Skip to main content
GSTIssues Affecting the RakyatKesihatanSeri SentosaSosio Ekonomi

Pelaksanaan GST Menekan Dan Menurunkan Kualiti Hidup Warga Emas

By 17 April, 2015February 5th, 2021No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

Pada 8 April yang lepas, FOMCA mendapati bahawa harga barangan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding dengan harga yang dicadangkan oleh buku panduan harga yang dikeluarkan oleh kerajaan. Secara keseluruhannya, golongan berpendapatan rendah, termasuk warga emas adalah antara yang paling terkesan dengan kenaikan harga ini.

Peningkatan harga ini telah menyebabkan kuasa membeli rakyat menurun secara mendadak. Saya berasa amat bimbang akan kesan penurunan kuasa membeli ini kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap, dan tidak lagi boleh bekerja untuk menanggung kehidupan mereka.

Dikhuatiri, warga emas yang memerlukan ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit tertentu tidak lagi akan mampu untuk membeli ubat, kerana menumpukan perbelanjaan mereka ke arah barangan asas yang lain dan penambahan harga ubat-ubatan. Ini akan membawa kesan yang jauh lebih buruk, yang mungkin menyebabkan penyakit atau keadaan kesihatan serta kualiti hidup warga emas berada diluar kawalan.

Walaupun kerajaan telah menambah jenis-jenis ubat yang berkadar sifar, realiti menunjukkan bahawa masih lagi banyak ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi yang dikenakan GST.

Januari lepas, Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA), Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) telah mengeluarkan kenyataan bahawa sebenarnya hanya 320 jenis ubat sahaja yang dikadarkan sifar di bawah GST. Ini disebabkan walaupun dalam Senarai Ubatan Penting Kebangsaan (NEML) terdapat 4200 jenis ubat, namun sebenarnya ubatan yang sama yang dihasilkan oleh syarikat berlainan dikira beberapa kali. Sebagai contoh, paracetamol yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat dikira sebagai 17 ubatan yang berlainan oleh Kerajaan.

Sebelum pada ini, beberapa harga ubat telah meningkat antara 20% hingga 50% pada tahun 2014 dan dijangka bakal naik mendadak pada tahun ini!

Warga emas juga kini terpaksa berbelanja lebih untuk barangan penjagaan kehidupan lain seperti lampin dewasa, makanan tambahan seperti Milo dan susu untuk orang dewasa yang mengalami peningkatan harga. Jelas, impak GST ini adalah lebih besar ke atas golongan yang berpendapatan rendah berbanding dengan golongan mahakaya, yang menunjukkan kegagalan kerajaan untuk memastikan rejim cukai yang baru ini sebagai rejim cukai yang progresif.

Sekiranya beban ke atas golongan miskin sudah besar, bayangkan betapa peritnya kehidupan bagi warga emas yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap, setelah pengenalan cukai regresif ini.

Dalam lawatan saya ke Pasar Taman Seri Sentosa hari ini, majoriti warga emas yang saya temui mengeluh tentang kenaikan harga barang disebabkan oleh GST ini. Justeru, saya menggesa kerajaan dengan segera mengambil langkah-langkah segera untuk menangguhkan pelaksanaan GST sehingga rakyat benar-benar bersedia untuk menerima rejim percukaian ke atas kepenggunaan.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA KEADILAN