Skip to main content

KENYATAAN MEDIA

Mengapa 2.6 Juta Penerima RMT Tidak Menyumbang Kepada Penurunan Kadar Malnutrisi Kanak-Kanak?

Saya kecewa dengan pernyataan ‘tiada laporan budak tak makan dari sekolah’ oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia.

Kesihatan hampir 460,000 pelajar sekolah rendah di seluruh Malaysia (kira-kira 25%) menjadi taruhan, dan mereka akan terus berdepan masalah malnutirisi serta obesiti disebabkan kegagalan Kementerian Pendidikan dan urus tadbir pentadbiran kerajaan BN mendepani realiti rakyat sebenar.

Dapatan kajian Unicef berhubung keadaan anak-anak miskin bandar ditolak dan dipertikaikan Menteri Pendidikan, meskipun ianya bersandarkan
kajian dan fakta.

Bahkan, kadar pertumbuhan terbantut kanak-kanak miskin bandar di Malaysia adalah sebanyak 22 peratus, jauh lebih tinggi dari Ghana yang mencatatkan 18 peratus berdasarkan laporan yang sama.

Saya turut gusar melihat hasil laporan World Health Organization (WHO), yang mendapati 17.7% anak-anak Malaysia berumur 5 hingga 19 tahun mengalami pertumbuhan terbantut, dan hampir 13% mempunyai berat badan berlebihan – kadar kedua terburuk di Asia Tenggara.

Sikap Menteri Pendidikan kini yang jelas berbeda dengan Mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Wee Ka Siong yang tampil dengan kesediaan mendengar tatkala timbul isu laporan TIMMS dan PISA yang menunjukkan tahap Sains dan Matematik anak-anak di Malaysia lebih teruk daripada negara Vietnam – menunjukkan penurunan standard kredibiliti Menteri dari dulu sehingga kini.

Ini yang sepatutnya menjadi tauladan pihak menteri apabila terdapat mana-mana agensi atau badan antarabangsa tampil dengan dapatan kajian, sewajibnya menterilah yang tampil untuk mendapatkan kemaskini kesan bantuan Rancangan Makanan Tambahan. Bukan hanya menyahkan dakwaan tersebut dan tampil angkuh bahawa beliau tidak tahu ada budak tak cukup makan.

Bahkan, lebih cantik lagi jika menteri secara aktif menyalurkan bantuan RMT yang telah sedia ada untuk kesemua 2.6 juta pelajar peringkat sekolah rendah. (Verify)

Proses penyelarasan antara data yang dikutip oleh pihak Unicef, perlu disalurkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sekolah bagi tujuan saluran bantuan. Hal ini selari dengan cadangan yang digariskan oleh pihak UNICEF khusus tentang pelaksanaan Elaun Jagaan Sejagat Kanak-Kanak dan mengambil langkah segera dengan memudahkan akses kepada makanan yang berkhasiat untuk kanak-kanak seperti susu, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Saya gesa agar Kementerian Pendidikan tampil menjelaskan kaedah pengumpulan senarai nama penerima RMT serta cara pengagihan bantuan. Yang pasti, proses permohonan tidak harus mengambil kira hanya pendapatan ibu bapa murid, tetapi lebih kepada latar belakang demografi dan kadar kemiskinan setempat.

Perlu wujud sinergi inisiatif antara ahli akademik dan pihak pelaksana program RMT di sekolah-sekolah. Pakar nutrisi harus diberikan akses dalam membuat kajian terperinci agar anak-anak boleh mendapatkan makanan berzat dan berkhasiat sesuai dengan peringkat umur mereka.

Usahlah berdolak dalih dalam urusan berkait kebajikan rakyat, khususnya kanak-kanak B40 yang tidak wajar dimangsakan lagi. Kita hanya mampu mengejar impian TN50 sekiranya parti pemerintah berani mendepani realiti ekonomi rakyat hari ini dengan telus, terbuka dan bertanggungjawab.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, KEADILAN