Skip to main content
Issues Affecting the RakyatParliament

Perbahasan Titah DiRaja (23 Feb 2009)

By 30 April, 2009February 18th, 2020No Comments

Saya berucap dalam parlimen untuk bersama dalam Perbahasan Titah DiRaja pada 23 Feb 2009. Dalam perbahasan tersebut saya telah menyentuh beberapa isu termasuk dasar pendidikan, dasar penempatan penduduk Kuala Lumpur, dan sentuh tentang beberapa perkara lain:

Transcript:

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih kerana
mengizinkan saya mewakili warga Lembah Pantai untuk mengambil bahagian dalam
membahaskan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tuan
Yang di-Pertua, saya juga ingin menyatakan, kita memulakan sesi pada hari ini mengingatkan
tentang isu pokok yang berkait rapat dengan realiti Malaysia di mana kita merupakan sebuah
negara yang berdaulat, mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, meletakkan kedudukan
Raja-raja Melayu sebagai payung dan penaung bagi semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum.
Justeru, sesuai dengan gesaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa
Malaysia perlu mempergiatkan promosi serta usaha untuk menggalakkan kemasukan lebih
banyak pelaburan untuk menjadikan Malaysia ini lebih kompetitif di peringat serantau dan global.
Tumpuan, saya percaya perlu diberikan untuk terus mempercekap sistem penyampaian
perkhidmatan yang diakui perlu diperbaiki menerusi kewujudan PEMUDAH dan agensi lain.
Mengurangkan kerenah birokrasi ini membantu kepada peningkatan daya saing negara tetapi itu
bukanlah sahaja yang menjadi penyelesaian. Kita perlu menyelesaikan masalah-masalah lain.
Saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Dewan yang mulia ini tentang kajian dengan izin,
Open Budget Index atau Indeks Keterbukaan Bajet yang dilaporkan dalam akhbar The Edge oleh
Washington International Budget Partnership, di mana Malaysia negara kita mendapat markah
yang amat teruk. 35 mata daripada 100 mata penuh, meletakkan Malaysia ini di tangga 53
daripada 85 negara-negara yang terlibat, di bawah negara-negara ASEAN lain seperti Sri Lanka
yang mendapat 64 mata, Indonesia yang mendapat 54 mata, Filipina 48 mata dan Thailand 40
mata. Jadi bagaimana kita hendak melaksanakan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lainnya jikalau
kerajaan di bawah teraju pemerintahan Barisan Nasional tidak telus dengan cara mereka
mentadbir negara.
Bajet 2009, tidak ada keterbukaan, terbukti oleh OBI atau Open Budget Index ini yang
menyatakan kita mengamalkan bajet tertutup, di mana rakyat, tambahan lagilah Ahli Parlimen
pembangkang tidak mampu mengetahui dengan terperinci atau lanjut, apakah dasar-dasar
perbelanjaan yang dijalankan seperti yang terkandung dalam pakej rangsangan ekonomi yang
pertama. Juga tidak, Dengan izin, transparent atau telus untuk kita mengkaji bagaimana kerajaan
sedang mengagihkan sistem kewangan negara terutamanya di waktu sekarang di mana keadaan
ekonomi dengan krisis yang semakin meruncing. Saya bersyukur dan juga berterima kasih,
akhirnya Yang Berhormat Menteri Kewangan mengakui keperluan untuk mengubah unjuran bagi
kadar pertumbuhan ekonomi negara yang berulang kali kami tekankan keperluannya.
Akan tetapi, satu adalah pengakuan yang kita tidak mampu mencapai target
pertumbuhan KDNK sebanyak 3.5% yang diuar-uarkan Tuan Yang di-Pertua, sehinggalah 15
Januari oleh tidak lain tidak bukan, Yang Berhormat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri kita. Diuar-uarkan 15 Januari kita boleh capai. Kedua anggaran, sekarang kata tidak
boleh capai tapi anggaran yang terbaru sudah diumumkan oleh banyak badan berkanun
antarabangsa termasuklah oleh Malaysian Institute of Economic Research. Akan tetapi kita
seluruh negara terpaksa menunggu sehingga pengumuman mini budget yang akan diberikan
pada 10 Mac.
Jadi saya tidak lihat bagaimana kerajaan yang sedia ada serius dalam menangani krisis
kerana kita perlu mengumumkan secepat mungkin dalam mana-mana kesempatan yang
diberikan. Ekonomi dunia berubah dari hari ke hari. Jadi bayangkan apa akan berlaku dalam satu
atau dua minggu. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tiga perkara yang saya ingin
cadangkan dari segi untuk mereformasi sistem pentadbiran yang sedia ada, apa yang kita dapat
lakukan untuk perbaiki keadaan;
(i) saya kira perlu kalau boleh Malaysia mempergiatkan, memperkukuhkan
serta memperkasakan hubungan diplomatik serantau;
(ii) perlunya kita memperkasakan sistem pendidikan, terutamanya dari
peringkat sekolah rendah. Kita mulakan daripada awal lagi; dan
(iii) perlunya Malaysia mengimbang kepadatan penduduk di antara kawasan
bandar dan luar bandar.
Isu pertama Tuan Yang di-Pertua, dengan Malaysia mempergiatkan, memperkukuhkan
ataupun saya sebut tentang pemerkasaan diplomatik serantau. Jika kita meneliti negara-negara
Asia Tenggara, South East ASEAN Countries terutamanya ahli-ahli anggota ASEAN, kita dapati
banyak pelanggaran hak asasi manusia yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Myanmar,
selatan Thailand, selatan Filipina dan sebagainya telah melahirkan lebih ramai pelarian dan
pengungsi di waktu-waktu yang sebelumnya. Akhirnya kita terpaksa berhadapan dengan
masalah pelarian ini, dilipatgandakan dengan masyarakat yang tidak berstatus di negeri Sabah
atau lebih tepat rakyat tanpa warganegara yang semakin bertambah yang telah memasuki
generasi yang kedua dan ketiga.
Alhamdulillah, dengan kurniaan Ilahi, kita merupakan sebuah negara yang bertuah
seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Sri Gading tadi, punyai banyak rezeki, kita diberikan
khazanah daripada Ilahi dan sebagainya. Akan tetapi tentunya ia juga menjadikan kita destinasi
yang menarik kepada pelarian, pendatang tanpa izin dan sasaran utama untuk mereka mencari
tempat berteduh atau mencari sumber rezeki. Kita memang mempunyai tanggungjawab sosial
tetapi saya kira dengan keadaan ekonomi yang semakin menyempit, kita perlu fikirkan apa yang
dapat kita lakukan untuk melindungi warganegara kita, rakyat kita dengan cara penyelesaian
yang terbaik, yang win-win kalau yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri Luar Negeri dahulu
dapat memastikan kita buat yang terbaik untuk semua pihak.
The Sabah Times, saya rujuk pada 25 November 2008 melaporkan, di antara ribuan
rakyat tanpa warganegara seramai 17,000 telah memohon MyKad hijau.
Di mana hanya 1,272 MyKad ini diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Ini
petanda yang jelas memang ramai sangat the demand is too high dengan izin daripada rakyat
tanpa warganegara yang menetap di Malaysia. Masalah yang serius yang kita semua tidak
kiralah dari parti mana pun terpaksa terima. Disebabkan status ini mereka tidak mampu
menjawat kerja tetap, memiliki aset, menjalankan perniagaan yang sah atau menghantar anakanak
mereka ke sekolah.
Dalam akhbar The Star, 22 Februari 2009, Timbalan Menteri Pelajaran menyatakan
bahawa ibu bapa yang salah seorang daripada mereka mempunyai kewarganegaraan Malaysia
boleh menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Jadi ia membuktikan dua perkara. Walaupun
salah seorang daripada ibu bapa adalah warganegara, anak-anak mereka tidak dibenarkan
bersekolah di Sabah. Ini amalan yang akan memberi kesan kepada masalah sosial yang wujud.
Anak-anak yang tercicir tidak dapat peluang pendidikan dan sebagainya. Walaupun kerajaan kini
membenarkan anak-anak bersekolah tetapi ia tidak menyelesaikan masalah masyarakat yang
tidak berstatus untuk meningkatkan taraf hidup mereka ke tahap yang lebih baik kerana anakDR.
anak tanpa warganegara masih tidak mampu bersekolah akhirnya ia menjadi satu lagi poverty
cycle dengan izin yang akan mengulangi cycle atau satu sistem kemiskinan sebegini.
Tuan Yang di-Pertua, kerana itu…
Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: [Bangun] Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Silakan Yang Berhormat.
Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: Yang di-Pertua, mohon penjelasan. Terima
kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Satu hujah yang cukup baik berkaitan dengan soal
pelarian dan juga macam mana kita nak menyelesaikan masalah pelarian. Di kawasan Kuala
Kedah alhamdulillah tidak ada banyak pelarian tetapi saya pasti di kawasan Lembah Pantai
terutamanya pendatang tanpa izin dan juga pelarian-pelarian yang memasuki negara kita dan
bekerja yang secara tidak langsung ia akan menjejaskan sistem pendidikan, sosial, politik dan
ekonomi. Cuma saya hendak minta penjelasan daripada Yang Berhormat Lembah Pantai,
macam mana masalah yang begitu besar ini kita hendak selesaikan dalam konteks kita memberi.
Maksud saya ini sempadan negara kita ini mudah dibolosi menyebabkan akhirnya terlalu ramai
pendatang tanpa izin memasuki negara kita dan akhirnya mengganggu keselesaan rakyat kita
sendiri. Jadi apa penyelesaiannya yang boleh Yang Berhormat Lembah Pantai cadangkan
supaya masalah pendatang tanpa izin dan juga pelarian ini diselesaikan dengan lebih tuntas lagi.
Terima kasih.
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Yang Berhormat Kuala
Kedah. Saya memang baru nak sebut tentang hal tersebut tetapi sudah Yang Berhormat dahulu,
saya kira memang ini merupakan permasalahan yang jelas. Sebelum ini, Ketua Pembangkang
telah menyatakan keperluan untuk pihak kementerian memberi lebih banyak syarat kepada
pekerja asing daripada memasuki negara kita. Kalau kita bezakan sektor-sektor yang wujud
sekali pun, akhirnya kita mesti jelas dengan anggaran yang terbaik yang paling jitu dan berapa
pekerja asing yang berada di negara kita sama ada mendaftar atau tidak. Bagaimana kita benarbenar
dapat mengekang kemasukan mereka kerana saya setuju sempadan kita begitu bolos dan
kadang kala tidak ada kata sepakat daripada pihak sama ada pihak Menteri Dalam Negeri
ataupun Menteri Sumber Manusia jadi ini akan akhirnya tidak mampu menyelesaikan masalah ini
dalam jangka masa yang terdekat.
Kita punyai lebih ramai tenaga pekerja asing dalam sejarah. Dalam akhbar The Edge 16
Februari 2009, lebih kurang 20 peratus atau 2.2 juta daripada 11.3 juta jumlah keseluruhan
tenaga kerja di Malaysia ini dikuasai oleh pekerja asing. Ramai rakyat Malaysia menganggur dan
ekonomi pun kita agak bermasalah bagaimanakah kerajaan mampu katakan dengan realiti
sekarang ini bahawa mereka masih lagi meletakkan kepentingan rakyat sendiri kalau tidak
diperincikan apakah langkah-langkah sebenarnya untuk mengatasi masalah pengangguran.
Laporan yang sama juga menyatakan disebabkan ramai pekerja asing sedang mencari
rezeki di Malaysia. Jumlah gaji yang keluar dalam bentuk kiriman wang ke negara remittances
bersamaan dengan 3.7% GDP. Ini tahun 2006, adakah kerajaan sedar kita punya pakej stimulus
lebih kurang 1% GDP tetapi yang keluar melalui pekerja asing ini 3.7 peratus. Jadi maksudnya
begitu tidak ada mismatch yang jelas, jurang yang begitu besar yang akhirnya akan melibatkan
kerugian yang besar kepada negara kita. Inilah yang saya maksudkan apabila kita tidak
memikirkan dengan serius, kita akui kepentingan rakyat kita sekarang ini perlu diteliti. Saya juga
melihat apabila kita tidak mengamalkan prinsip untuk terbuka, telus, transparent maka ramai
yang akan menyoalkan apakah langkah-langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh kerajaan
adakah ianya akan mencapai target serta objektif. Soalan ini kira soalan asas. Saya apabila kita
tanyakan pihak kerajaan bilakah kali terakhir Kerajaan Malaysia mengkaji dasar pengambilan
tenaga kerja asing selepas mereka meneliti kesan-kesan yang akan dihadapi oleh warganegara
kita sendiri. Terutamanya setelah kita kupas fakta yang jelas bahawa ramai rakyat Malaysia yang
tidak mempunyai kerja dan sebanyak 3.7 peratus KDNK mengalir keluar jadi perlu ada dasar
yang jelas once and for all dengan izin kerana kalau tidak memang kita akan sentiasa berdolakdalik
dalam hal ini tanpa penyelesaian yang jelas.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyebut di sini bahawa Setiausaha Parlimen
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada sidang Parlimen 14 Disember 2006 menyatakan
bahawa lebih 25,000 tahanan pendatang tanpa izin ditahan di pusat-pusat tahanan Malaysia
dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM1.375 juta sehari. Laporan akhbar harian di awal bulan
Februari 2009 menyatakan tentang isu Rohingya, pelarian Rohingya dari Myanmar, bagaimana
kerajaan Thailand dan Malaysia menolak permohonan pelarian-pelarian ini untuk memasuki
negara kita dan juga Thailand termasuklah isu pengabaian hak asasi manusia dan laporan tidak
sahih yang menyatakan mereka juga dipukul dan diseksa oleh polis Thailand. Ini memang
merupakan isu yang serius yang patut kita perjuangkan. Mereka bukan sahaja saudara sesama
Islam tetapi juga saudara kita dalam segi you know warga manusia di dunia ini dan seperti
manusia yang lain mereka juga perlu tempat untuk berlindung. Jadi bagaimanakah kita boleh
akhiri isu pelarian sebegini dengan cara yang mutlak.
Saya fikir adakah dengan mengambil mereka masuk ke dalam negara sebagai Indonesia
lakukan atau dengan memberi mereka tempat berlindung, makanan atau bahan-bahan asas
adakah ianya akan menyelesaikan masalah? Akan tetapi kalau kita tidak alu-alukan mereka
datang masuk ke negara seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Thailand, memaksa mereka
pulang ke negara asal dengan harapan kononnya negara Myanmar ini sudah tunggu bertahuntahun
akan menjaga hak mereka tidak boleh juga. Jadi apa pun yang kita ingin ambil saya pergi
kepada satu dimensi atau approach yang lain di mana kita perlu memastikan negara dalam
ASEAN ini pada peringkat permulaan menghormati memperkasakan sistem perundangan
mereka, sistem ekonomi, sistem pertahanan negara-negara dalam ASEAN ini.
Kita bayangkan masalah di Burma, Myanmar itu dengan tidak menghormati hak asasi
manusia, tidak menghormati sistem perundangan dengan rejim yang begitu zalim kita biarkan
kerana kita kata ini merupakan satu prinsip non-interference dengan izin dalam ASEAN. Jangan
jaga tepi kain orang supaya mereka pun tidak boleh mengkritik apa yang berlaku di negara kita
tetapi sehingga kita memaksa atau memastikan ada constructive intervention dalam segi
menyebut secara terbuka masalah kemanusiaan serantau mereka perlu memperkasakan
memperbaiki sistem pentadbiran mereka barulah kita pergi ke pokok pangkal masalah untuk
mencari penyelesaian bersama. Saya sedar bahawa non-intervention polisi ini termaktub Piagam
ASEAN sampai ke akhir ini.
Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Lembah
Pantai, terima kasih. Saya merasakan soal Rohingya ini merupakan satu masalah yang tidak
akan berakhir. Mengikut maklumat yang kita terima bahawa Rohingya ini tidak dianggap sebagai
Warganegara Myanmar. Jadi, adakah Yang Berhormat bersetuju kalau kita mencadangkan
bahawa sebenarnya di dalam soal Rohingya ini kerajaan Malaysia dan kerajaan ASEAN
sebenarnya perlu mempunyai satu dasar yang tegas, yang boleh memaksa Myanmar menerima
balik Rohingya ini sebagai warganegara mereka. Terima kasih.
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Yang Berhormat Sik. Memang
persoalan ini akhirnya kita tidak boleh lari daripada realiti dan juga mengkritik secara terbuka.
Kalau pun kita fikirkan hubungan diplomatik tetapi segala pelanggaran hak asasi manusia itu
tidak boleh disenyapkan ataupun kita diam membisu sahaja kerana akhirnya rakyat kita yang
akan menghadapi masalah ini. Kita yang akan menghadapi kemasukan pelarian dan kita
berhadapan dengan situasi di mana kalau dikatakan semuanya perlu kompromi dan akhirnya
membebankan negara kita sendiri.
Justeru itu saya harap pihak kementerian dan kerajaan juga berani di saat ini melakukan
anjakan paradigma dari segi Piagam ASEAN. Kita pastikan kita tidak biar sahaja semua ini
berlaku tanpa memikirkan bagaimana Malaysia ini. Kita selalu sebut Malaysia boleh, Malaysia ini
hebat, Malaysia ini penuh dengan potensi tetapi bagaimana kita melakukan langkah pertama
untuk mengajak negara-negara lain dalam ASEAN melakukan satu anjakan paradigma.
Saya pergi dimensi langkah-langkah integrasi ekonomi di mana kita ada persetujuan
perdagangan bersepadu, perdagangan bebas untuk mencapai satu penyelarasan bersekutu di
sektor-sektor lain seperti kastam untuk pemajuan kadar pertumbuhan negara buruh dan tenaga
kerja profesional. Dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota menjadi
pegangan pertubuhan ASEAN tetapi kita mengambil secara positif sekarang ini. Kita perlu ada
sesi dialog yang konstruktif dengan kuasa serantau di samping itu mengadakan sistem
kewangan yang menyeluruh untuk rantau dalam medium term atau cohesive financial
architecture, dengan izin untuk ASEAN. Langkah-langkah integrasi ekonomi, persetujuan
perdagangan bersepadu, perdagangan bebas untuk mencapai suatu penyelarasan bersekutu ini
termasuklah dari segi tarif dagang seperti cukai eksport untuk barang dagangan akan
diselaraskan dan mampu bergerak secara bebas seperti mana rakyat di negara ASEAN
sekarang ini memang sudah bergerak secara bebas tetapi kita patut melihat apakah objektif dan
hasil yang akhirnya memberi manfaat kepada every member country, dengan izin.
Ini merupakan penyelarasan serantau…
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Penjelasan.
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Silakan. Ada masa kah, Tuan Yang di-
Pertua?
Tuan Yang di-Pertua: Saya sebenarnya sedang memikirkan sama ada saya
mengehadkan masa kerana setakat ini cuma 13 Ahli Yang Berhormat dapat turut berbahas dan
saya rasa lebih 50 orang lagi yang akan turut berbahas. Hari perbahasan cuma sampai hari
Khamis sahaja.
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Setengah minit.
Tuan Yang di-Pertua: Jadi, sekarang ini saya sedang memikirkannya. Jadi, sesiapa
Ahli Yang Berhormat yang belum ditegur itu berilah timbang rasa kepada Ahli Yang Berhormat
yang belum bercakap. Ini antara Ahli-ahli Yang Berhormat tetapi kadang-kadang tempiasnya kita
juga yang kena oleh kerana kita duduk di atas, tidak pandai mengawal konon masa untuk
berbahas. Sebetulnya yang tidak pandai mengawal ialah Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri
sehingga kita terpaksa untuk menetapkan bahawa 10 minit atau 15 minit. Sila teruskan, kalau
boleh pendekkan.
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Okey, Yang Berhormat, setengah minit,
ya? Saya perlu mengawal masa.
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, saya hendak
bertanya, meminta penjelasan perkara yang ringkas sahaja. Malam tadi kita tengok di siaran
berita ada menyebut yang Menteri Kewangan kita memaklumkan bahawa negara kita memberi
sumbangan kepada dana Asean berjumlah USD3.4 bilion. Untuk apakah sumbangan modal ini
dan bila perkara ini dilaksanakan atau untuk tujuan apa agaknya? Kalau boleh Yang Berhormat
Lembah Pantai beri respons sikit perkara ini. Terima kasih.
Seorang Ahli: Bagi Menteri jawab.
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih, Yang Berhormat Indera
Mahkota. Ya, betul. Pertama kali saya bersetuju dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional, dia
kata, bagi menteri jawab. Memang persoalan ini kalau secara khusus mengenai perbelanjaan
dan sebagainya saya harap pihak kementerian dapat beri jawapan jelas. Inilah yang menjadi
perkiraan dalam keadaan ekonomi yang memastikan setiap sen yang kita belanjakan itu, berapa
bilion yang diberikan kepada ASEAN itu perlulah mencapai targetnya. Jadi, saya harap kita ada
perancangan untuk masa depan bukan sahaja medium term. Apa yang kita dapat lakukan
sebagai pemimpin dalam ASEAN – dalam salah sebuah negara memimpin kerana kalau tidak
seperti mencurah air di daun keladi, memberi sesuatu tanpa melihat perkembangan ataupun
hasil daripada pemberian kita akhirnya.
Jadi, saya ambil contoh European Union ataupun Kesatuan Eropah, bukti sahih model
economic union walaupun bukanlah dikira sempurna tetapi ia boleh dijadikan sebuah realiti. Jika
mereka boleh sampai ke tahap tersebut mengapa Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia,
Thailand dan negara-negara ASEAN yang lain yang mempunyai jauh lebih banyak sumber hasil
bumi daripada negara-negara Eropah tidak mampu melakukan sesuatu yang sama ataupun lebih
hebat lagi. Saya maksudkan kita ambil secara positif ASEAN Charter tetapi kita mengimarahkan
rantau ini secara menyeluruh. Mahu tidak mahu masalah-masalah yang dihadapi oleh negara
lain, kita perlu berani kerana akhirnya kita bersetuju berdasarkan prinsip bukannya atas hal-hal
lain.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh perkara kedua. Isu kecil seperti
pelarian – isu besarlah sekarang ini tetapi mereka yang tidak berstatus dan keganasan
(terrorism) tidak akan lagi menjadi isu yang begitu besar jikalau kita semua dapat mencari
penyelesaian dan bersatu dalam konteks ini kerana akhirnya mereka terpaksa berubah. Negara
Myanmar terpaksa bangun memperbaiki tahap ekonomi pentadbiran untuk sama-sama
menjayakan sistem ekonomi serantau ini. Dengan izin, kalau ada insentif kewangan (monetary
incentives) tidak ada siapa yang akan menolak. Mahu tidak mahu kita memaksa mereka untuk
bersama dan memperbaiki diri mereka sendiri.
Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua yang ingin saya sentuh adalah isu kepadatan
penduduk yang lebih seimbang di antara bandar dan luar bandar. Saya kira sebelum ini ramai
Ahli Parlimen telah menyebut masalah yang dihadapi dan saya ingin menyentuh dari segi bandar
raya di Malaysia ini. Kita melihat pertambahan kepadatan yang begitu tinggi. Bilangan penduduk
Kuala Lumpur sekarang ini sebanyak 1.58 juta mengikut Jabatan Statistik Negara 2006.
Perangkaan terbaru pada 2007 menunjukkan bilangan penduduk Kuala Lumpur bertambah
menjadi 1.89 juta orang dan akan terus meningkat mengikut Pelan Struktur Kuala Lumpur yang
diwartakan pada November 2004. Bila kita mencecah tahun 2020 penduduk akan meningkat
seramai 2.2 juta.
Jadi, peningkatan ini sejajar dengan pertumbuhan pesat faktor-faktor kepadatan
penduduk bandar yang lain seperti kadar pemilikan perumahan, dan kenderaan yang akhirnya
boleh menjejaskan pertumbuhan bandar raya yang sekata dan seimbang. AC Nielsen and
Nielsen Media Research menyatakan seramai tujuh daripada 10 orang dewasa di Malaysia ini
mempunyai kenderaan. Kadar pemilikan perumahan juga meningkat berdasarkan harga rumah
yang meningkat sebanyak 6.9% dalam tahun 2006.
Jadi, pertumbuhan exponential ini menyebabkan masalah setinggan, sosial, pelacuran,
rempit, jenayah kecil dan sederhana, ketiadaan sumber daya seperti kekurangan makanan,
minyak, pengangkutan dan ketiadaan pekerjaan yang gajinya setimpal dengan kos kehidupan
seseorang individu di bandar. Jadi, mengapa ini berlaku? Kenapakah terus menerus masyarakat
luar bandar mencari rezeki di bandar dan memang isu urbanization ini seolah-olah tidak dapat
ditangani, dikekang lagi oleh kerajaan yang sedia ada. Jadi, isunya memanglah bukannya kita
mahu menghalang sesiapa untuk mencari rezeki di bandar tetapi kita juga perlu melihat secara
realistik dan efektif bagaimana hendak menjadikan kawasan luar bandar ini sebagai kawasan
alternatif untuk mereka mencari rezeki yang nyata, berterusan dan menjadikan kebarangkalian
untuk berjaya dari segi ekonomi dan taraf hidup itu sama seperti mereka di kawasan bandar.
Tuan Yang di-Pertua, antara penyebab utama masyarakat berhijrah dari kawasan luar
bandar ke bandar adalah punca pendapatan dan peluang untuk mereka menjayakan apa-apa
industri lebih cerah di kota-kota berbanding dengan luar bandar. Termasuklah juga masalah di
FELDA, ramai generasi kedua dan ketiga itu berhijrah juga tidak selari dengan objektif asal.
Jadi kita bayangkan apakah prospek masa hadapan seorang graduan ijazah sarjana
muda yang baru untuk menjayakan dirinya di luar bandar. Kesemuanya ini lebih cerah di kotakota
seperti di Kuala Lumpur berbanding dengan di desa. Jadi pemikiran ini perlu kita ubah
kerana saya memang akui ada usaha kerajaan, FELDA, FELCRA yang mampu memberikan
kejayaan. Akan tetapi ia tidak memberi multiplier effect ataupun hasil berganda seperti yang
diharapkan. Negara-negara maju contohnya Jepun, Perancis serta Britain, mereka menjayakan
negara mereka melalui usaha untuk memajukan industri di luar bandar.
Di Perancis, industri berat seperti stesen jana kuasa nuklear di Nuclear Power Plant di
bina di kawasan luar bandar seperti di Penly dan Tricastin terletak berjauhan dari mana-mana
bandar. Ini menghasilkan peluang pekerjaan untuk ramai rakyatnya daripada pelbagai sektor
seperti jurutera, akauntan, mathematician, dietician, juru nuklear dan juga tenaga sokongan serta
sebagainya. Ini adalah contoh terbaik, mungkin bukan terbaik. Akan tetapi salah satu contoh
yang dapat kita ambil untuk memajukan sektor di luar bandar. Saya faham kerajaan sibuk
melaksanakan koridor-koridor ekonomi. Projek koridor seperti di Iskandar Economic Region di
Johor, Northern Economic Corridor (NCR) di Pulau Pinang.
Akan tetapi ini sebenarnya kurang daripada perancangan yang akhirnya dapat memberi
hasil yang jelas, kerana ia masih lagi tidak menyelesaikan masalah penempatan sesak bandar
raya. Ini kerana pembinaan kawasan perumahan dari rumah kos rendah sehingga kos tinggi
termasuk lagi pembinaan prasarana tidak sehaluan dengan pembinaan koridor ekonomi.
Kesemua ini adalah pemangkin yang membolehkan memberi ruang kepada ramai keluarga untuk
tidak mempunyai masalah mendirikan penempatan di luar bandar kerana mereka selesa dengan
apa yang ada di tempat mereka bekerja.
Mereka yakin ada peluang pendidikan, kualiti kalau kita bangunkan betul-betul konsep di
luar bandar ini untuk anak-anak mereka membesar dengan selesa. Justeru, saya melihat dari
segi kita ambil contoh bagaimana program-program yang diadakan. Di Thailand, sudah wujud
usaha yang dilakukan oleh PAD, People’s Alliance for Democracy. Mereka mencari satu kuota
yang terletak 240 kilometer dari Kota Bangkok. Di tengah-tengah ‘Jin bertendang’ itu, kalau
dikatakan dalam bahasa orang Melayu. Diletakkan, dimulakan sekolah rendah mempunyai iaitu
tentunya ramai di sana menganut agama Buddha.
Jadi, mereka combined dengan izin sistem moral Buddha termasuk lagi dengan
Montessori sistem untuk memastikan anak-anak di kampung ini diambil daripada semua yang
duduk di kampung. Bukannya yang pelajar terbaik, tetapi secara rawak serta diajar dan akhirnya
menerusi beberapa kajian didapati mereka ini penuh berkeyakinan dapat berbahasa Inggeris
jauh lebih baik daripada anak-anak sekolah di Kota Bangkok. Maksudnya ada perancangan
yang jelas. Mereka tidak buat secara adhoc. Mereka buat memang sekolah rendah dan selepas
berjaya, dalam perancangan seterusnya adalah sekolah menengah dan universiti. Kemudiannya
baru wujud semua facilities seperti internet cafe, restoran dan sebagainya.
Jadi permulaannya adalah sistem pendidikan yang dapat memberi manfaat sepenuhnya
yang berkualiti kepada penduduk di kampung. Jadi saya berharap perkara sebegini bukanlah di
FELDA-FELDA tidak ada sekolah, tetapi kita pastikan yang terbaik. Kita masukkanlah dengan
Montessori atau sebagainya. Kita bayar beribu-ribu untuk hantar budak-budak sekolah di Kuala
Lumpur ini, kita mulakanlah di FELDA. Oleh itu dengan tenaga guru yang terbaik akan
memulakan satu cycle diharapnya oleh penduduk yang lebih selesa hidup di tanah FELDA,
maksudnya di luar bandar.
Jadi saya berharap isu ini diambil secara serius kerana akhirnya memang tidak boleh
larilah daripada isu PPSMI. Saya tidak hendak sebut panjang, tetapi yang penting kita mesti
memastikan kalau dahulu kita buat program PPSMI ini tidak ada mana-mana kaji selidik untuk
menyokong keputusan tersebut. Sekarang, kita berdebat hebat tentang bagaimana dasar
tersebut tidak boleh diguna pakai ataupun ada yang menyokong, kebanyakannya menolak.
Akan tetapi saya mahu menyentuh di sini, memulakan satu lagi dimensi yang perlu kita
sentuh; iaitu kita mahu merealisasikan impian negara kita untuk mewujudkan anak-anak Malaysia
yang petah dan kukuh menguasai ilmu-ilmu sains, matematik dan teknologi. Dia tahu itu yang
kita mahukan, itu objektif kita. Nah, bagaimana hendak lakukan? Apakah mekanisme yang
terbaik untuk menghasilkan ataupun merealisasikan objektif ini?
Kita dengar laungan daripada Kementerian Pelajaran menyatakan bahawa keputusan
UPSR, PMR itu membanggakan. Ada prestasi yang semakin baik. Saya mahu sentuh penanda
aras antarabangsa. Kalau hendak bercakap daripada apa yang berlaku dalam negara Malaysia
memanglah tidak habis dengan kebolehan, dengan kehebatan kita.
Akan tetapi apabila kita fikir, bagaimanakah kalau kita gunakan seperti mana keputusan
TIMSS 2007, the trend in international Mathematics and Science study ataupun trend
pembelajaran Sains dan Matematik antarabangsa dijalankan sejak 1995 oleh The International
Association for The Evaluation of Educational Achievement (IEA) untuk menilai, mengkaji
prestasi pendidikan negara-negara di seluruh dunia dan dikeluarkan Disember 2008. Mereka
menyatakan bahawa dari segi pemahaman dan amali subjek-subjek seperti biologi, kimia, fizik,
pelajar-pelajar sekolah menengah Malaysia pada tahun 2007 berada di bawah negara-negara
seperti Armenia, Lithuania, Slovenia dan Republic Chech.
Tahun 2003, kita bandingkan keputusan 2007 ini dengan 2003. Kajian yang sama
menunjukkan bahawa Malaysia berada di tangga ke sepuluh dalam Matematik lebih baik
dibandingkan dengan Australia, Britain, Amerika Syarikat dan New Zealand manakala di dalam
subjek Sains, kita di tangga ke dua puluh lebih tinggi daripada negara Itali dan Norway.
Jadi, 2003 ini sebelum pelaksanaan PPSMI. Maksudnya mereka buat ujian di dalam
bahasa Melayu kerana mereka akan sesuaikan dengan keadaan di negeri atau negara tersebut.
Semua ujian Matematik dan Sains dan semua subjek ini diadakan di dalam bahasa Melayu. Kita
tengok prestasinya jauh lebih hebat pada waktu itu daripada tahun 2007. TIMSS 2007, Malaysia
di tangga ke dua puluh untuk kesemuanya.
Jadi kita bandingkan, kerana selalunya the top ten countries dengan izin, negara-negara
yang mendapat tangga tempat yang tertinggi, tidak kisahlah semuanya menggunakan bahasa
Ibunda. Ada yang mempersoalkan kata negara Singapura pun terkandung dalam keputusan
TIMSS sebagai negara yang terbaik. Saya hendak ulang di sini, yang pentingnya Singapura ini
bahasa Inggerisnya itu sudah seperti mother tongue. Mereka sebut, cakap di rumah dan ia diajar
dengan begitu meluas sekali di Singapura. Jadi kita tidak boleh buat perbandingan bahawa
bahasa Inggeris itu bukan bahasa Ibundanya.
Kita lihat negara-negara seperti Cina, Jepun, Jerman, Perancis, Sepanyol dan Korea
menjadi negara yang tersohor dalam bidang Matematik dan Sains. Mereka tidak meletakkan
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dalam pembelajaran ilmu-ilmu ini. Saya tidak tolak
bahawa kita perlu menguasai bahasa Inggeris tetapi adakah ia efektif kalau diajar dalam bahasabahasa
teknikal, mata-mata pelajaran teknikal? Tidak!
Ini keputusan TIMSS di peringkat antarabangsa. Kita jangan gadaikan masa hadapan
generasi kita untuk menguasai mata pelajaran teknikal kerana kita hendak sangat katakan kita ini
betul. Saya kira tidak payahlah kita salahkan sesiapa dalam hal ini asalkan kita buat perkara
yang sepatutnya kita buat.
Pembelajaran ilmu kompleks seperti Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda,
kerana mereka mendapat tahu bahawa melalui dokumentasi informasi UNESCO buat kajian
mendalam sistem terbaik untuk mengajar para pelajar dalam bahasa teknikal ini ialah dalam
bahasa ibunda. Jadi penguasaan Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda.
Saya rasa kita perlu bermula daripada menyedari dan menerima hakikat ini kerana saya
tidak mahu kita terus tergelincir dalam mana-mana, tidak kisahlah penanda aras antarabangsa,
terutamanya TEAMS kerana generasi yang kita gunakan sejak enam tahun ini untuk program
PPSMI adalah generasi yang tentunya akan memimpin negara akhirnya dan kita tidak mahu
mereka tidak mampu untuk membawa Malaysia ini ke era atau masa depan teknologi yang lebih
baik. Jadi, Tuan Yang di-Pertua, saya harap inilah merupakan cadangan-cadangan saya dan
kalau ada yang terkasar bahasa itu, mohon maaf. Saya mohon menyokong.