Skip to main content

Parti Politik Kini Sukar Kesan Penipuan Yang Dibuat Melalui Pemindahan Terancang Pengundi

Saya ambil maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tidak lagi akan mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik. Jelas keputusan ini merupakan satu lagi siri penipuan daripada senarai manipulasi yang dilakukan oleh SPR untuk memenangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya.

Langkah ini jelas melanggar Artikel 10 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk mendapatkan maklumat. Ia juga melanggar ketetapan di mana SPR wajib menyediakan salinan RDPT kepada calon pilihan raya atau pihak berkuasa.

Sebenarnya, tahun 2016 memperlihatkan senarai penipuan SPR – daripada pemadaman sistematik pengundi baru di dalam pendaftar pemilih, kepada saman-saman mahkamah oleh kerajaan negeri, parti politik dan NGO apabila proses persempadanan yang dijalankan oleh SPR bertentangan dengan peruntukan perlembagaan negara.

Pada PRU 13, kami kalah di 30 kawasan Parlimen kerana undi pos dan undi awal yang diseleweng dan saya khuatir lebih banyak kerusi akan hilang di luar kerelaan pengundi dek kerana penipuan yang dihalalkan SPR.

Pada bulan Ramadhan tahun lepas, kami mendedahkan bahawa seramai 118,775 pengundi sudah dipindahkan kawasan DUN mereka. Daripada jumlah tersebut, lebih 40,000 melibatkan pemindahan kawasan Parlimen. Tetapi, alamat mereka tidak berubah. Hal ini berlaku akibat apa yang disifatkan SPR sebagai ‘pembetulan lokaliti’ yang dijalankan badan yang sepatutnya ‘bebas’ dan ‘adil’ itu baru-baru ini.

Sehingga kini perjuangan bagi membersihkan sistem pilihan raya dari penipuan dan cengkaman BN masih diteruskan dan diterajui pergerakan BERSIH.

Secara keseluruhan, langkah menghadkan akses kepada RDPT ini akan membuka ruang kepada penipuan dan memudahkan BN yang jadi sarang rasuah untuk menang tanpa kerelaan majoriti pengundi dalam PRU akan datang.

Tindakan ini bakal mendekatkan lagi demokrasi di negara kita kepada penipuan. Ia menyukarkan ketelusan dalam proses demokrasi dicapai dan natijahnya rakyat yang secara majoritinya sudah menolak BN dalam pilihan raya umum 2013 akan terpaksa terus merana dalam negara yang mengamalkan dasar yang menekan rakyat.

Menerusi penipuan pilihan raya ini, rakyat akan terus terbeban dengan cukai GST dan kegagalan pengurusan ekonomi negara yang hanya menyebabkan kenaikan mendadak kos sara hidup.

Kerajaan BN juga sudah dengan sewenang-wenangnya menarik subsidi minyak dan tidak lama lagi saya percaya subsidi beras, dan semua jenis subsidi barangan keperluan akan ditarik. Rakyat kini juga menerima kesan akibat pengurangan peruntukan untuk perkhidmatan kesihatan dan potongan biasiwa bagi pelajar cemerlang universiti. Kelengkapan yang rosak di sekolah-sekolah pula terpaksa dibiarkan setelah peruntukan penyelenggaraan dipotong!

Pada sisi lain, saya amat khuatir langkah ini akan meningkatkan lagi keraguan rakyat terhadap ‘kebebasan’ SPR sebagai badan yang bertanggungjawab untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan adil dan tidak dipengaruhi badan eksekutif atau jemaah menteri.

Untuk makluman, RDPT mengandungi senarai pemilih terkini diedarkan SPR kepada semua parti politik setiap suku tahun. Ia memudahkan parti-parti politik untuk menyemak senarai pemilih. Bagi kami di Parti KEADILAN Rakyat, proses semakan senarai pemilih ini penting bagi memastikan senarai yang dikeluarkan SPR bersih dari sebarang perkara yang meragukan atau penipuan. Sebagai contoh, ia merupakan salah satu cara kami untuk mengenal pasti sekiranya wujud pengundi ‘hantu’ di sesebuah kawasan.

Bagaimanapun langkah SPR ini bukan sahaja menghadkan malah menyukarkan proses semakan ini dilaksanakan. Untuk rekod, proses semakan yang kami lakukan sebelum ini dibuat secara teliti, satu demi satu nama pemilih disemak kesahihannya. Namun arahan terbaru SPR ini bermakna kami hanya boleh melihat senarai terbabit di lokasi tertentu. Ini bermakna proses semakan terperinci yang selalunya dibuat di peringkat parti hampir mustahil dilaksanakan. Ini menyebabkan kami sukar untuk mengesan sekiranya ada penipuan dalam senarai berkenaan.

Justeru, KEADILAN menggesa SPR menerusi permohonan bertulis menarik balik keputusan tersebut seraya membenarkan parti-parti politik menerima akses kepada RDPT demi proses demokrasi yang telus dan adil. Perbincangan pihak kami dengan pasukan guaman juga diteruskan.

Sekiranya tidak, bukankah lebih baik sekiranya tangan parti-parti pembangkang diikat dan mata kami ditutup sebelum Pilihanraya Umum diadakan kelak? Bukankah itu yang diimpikan Perdana Menteri Najib Razak dan kabinetnya, supaya dapatlah diteruskan dasar politik dan ekonomi yang menekan rakyat?

NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden merangkap Pengarah Pilihanraya Bersama Parti Keadilan Rakyat