Skip to main content

Pada malam 10 Ogos lalu, saya sempat merenung jauh ke tembok Penjara Sungai Buloh yang suram – menyembunyikan genggaman rindu serta sayu – tinggalan sejarah reformasi yang juga disulami realiti terkini.

Mengenang Anwar di Sebalik Jeriji

Malam itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ayahanda kepada kami enam adik beradik menyambut kelahirannya yang ke 69, walau jeriji besi 13 lapisan memisahkan kami buat masa ini. Seakan-akan deja vu melihat wajah sahabat, taulan, kenalan, teman, keluarga, semuanya seperjuangan.

Zaman silih berganti, namun sesiapa sahaja yang lantang berprinsip dalam menegakkan kebenaran menentang kezaliman masih lagi diperlakukan tanpa keadilan oleh parti pemerintah. Ayah saya merupakan salah seorang mangsa kebobrokan sistem. Kali pertama ketika beliau diperlakukan dengan tidak adil, yang kekal terpahat sebagai memori hitam adalah pada tahun 1998. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditahan di bawah akta ISA tahanan tanpa bicara, disusuli dengan dakwaan palsu yang menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun lamanya. Yakni, setelah saban tahun berlalu, diakui bahawa dakwaan palsu tersebut merupakan konspirasi politik berskala mega. Kerana lantang bersuara dalam mendedahkan salah urus tadbir negara, beliau sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun di Sungai Buloh. Pengalaman terdahulu, bermula dengan hampir 2 tahun ditahan di kamunting semasa zaman mahasiswa beliau, yang mengetuai protes di Baling pada tahun 1974 menjadikan jumlah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan di Malaysia adalah 13 tahun lamanya.

Tiga belas tahun merupakan tempoh yang signifikan sebagai fasa transisi pembelajaran. Bayangkan tempoh pengajian bermula daripada pra sekolah 5 tahun sehingga tamat pengajian menengah pada umur 17 tahun. Bahkan, analogi yang lebih universal adalah tempoh tiga belas tahun itu sudah melebihi jumlah yang diperlukan untuk planet Jupiter mengelilingi Matahari!

Begitulah jika hendak dikira betapa lamanya tempoh tiga belas tahun, dimana satu perlima daripada hayat ayahanda saya diluangkan di penjara. Namun demikian, demi prinsip menolak penindasan yang berterusan, serta membuka ruang lingkup terhadap ke arah keadilan dan pemantapan demokrasi, biarpun dipenjarakan berbelas tahun lamanya, namun berundur daripada prinsip tidak sekali.

Menerusi usaha beliau yang berterusan untuk mengangkat nilai keadilan sosial menerusi demokrasi dan dimulakan dengan seruan Reformasi mula bertapak di Malaysia. Sorotan krisis ekonomi dan politik pada tahun 1998, reformasi kekal teguh dan tak lapuk dek zaman sehingga kini. Arakian, kini merupakan masa yang lebih relevan apabila reformasi diangkat sebagai keperluan dalam menyelamatkan masa depan Malaysia.

Semangat Reformasi adalah merupakan satu agenda jelas dan takkan pernah luput dalam memastikan agenda mendepani kerajaan yang sering melakukan penindasan, sementara perjuangan untuk reformasi sistem agar wujudnya timbang tara kuasa institusi yang ada dalam negara. Kesemua ini adalah proses yang penting dalam agenda pendemokrasian negara.

Ketika beliau diheret pergi, beliau sempat berbisik kepada saya bahawa perjuangan untuk rakyat perlu diteruskan bersama rakyat. Pada tahun 1998, saya yang ketika itu pada umur 18 tahun nekad untuk menceburi politik ketika usia remaja. Dengan tunjuk ajar daripada ibu, dokongan daripada ahli keluarga, serta sokongan tak berbelah bahagi daripada rakyat, saya menyahut seruan perjuangan reformasi.

Hampir dua dekad telah berlalu, saya masih menggalas gelaran ‘Puteri Reformasi’ yang saya fikir amat berat untuk membawa anugerah sebesar itu, dan jujurnya telah saya usahakan sehabis daya. Gelaran ‘Puteri Reformasi’ adalah lebih daripada sekadar nama. Ia merupakan simbol pengiktirafan terhadap usaha yang digalas oleh ayahanda dalam membawa Malaysia ke tahap demokrasi yang sihat dan prinsip-prinsip asas keadilan demi Malaysia yang lebih baik. 18 tahun lamanya, saya telah menggalas tanggungjawab ini dan membawa semangat perjuangan reformasi terus dipertahankan. Agenda reformasi yang saya kira menjadi sebati dengan identiti semenjak memegang tampuk taklifan sebagai ahli dewan rakyat dan ibu kepada dua orang cahaya mata. Untuk masa yang telah berlalu dan tahun-tahun yang akan datang, saya tetap dan akan berterusan menjuarai isu berkait rapat dengan demokrasi, untuk mengetengahkan isu hak asasi manusia berkenaan wanita, isu kesaksamaan hak antara gender, memperkasakan golongan belia dan perlindungan kanak-kanak.

Salah satu usaha yang telah diinisiatifkan pada tahun 2010 adalah Rang Undang-undang Persendirian memohon pembatalan kesemua 4 Deklarasi Darurat yang sering disalahgunakan oleh undang-undang lapuk, dan kerajaan kuku besi tertutamanya seperti akta ISA. Pada awalnya usul yang saya bangkitkan tidak diterima oleh speaker dewan rakyat, namun usaha berterusan menyebabkan pasca pembentangan usul tersebut, Datuk Seri Najib Razak telah mengguna pakai usul yang dicadangkan 6 bulan setelah dibentangkan di dewan rakyat apabila beliau mengumumkan akan memansuhkan ISA.

Malangnya pembatalan Deklarasi Darurat oleh Perdana Menteri tidak diperincikan dengan baik, walaupun beliau sempat menerima serahan Rang Undang-Undang daripada tangan saya sendiri. Perlu diingat, negara menyaksikan pelbagai undang-undang baru berkait keselamatan dan prosedur ketenteraan dalam tempoh darurat. Makanya apabila dibatalkan haruslah disusuli dengan perancangan rapi pemberian kuasa kepada kementerian-kementerian tertentu dalam merangka undang-undang baru bagi menggantikan undang-undang lama yang terbatal di bawah ISA dan Ordinan Darurat. Kalaulah Perdana Menteri sanggup bekerjasama sewaktu itu dengan pihak kami, tidak lah kita terpaksa berhadapan dengan Rang Undang-Undnag Majlis Keselamatan Negara yang dikritik Majlis Raja-Raja hari ini!

Hal ini jelas menunjukkan bahawa adalah penting untuk kita menjadi pembawa panji reformasi, namun apa yang lebih penting adalah kelestarian mesej reformasi yang dibawa.

Syukur, masyarakat kini telah membuka mata dalam berkongsi keghairahan reformasi ke segenap pelusuk negara. Hal ini terbukti dengan perolehan sokongan majoriti 52 peratus rakyat terhadap reformasi pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Bahkan melalui himpunan BERSIH 4.0, ratusan ribu rakyat berkumpul dalam mendesak urus tadbir negara yang telus dan demokrasi berparlimen yang benar-benar dilaksanakan. Namun demikian, walaupun keghairahan yang dikongsi bersama ini tidak membuahkan kemenangan, namun realitinya kita masih bergerak ke arah hala tuju reformasi yang asal. Usah kita lupakan, visi asal idea dan demokrasi harus diangkat setelah satu demi satu usaha menimbulkan gangguan politik untuk menenggelamkan hala tuju utama agenda reformasi. Izinkan saya untuk memanifestasikan usaha saya dalam membentuk kesedaran politik melalui pendekatan simbol, kata-kata dan tindakan yang diharapkan mampu mengangkat nilai-nilai utama agenda awal.

Menyerap semangat ini, saya akan memaksimakan bahagian ini agar ‘Minda Reformasi’ dibugarkan kembali dalam membina masyarakat yang lebih baik. Pemikiran yang memerlukan kita untuk mengimbas kembali harapan dan impian rakyat Malaysia dan memperoleh keadilan dan kebebasan, hak sama rata dan demokrasi yang perlu diperjuangkan, dicatat dan dikongsikan secara meluas.

Masih segar dalam ingatan saya ketika kali pertama ayah dipenjarakan, ibu saya Datuk Seri Dr. Wan Azizah telah membawa saya dan lima adik setiap kali ulang alik ke penjara. Pada tahun 1998, adik bongsu dan adik yang kelima saya berumur 6 tahun dan 8 tahun ketika itu. Walaupun telah bersilih ganti hampir dua dekad, ayah saya sekali lagi dimangsakan oleh pihak tirani akibat percaturan politik mereka yang kotor. Pada tahun 2015, saya pula terpaksa menuntun tangan anak lelaki yang berumur 6 tahun dan anak perempuan yang berumur 8 tahun untuk menziarahi papatuk mereka di penjara. Dalam setiap pertemuan yang diharapkan, agar dapat menerima pelukan erat sesama kami, namun dihampakan dengan pertemuan yang dipisahkan dengan dinding kaca dan perbualan menerusi telefon. Segenerasi telah pun berganti, namun sistem politik kita masih lagi menindas dan tidak berubah. Kini adalah merupakan masa yang paling utama dalam meniup obor semangat reformasi.

“Untuk mengingatkan bahawa demokrasi adalah pengembalian kuasa kepada rakyat dalam perjuangan untuk memperoleh kebebasan, dan melupakan yang sedemikian adalah kemuncak segala penindasan”

Kata- kata ini adalah ungkapan daripada Haji, salah seorang rakyat dan Otai Reformasi menjadi sebati dalam diri saya. Terlalu banyak yang telah dilalui bersama, terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan. Tak terkira air mata yang mengalir, serta rintangan dan cubaan yang telah dihadapi dalam menempuhi perjalanan panjang dan perjuangan yang perlu diteruskan. Kita harus yakin dan percaya bahawa perjuangan menuntut kebenaran adalah suatu kemenangan untuk Malaysia. Dalam misi membentuk masyarakat yang demokratik dan pemantapan institusi demokrasi. Demi memastikan agenda reformasi menjadi bermakna, harus wujud komitmen yang mendalam daripada rakyat untuk menggariskan nilai-nilai dan pemikiran yang membentuk reformasi ditebar-luaskan, dan ini merupakan misi khas yang akan saya teruskan dengan membawa isu-isu dan permasalahan yang dekat dengan jiwa masyarakat.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

 

Atiqah Shaharuddin:
Mengenang Anwar di Sebalik Jeriji

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/nurul-izzah/mengenang-anwar-di-sebalik-jeriji-1.559095