Seramai kira-kira 30 pemilik pangsapuri kos rendah PKNS empat tingkat Kg Kerinchi hari ini menyerahkan memorandum bantahan pembangunan semula tanah yang mencurigakan dipercayai didalangi Umno-Barisan Nasional.
Diketuai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, memorandum itu diserahkannya kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Nurul Izzah yang tiba di perkarangan bangunan SUK pada jam 10 pagi berkata, tindakan ini diambil bagi meminta Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku pengerusi PKNS campur tangan bagi menyelesaikan kemelut ini yang berlarutan sejak 2006 lagi.
“Saya telah didatangi oleh beliau dan penduduk di sana yang memperincikan masalah mereka apabila digesa berpindah sedangkan mereka merupakan pembeli unit-unit rumah tersebut, ramai masih lagi membayar bulanan dalam bentuk pinjaman kerajaan dan bank sedia ada jadi seolah-olah tanah ni dulu milik PKNS dijual entah kepada siapa dan tiba-tiba wujud DBKL, memberikan perumahan sementara, menggesa mereka dikeluar secepat mungkin”, katanya.
Menurut Izzah, pangsapuri tersebut dimajukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor itu sejak lebih 30 tahun lalu yang mempunyai 423 unit rumah.
Katanya, pada 2006 PKNS didapati menjual tapak tanah tersebut kepada pihak ketiga untuk dimajukan dan perbadanan itu masih menjadi pemegang amanah tanpa dimaklumkan kepada pemilik rumah.
Katanya, masalah timbul apabila di atas tapak tanah yang dijual itu merupakan pangsapuri PKNS yang sudah dimiliki dengan pajakan 99 tahun.
Pemilik rumah tidak berpuas hati dengan pemberian tawaran pampasan perpindahan yang tidak munasabah.
Dalam hal ini, hak rakyat telah dieketepikan kerana tidak diberi pemilikan tanah secara strata walhal mereka telah membeli secara sah,
Manakala pekeliling mesyuarat pula meragukan apabila ia ditandatangani Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Yusri Ahmad.
Tambah Izzah, Jawatankuasa bertindak juga telah menuntut penjelasan pihak yang bertanggungjawab apabila pemaju tanah tersebut sering berubah tangan.
Di samping itu, penduduk turut diugut akan diusir keluar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sekiranya mereka menentang pembangunan semula tapak pangsapuri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri PKNS, Hashim Selim memberitahu 260 pemilik bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Menteri Wilayah mengatakan pembangunan semula akan dibuat berdasarkan tender terbuka, jadi seolah-olah mereka langsung dilayan sebegitu, bukannya pembeli, tak langsung diberitahu diusir, pada saya diusir dia kata nak cara lembut ker, cara kasar ker, dah bagi kunci kalau tak pindah sekarang ke tempat-tempat lain, usir lah, semua nampak DBKL tu sebagai badan penguatkuasa bukannya sesiapa”, jelasnya kepada pemberita Tv Selangor.
Katanya, dipercayai pemilik rumah yang sehaluan dengan cadangan tersebut diberikan imbuhan khas turut didalangi Umno-BN. – MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN