Skip to main content
BangsarIssues Affecting the RakyatLembah PantaiMediaUndang-Undang

Nurul Izzah kecewa tahap keselamatan di Bangsar

By 21 March, 2009February 18th, 2020No Comments

Ahli Parlimen kecewa tahap keselamatan di Bangsar 

BANGSAR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar melahirkan rasa kecewa dengan tahap keselamatan di Bangsar yang disifatkannya sebagai mempunyai mutu pemantauan yang lemah. 

Nurul Izzah berkata, kejadian serangan ke atas seorang pensyarah warga asing, Dr Andelko Simic, Januari lalu masih belum meredakan kebimbangan di hati penduduk dan terbaru, Ahad lalu, kejadian alat pengangkut bahan binaan terjatuh dan menghempap dua pekerja warga Bangladesh hingga maut menambahkan kerunsingan di hati penduduk. 

Menurutnya, kejadian di tapak pembinaan sebuah projek pembangunan di Bangsar Utama itu tidak sepatutnya berlaku dan memanjatkan rasa syukur kerana tiada rakyat tempatan yang terbunuh. 

“Walaupun bukan warga kita tetapi setiap nyawa yang hilang itu amat bernilai. Sepatutnya kita sama-sama berusaha untuk mengelakkan kejadian spt itu berlaku. 

“Kita bernasib baik kerana semasa kejadian, tiada rakyat tempatan terbunuh kerana saya difahamkan kawasan pembinaan tersebut hampir dengan jalan raya dan banyak kenderaan yang menggunakannya,” katanya kepada Sinar Harian. 

Nurul Izzah berkata, pihaknya akan membangkitkan isu keselamatan ini di peringkat parlimen kerana ia merupakan isu dasar yang perlu diambil perhatian semua pihak. 

“Ia sepatutnya disokong oleh implementasi dan pemantauan. Maknanya di sini, undang-undang kita dah ada tapi pemantauan itu amat mengecewakan. Saya akan bawakan tuntutan ini bersama penduduk di Bangsar,” katanya. 

Nurul Izzah turut melahirkan rasa kecewa kerana isu keselamatan dipolitikkan ekoran ketidakhadiran Ketua Polis Daerah (OCPD) Brickfields atau wakilnya dalam satu majlis dialog bersama penduduk Bangsar di Damansara penghujung minggu lalu. 

“Kami agak kecewa kerana hari sebelumnya mereka menyatakan bahawa OCPD atau wakil beliau akan hadir, tetapi keadaan sebaliknya berlaku. 

“Ia membimbangkan kerana apabila wujud isu politik, akan kuranglah tekanan kepada profesionalisme. Walaupun saya Ahli Parlimen pembangkang, tapi saya bawakan isu rakyat bukan isu parti. Saya amat kecewa,” katanya. 

Menurutnya lagi, kempen ‘Crime Watch’ akan diteruskan yang mana penekanan terhadap keperluan aduan laporan polis penduduk terhadap kejadian jenayah. 

“Kempen ini akan menekankan keperluan yang mana satu salinan laporan polis berhubung kejadian jenayah di sini akan diserahkan kepada saya. Insya-Allah, saya akan bawa data tersebut kepada parlimen agar kita boleh lebih memberikan tekanan (urgency) kepada keperluan dan suasana keselamatan itu dapat diwujudkan. 

“Kita juga akan menghantar memorandum penduduk yang mengemukakan lima isu seperti senarai jalan paling bahaya di Bangsar dan cadangan supaya polis implementasikan kawalan di setiap laluan keluar masuk di kawasan ini,” katanya. 

Memorandum berkenaan dijangka akan dihantar kepada Ketua Polis Daerah Brickfields pada minggu depan.

 

sumber [http://www.sinarharian.com.my/archive/120309/selangor/story2538714.asp]