganasan politik di mana batu, telur dan botol air mineral yang dibaling kearah para hadirin telah mengakibatkan sekurang-kurangnya:
– dua kecederaan:
2.1) seorang lelaki warga emas, Raja Ismail bin Raja Din, 59 tahun, yang tercedera akibat terkena batu di kepala yang memerlukan rawatan; dan
2.2) seorang kanak-kanak Nurul Balqish binti Mohd Isa,12 tahun, yang cedera di pergelangan tangan akibat terkena batu bata;
– satu perbuatan vandalisme:
2.3) kenderaan miliki YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam yang telah ditoreh tayarnya,
– dan satu tindakan ugutan/intimidasi:
2.4) Setiausaha Politik YB Nurul Izzah, Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, 31 tahun, telah dimaki hamun, dikejar dan hampir dikerumuni sekumpulan lelaki berkemeja T merah di luar tapak ceramah KEADILAN tersebut.
3. Insiden ini juga telah menyaksikan beberapa orang awam termasuk anggota polis yang hadir telah terkena telur yang dibaling pihak tertentu.
4. Perhatian juga harus diambil bahawa kejadian 24 Mei 2012 ini bukanlah hanya satu kejadian keganasan yang telah dialami sewaktu program pihak Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan amnya, dan parti KEADILAN khususnya, tetapi merupakan salah satu daripada beberapa kejadian seumpamanya:
4.1) Pada 30 Mei 2012, dua ahli DAP Ganabatirao dan Raidu telah diserang di Taman Mutiara, Jalan Meru, Klang dan kini dimasukkan ke Hospital dengan tulang retak, hidung dan tangan patah;
4.2)Pada 19 Mei 2012, serangan batu dan telur ke atas program “hi-tea” anjuran dua ADUN DAP dan pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan di Merlimau, Melaka;
4.3) Pada 2 Mei 2012, serangan terhadap rombongan Naib Presiden PKR N.Surendran berhampiran pintu pengawal keselamatan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya menyebabkan seorang ahli PKR, Murali tercedera;
4.4) Pada 3 April 2012, mahasiswa Adam Adli ditumbuk di Kg Kerinchi, Kuala Lumpur;
4.5) Pada 20 Mac 2012, dua orang petugas pejabat YB Nurul Izzah yang sedang menjalankan culaan pengundi telah disekat dari menjalankan tugas lalu ditahan sekumpulan ahli Umno atas tuduhan palsu percubaan menculik kanak-kanak;
4.6) Pada 26 Februari 2012, majlis ceramah KEADILAN yang dihadiri YB Nurul Izzah dan YB Nik Nazmi di Felda Lepar Hilir, Pahang diserang sekumpulan lelaki hingga hampir berlaku insiden keganasan termasuk hampir berlakunya penumbukan ke muka YB Nurul Izzah;
4.7) Pada 26 Februari 2012, ugutan keganasan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng serta serangan ke atas dua orang wartawan Kwong Wah Jit Poh oleh ahli-ahli Umno dan Perkasa sewaktu perhimpunan anti-Lynas di Padang Kota, Pulau Pinang;
4.8) Pada 20 Februari 2012, kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN, telah diserang dengan batu dan ditendang kemek di Jalan Mersing, Sembrong, Johor;
5. Tindakan-tindakan keganasan politik ini boleh dikatakan sebagai satu ‘DEKLARASI PERANG TERHADAP DEMOKRASI DAN RAKYAT’.
OLEH DEMIKIAN;
6. Kami memohon pihak SUHAKAM untuk mengadakan satu siasatan yang menyeluruh untuk:
a) mengenalpasti jika wujud satu perancangan sistematik intimidasi politik melalui insiden-insiden keganasan politik di atas; serta
b) mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab menafikan hak rakyat berpolitik dan mengancam demokrasi di Malaysia.
7. Akhir sekali, adalah diharapkan dengan adanya siasatan menyeluruh ini maka budaya keganasan politik atau politik samseng ini tidak dibenarkan berakar, semoga dihindari sebarang kejadian berdarah yang lebih teruk dari terjadi.
Sekian,
YB Nurul Izzah Anwar,
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden KEADILAN
YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor, merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
YB Dr Tan Seng Giaw
Ahli Parlimen Kepong, Parti Tindakan Demokratik
YB Chua Tian Chang
Ahli Parlimen Batu, merangkap Naib Presiden KEADILAN
YB Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Segambut, Parti Tindakan Demokratik
YB Fong Kui Lun
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Parti Tindakan Demokratik
YB Teresa Kok Suh Sim
Ahli Parlimen Seputeh, Parti Tindakan Demokratik
YB Tan Kok Wai
Ahli Parlimen Cheras, Parti Tindakan Demokratik
Tn Hj Mohamad Nor Bin Mohamad
Wakil Ahli Parlimen Titiwangsa, Parti Islam SeMalaysia
Gambar-gambar sekitar Penyerahan Memorandum kepada SUHAKAM ;