22 OKTOBER 2021, KUALA LUMPUR – Sebuah kajian yang baru diterbitkan semalam oleh YB Nurul Izzah Anwar telah menunjukkan impak Covid-19 ke atas kemiskinan.
Laporan Indeks Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh 2021 yang dilancarkan hasil kerjasama YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Profesor Dr Fatimah Kari, mantan Profesor Ekonomi dan mantan Pengarah Pusat Pengajian Kemiskinan dan Pembangunan di Universiti Malaya ini memperincikan pembangunan indeks MPI (Multidimensional Poverty Index) secara realistik sebagai kaedah alternatif bagi mengukur kadar kemiskinan berdasarkan dimensi keperluan asas dalam keluarga ketua isi rumah (KIR) yang miskin. MPI yang lebih tinggi menunjukkan kesan lebih parah kepada kualiti hidup (higher deprivation).
YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed Menteri selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), yang telah memberi ucapan penutup, telah menzahirkan ucapan tahniah kepada Pejabat Parlimen Permatang Pauh di atas usaha dalam membasmi kemiskinan di Malaysia menerusi kajian indeks multidimensi di kawasan Parlimen tersebut dengan mengupayakan anak muda tempatan sebagai enumerator kajian.
YB Menteri Ekonomi berpendapat bahawa kajian MPI Permatang Pauh membantu melahirkan ukuran lebih komprehensif dengan perspektif tempatan dan geografi – lantas menambah nilai kepada penggunaan mekanisma MPI oleh kerajaan dalam menyahut saranan UNDP sejak 2016 – dan kajian yang sama sepatutnya dilakukan juga di kawasan-kawasan parlimen lain.
Beliau menzahirkan keperluan merancang jumlah perbelanjaan bagi menampung kemiskinan pelbagai dimensi bagi segmen B40 Permatang Pauh – dan menekankan kepentingan kerjasama dwipartisan dalam membasmi kemiskinan tegar sehingga 3.7 peratus menjelang 2025.
Ketua Isi Rumah (KIR) Wanita Lebih Terdedah Kepada Kemiskinan
Laporan ini mendapati KIR wanita mempunyai kadar penyisihan yang jauh lebih tinggi dalam setiap dimensi kemiskinan berbanding KIR asas dan menghuraikan dimensi yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 seperti PdPR, kehilangan pekerjaan dan pendapatan dan keselesaan sewaktu PKP merupakan antara faktor yang memb. Penyisihan yang tinggi dari aspek PdPR dalam kalangan anak-anak KIR wanita membawa implikasi yang serius dan perlu ditangani dengan strategi yang tuntas.
Skor purata tahap pendidikan KIR ibu tunggal adalah lebih rendah berbanding dengan purata tahap persekolahan KIR asas. Pendapatan purata KIR asas adalah sebanyak RM2,131.85 sebulan berbanding RM1,451.71 sebulan untuk KIR wanita (68.1 peratus lebih rendah daripada purata). Indeks impak pendidikan terhadap pendapatan juga berbeza dengan KIR asas yang mencatat skor 0.73 berbanding dengan KIR ibu tunggal sebanyak 0.62 (selaku faktor koefisien/ impak – skor yang lebih tinggi menandakan kehidupan yang lebih berkualiti).
Anak-Anak B40 Alami Kemiskinan Nutrisi dan Berisiko Menjadi Generasi Tercicir
Kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak adalah satu tragedi negara yang membawa beban kemiskinan kepada generasi akan datang. Kajian ini mendapati kadar penyisihan golongan kanak-kanak dari segi dimensi bekalan air (0.079) dan elektrik (0.07) merekodkan kadar penyisihan yang rendah. Namun begitu, penyisihan dari segi perumahan dan sanitasi didapati agak sederhana iaitu masing-masing pada kadar 0.344 dan 0.278.
Dari perspektif kemiskinan kanak-kanak, hampir semua indikator yang berkaitan dengan dimensi pandemik COVID-19 menunjukkan kadar penyisihan yang tinggi seperti perbelanjaan makanan (per kapita) dan PdPR yang merekodkan kadar 0.966 dan 0.877.
Laporan MPI Permatang Pauh merupakan kajian pertama di Malaysia yang mengira kadar penyisihan dalam bidang pembelajaran kanak-kanak di rumah di tengah-tengah serangan pandemik Covid-19.
Kesemua penemuan signifikan, termasuklah penyisihan yang tinggi dalam PPM kerana ia menunjukkan bahawa keluarga miskin tidak mampu untuk membeli keperluan makanan yang mencukupi dan dalam erti kata yang lain, golongan kanak-kanak menghadapi kemiskinan nutrisi yang kritikal (extreme food poverty) yang diwakili oleh hampir 60 peratus KIR dalam sampel kajian.
Paras PGK (Pendapatan Garis Kemiskinan) yang diubah suai akibat pandemik COVID-19 (Adjusted COVID-19 Poverty Line/PGK COVID-19) mendapati ianya RM 2,151 dan ini adalah hampir 8 peratus lebih tinggi dari nilai PGK negeri (RM1,989) yang diumumkan pada tahun 2019. Ubah suai PGK di sini adalah untuk mengambil kira:
- a) Kelemahan yang sedia ada dalam metodologi PGK 2019 terutamanya dari aspek perbelanjaan bukan makanan.
- b) Kesan wabak COVID-19 (Covariate Shocks) di mana isi rumah terpaksa berbelanja ke atas barangan kesihatan dan perlindungan diri yang akan bertambah sekiranya saiz keluarga adalah besar.
- c) Wabak COVID-19 memberi kesan peningkatan kos dan perbelanjaan akibat logistik sistem ekonomi yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Prinsip Keterbukaan serta Integrasi Data adalah Langkah ke depan dalam Membasmi Kemiskinan
Dapatan survei MPI Permatang Pauh telah diserahkan juga kepada Jabatan Statistik Malaysia (DoSM) – selaku agensi pemusatan data tanah air yang lebih arif dalam melaksanakan bancian pengulangan yang jauh lebih terperinci. Ketua Perangkawan Malaysia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin yang juga turut hadir dalam majlis semalam telah menerima sesalinan laporan MPI Permatang Pauh.
Dokongan timbal balas merentasi agensi adalah seiring dengan saranan dasar data terbuka Khazanah Research Institute (KRI) bagi tujuan penyelidikan akademik. Sebagai langkah menggambarkan realiti kemiskinan yang sebenar, sebaiknya Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) disemak semula bagi mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah dan kos sara hidup secara lebih tepat; dengan langkah serta merta penggunaan PGK 2019, iaitu RM2208 seisi rumah dalam penurunan bantuan. Untuk makluman penurunan bantuan tunai pada 2020 telah menggunakan PGK lama, iaitu RM980 seisi rumah.
Penggubalan RMKe-12 adalah paling mencabar berbanding rancangan lima tahun sebelum ini kerana kemiskinan mutlak meningkat kepada 8.4% pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19. Insiden kemiskinan berkurang dengan ketara daripada 16.5% pada tahun 1989 kepada 5.6% pada tahun 2019 berdasarkan metodologi PGK 2019. Namun yang demikian, walaupun ekonomi Malaysia telah mencatatkan kadar pertumbuhan yang agak tinggi dalam tempoh 30 tahun, ketidakseimbangan ekonomi terus berlarutan dan struktur ekonomi masih wujud – termasuk ketidakseimbangan pertumbuhan spatial, ketidaksamaan antara kumpulan pendapatan, kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia, kenaikan kos sara hidup dan industri yang tertumpu kepada rantaian nilai pengeluaran yang rendah.
Laporan kajian yang berlangsung selama empat bulan (dengan kerja-kerja perancangan bermula seawal tahun 2019) itu dibentangkan oleh Profesor Fatimah Kari, yang memperincikan bagaimana kajian ini merupakan program perintis untuk mengenal pasti dan mengesahkan perlunya langkah-langkah yang lebih holistik dalam mengukur kemiskinan di Malaysia – dengan mempertimbangkan konteks tempatan dan geografi – dan yang paling penting, kesan keseluruhan COVID -19 pada segmen rentan yang paling terdedah.
Kajian ini menggunakan 9 dimensi utama yang mengambil kira 6 dimensi konvensional, dan 3 dimensi yang berkait dengan pandemik COVID-19. Dimensi konvensional seperti kemudahan perumahan mencatat kadar penyisihan (deprivation rate) tertinggi, diikuti pendidikan KIR, sanitasi, bekalan air, kesihatan, dan elektrik. Tiga indikator utama yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 menunjukkan skor penyisihan yang agak tinggi, khususnya yang berkaitan dengan keselesaan rumah kediaman, dimensi kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas disebabkan PKP, serta kadar penyisihan berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sehaluan dengan dapatan MPI Permatang Pauh, YB Nurul Izzah juga mengingatkan keperluan menggunapakai lensa responsif mengikut keperluan gender dalam Belanjawan 2022 kelak; dan pelaksanaan perlindungan kanak-kanak sejagat yang disarankan oleh KRI.
“Kerajaan perlu mengambil kira pengenalan cukai yang lebih progresif bagi menampung bantuan serta jaringan keselamatan sosial yang mencukupi buat rakyat; cukai durian runtuh, contohnya – yang telah disebut di dalam Laporan Menongkah Badai oleh KRI,” katanya lagi.
Acara pelancaran dilanjutkan dengan sesi webinar atas talian yang bertajuk “Implikasi Gender dari Indeks Kemiskinan Multidimensi: Cadangan Dasar Belanjawan Responsif Gender” bersama panel Profesor Fatimah Kari, Dr Melati Nungsari dari Asia School of Business, Puan Hawati Abdul Hamid dari Institut Penyelidikan Khazanah, dan Yu Ren Chung dari Women’s Aid Organisation. Acara pelancaran fizikal dianjurkan dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bersama jarak fizikal dan ujian kendiri yang disediakan.
TAMAT
PEJABAT AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH
21 OKTOBER 2021
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jannah Jailani / Nadia Nazri menerusi e-mel di
jannahjailanimj@gmail.com / nadiafathinsyahira@gmail.com atau Tel: 04-522 1463.