Skip to main content
Education

Pertahankan Maruah Melayu dengan Perangi Perkauman Sempit, Rasuah dan Pertahankan Integriti Negara  

By 17 September, 2015February 18th, 2020No Comments
Melayu harus dibangun dengan nilai-nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit. Melayu ideal adalah Melayu yang Islamis, bukan Melayu yang racist. Melayu Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih kemanusiaan, setia menjunjung nilai ukhuwwah, persaudaraan dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan agama,ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah insaniyyah (persaudaraan kemanusiaan).
-Dato’ Dr Siddiq Fadzil

Perhimpunan Himpunan Maruah Melayu yang dianjurkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) semalam yang disertai rata-rata orang Melayu dari pelbagai negeri dengan bas-bas yang dikatakan ditaja oleh parti UMNO wajar dikecam.

Lebih mengejutkan apabila himpunan ini turut disertai pimpinan UMNO termasuklah Timbalan Menteri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Bung Moktar Radi, Datuk Abdul Rauf Yusof, Tan Sri Ali Rustam, Datuk Rizalman Mokhtar, Datuk Jamal Yunos, Datuk Ismail Kijo dan Datuk Seri Noh Omar. Malah pimpinan ini turut berada di pentas himpunan.

Laungan-laungan kasar berbentuk maki hamun jelas kedengaran di Perhimpunan ini dengan pelbagai panggilan yang penuh dengan sentimen perkauman. Pastinya ini bukan Perhimpunan Pertahankan Maruah Melayu. Ini Himpunan menjual Maruah Melayu! Apakah yang mereka perjuangkan?

Tanggal 16 September 1963, sebuah kesatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah termeterai untuk membentuk sebuah negara baru yang digelar sebagai Malaysia. Kesatuan ini dibina atas dasar kerjasama demi membawa ketiga-tiga wilayah ini kearah kemajuan dan keharmonian sejagat, tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik. Rakyat Malaysia wajar menjiwai dengan sepenuhnya maksud Hari Malaysia ini.

Hari Malaysia sepatutnya disambut dan dizahirkan dengan merapatkan hubungan silaturrahim antara kaum serta menghapus semua sentimen perkauman yang wujud di negara ini. Watak orang Melayu itu menolak permusuhan, mengangkat persahabatan serta saling tolong menolong antara satu sama lain. Orang Melayu juga satu bangsa yang saling jujur memaafkan dan mengutamakan silaturrahim yang rapat antara ahli keluarga dan sahabat handai. Sebagai bangsa majoriti di negara ini, orang Melayu sepatutnya menjadi abang besar dalam memastikan silaturrahim antara kaum sentiasa kukuh dan erat.

Menurut saya, untuk mempertahankan maruah orang Melayu, kita wajib bangun dan perangi perkauman yang sempit, perangi rasuah, selongkar skandal 1MDB, dan pulihkan integriti negara!

Selamat Hari Malaysia!

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN