Sesi parlimen bermula dengan ‘letupan gergasi’ antara ahli-ahli parlimen yang dikira pemain handalan dalam mengatur kata-kata, tatkala berdebat di Rumah Ogos (August House). Namun letupan ini seharusnya jangan diberikan perhatian terlalu banyak kerana setelah hari demi hari berlalu, wacana yang berlangsung lebih menjurus kepada isu-isu nasional -termasuklah usul tergempar yang membincangkan kenaikan harga beras yang begitu mendadak.
Saya ditanya oleh media berkali kali tentang perasaan saya berada di parlimen. Saya kira pada waktu itu, tidak banyak yang terngiang dalam kepala -saya lebih fokus kepada persediaan soalan dan bagaimana merangka soalan susulan. Tetapi setelah seminggu memerhatikan lagat ahli-ahli parlimen dari kedua belah pihak -tidak kiralah mereka yang mewakili pembangkang ataupun kerajaan, saya akui bukan mudah mahu menjadi ahli parlimen!
Sebelum ini, ucapan sehala sewaktu ceramah memberi ruangan untuk berfikir dahulu sebelum ulasan. Tetapi kerana suasana dua hala di parlimen yang bersifat konfrontasi, lebih banyak persediaan diperlukan! Antaranya yang menjadi buku rujukan termasuklah: Tumit Achilles (Oleh Pak Khalid Jaafar), Catatan Pinggir (Goenawan Mohamad) dan Polemik Kebudayaan (masih mencari yang asli!). Waduh, kerja parlimen ini mengalahkan kerja sekolah dahulu!!