KENYATAAN MEDIA
UNTUK SEBARAN SEGERA
8hb April 2011
Semalam, 7hb April 2011, mencatatkan satu detik pilu apabila usul yang ingin saya cadangkan iaitu Rang Undang-Undang Ahli Persendirian “Akta Pemansuhan Darurat” telah ditolak Setiausaha Dewan Rakyat atas alasan empat proklamasi darurat yang masih wujud tidak boleh dimansuhkan sebegini. Sebaliknya pemansuhan hanya boleh berlaku menerusi pembatalan proklamasi oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong ataupun ketetapan yang dibawa kerajaan dan diluluskan dalam kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara. (Lampiran 1)
Penolakan teknikal ini adalah sesuatu yang cukup memalukan Parlimen, kerana Rang Undang-Undang ini merupakan usaha saya selaku seorang Ahli Parlimen untuk memansuhkan empat deklarasi darurat yang masih berkuatkuasa, walaupun amat jelas lagi terang yang Negara kita kini berada dalam keadaan yang aman sejahtera.
Malah, tindakan ini lebih memalukan apabila membaca kembali jawapan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Nazri Abdul Aziz pada 16 Mac 2011:
“… Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa Proklamasi Darurat pada tahun 1966 di Sarawak dan Proklamasi Darurat pada tahun 1977 di Kelantan wajar dibatalkan kerana kedua-dua Proklamasi Darurat tersebut sudah tidak releven pada masa ini kerana ia dibuat untuk menangani situasi yang berlaku di kedua-dua Negeri tersebut pada masa itu.”
Adalah jelas bahawa sekurang-kurangnya dua proklamasi darurat sudah sepatutnya dibatalkan. Tetapi mengapa hingga kini tiada apa-apa tindakan yang dilakukan pihak Kerajaan Persekutuan? Apakah niat sebenar yang berselindung disebalik keengganan mereka ini?
Keberadaan proklamasi-proklamasi darurat ini membawa bersama implikasi Maha Negatif. Sedang Negara masih darurat, apakah gambaran yang ingin dihantar Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak kepada warga asing yang ingin menetap di Malaysia di bawah program “Malaysia My Second Home”? Atau kepada rakyat Malaysia yang disaran pulang melalui agensi seperti TalentCorp, namun Negara masih darurat? Atau kepada para pelabur asing, yang kita pohon menyalurkan dana pelaburan mereka, walhal Malaysia masih darurat?
Hentikan lah kegiatan lanun-lanun politik ini, yang sebenarnya cuma mengambil kesempatan dari kewujudan keadaan darurat demi meneruskan lanunan politik dan ekonomi mereka. Hentikanlah, demi Malaysia yang lebih baik. Hentikanlah, demi Malaysia yang benar-benar bebas dan merdeka dari darurat.
NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai