Kenyataan Media
Untuk Sebaran Segera
26 Ogos 2013
Per: Majlis Perjumpaan Yang Berhormat Menteri Wilayah Persekutuan YB DATUK SERI TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR Bersama Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada 26 Ogos 2013.
Agenda Kuala Lumpur Saksama
Harapan saya sebagai wakil rakyat adalah agar terjalin kerjasama yang lebih erat di antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan wakil rakyat di kesemua kawasan Parlimen, semoga dapat bersama-sama memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat tidak mengira latar belakang parti.
Antara saranan awal saya sebagai wakil rakyat Lembah Pantai adalah untuk menghidupkan konsep – Pusat Bersepadu Perkhidmatan Kerajaan dan Masyarakat Kawasan Parlimen – agar dapat meningkatkan kualiti serta keberkesanan perkhidmatan awam untuk penduduk setempat di bawah kawasan Parlimen masing-masing – tanpa mengira sama ada wakil rakyat adalah dari pihak pemerintah atau pembangkang. Pusat bersepadu tersebut dapat memberikan rakyat perkhidmatan dari pelbagai jabatan termasuklah Jabatan Khidmat Masyarakat, Jabatan Pendidikan, PDRM, DBKL dan pejabat Ahli Parlimen pemerintah atau pembangkang berfungsi secara integrasi dengan koordinasi cekap sebagai sebuah ‘one-stop centre’, memberikan keutamaan kepada memenuhi keperluan dan kehendak rakyat dengan lebih berkesan.
Peranan DBKL di bawah naungan Kementerian Wilayah Persekutuan diharapkan memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan saksama untuk warga Kuala Lumpur. Contohnya, penggunaan kemudahan-kemudahan DBKL seperti Dewan Serbaguna tidak seharusnya diberikan secara pilih kasih dan sebaiknya bebas digunakan oleh mana-mana pihak yang ingin menggunakannya tanpa diskriminasi. Oleh demikian satu Piagam Warga Kota Kuala Lumpur mesti dirangka yang menggariskan Hak Akses Saksama semua warga kepada perkhidmatan dan kemudahan kerajaan khususnya DBKL.
Peranan aktif DBKL dalam perkhidmatan pihak berkuasa tempatan harus dipertingkatkan agar dapat menyelesaikan masalah penyelenggaraan asas seperti membaiki jalan raya, longkang-longkang yang tersumbat dan serta lif-lif yang rosak dengan lebih berkesan. Harapan saya seperti warga Lembah Pantai yang lain agar kawasan Parlimen Lembah Pantai sentiasa terpelihara untuk kehidupan seharian. Oleh demikian, satu sistem Kad Laporan Perkhidmatan DBKL yang akan melibatkan maklumbalas semua penduduk setempat harus diwujudkan dalam mencapai hasrat ini.
Antara masalah-masalah yang dihadapkan kepada saya selaku wakil rakyat Lembah Pantai adalah masalah tunggakan bil air serta pembayaran sewa PPR agar diselesaikan secara lebih berhemah dan mengambil kira latar belakang para penghuni secara satu persatu. Sebagai penyedia perkhidmatan, kita seharusnya memberikan jalan penyelesaian dan mencapai kata sepakat bersama-sama para penghuni agar kehidupan seharian tidak terjejas oleh birokrasi.
Kuala Lumpur tidak terlepas dari bencana alam seperti ribut dan banjir yang mengakibatkan kerosakan pada harta benda peribadi serta infrastruktur. Terdapat juga para penghuni yang kehilangan tempat tinggal akibat malapetaka yang menimpa mereka. Ia adalah menjadi harapan saya agar layanan yang sama rata seperti khidmat kecemasan dan penyediaan tempat tinggal sementara tidak dipolitikkan dengan memberikan keutamaan berdasarkan sokongan kepada parti komponen BN ataupun PR. Ribut dan banjir juga berlaku akibat pembangunan pesat yang tidak terkawal. Hakisan serta keruntuhan yang melanda Bukit Gasing haruslah dipantau dan diambil tindakan serta-merta oleh DBKL – lebih-lebih lagi apabila DBKL punyai kepentingan menerusi perjanjian yang dimeterai dengan pemaju Amona Development Sdn Bhd dan IJM Land Bhd.
Sejauh ini, Peruntukan Tahunan Persekutuan Kawasan Parlimen yang bernilai RM1.5 hingga RM2.0 juta masih lagi disalurkan kepada selain dari ahli Parlimen pembangkang yang berkhidmat kepada rakyat. Sejauh ini, warga Lembah Pantai masih dinafikan hak demokratik mereka dalam hal ini. Pemangsaan terhadap rakyat melalui cara ini harus dihentikan agar mereka dapat diberikan bantuan dengan lebih saksama dan tanpa kompromi.
Status Tabung Keselamatan 1Wilayah bagi membiayai usaha membenteras jenayah di peringkat kawasan perumahan dan tempat awam, termasuklah dengan pemasangan rangkaian CCTV yang pernah dilancarkan Kementerian Wilayah Persekutuan harus dimaklumkan kepada wakil-wakil rakyat Kuala Lumpur dari masa ke semasa.
Kelulusan untuk kawasan perumahan, kompleks pejabat, pusat membeli belah mahupun kawasan parlimen menubuhkan pasukan Polis Bantuan (Auxiliary Police) yang mungkin dapat dibiayai sebahagiannya daripada Tabung Keselamatan 1Wilayah.
Kehidupan warga kota tidak terhad kepada orang-orang yang dewasa sahaja. Tempat tinggal serta persekitaran pembelajaran untuk kanak-kanak harus berbentuk kondusif agar dapat melahirkan generasi yang berjaya dari segi pelajaran, kesihatan mental dan fizikal. Pembinaan Pusat Ilmu PPR seperti ruangan untuk belajar, perpustakaan mini dan tapak sukan di semua PPR boleh direalisasikan atau dipertingkatkan untuk kesejahteraan para penghuni warga kota.
Memperluaskan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dan Skim Prihatin 1WP termasuk melibatkan ahli parlimen di dalam perancangan koordinasi untuk kawasan parlimen masing-masing.
Adalah dicadangkan agar satu taklimat dan juga pembentukan sebuah Jawatankuasa Perundingan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan diwujudkan untuk penglibatan secara lebih bermakna didalam Pelan Greater KL/Klang Valley.
Apakah status Skim Pembiayaan Khas Program Penjualan Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL) serta menilai semula cadangan saya untuk skim alternatif iaitu ‘Sewa-Hingga-Milik, Tanpa Faedah’
Akhir sekali, adalah diharap bahawa Majlis ini dapat dikekalkan sebagai majlis berkala setiap 3 bulan agar usaha mensejahterakan rakyat dapat diteruskan bersama.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat