Hari ini kita mengingati pengorbanan serta mengambil iktibar dan pengajaran erti ketaatan Nabi Ibrahim AS serta anakanda Baginda, Nabi Ismail AS kepada perintah Allah SWT di hadapan dugaan paling mendesak. Hari ini juga kita memupuk sikap kepedulian dan keperihatinan terhadap masyarakat melalui pemberian daging korban kepada golongan yang berhak khususnya fakir miskin. Hari ini juga kita akan jalinkan hubungan kasih mesra serta memperkukuh silaturrahim sesama manusia.
Malangnya, sambutan umat Islam seluruh dunia terkesan dengan kekejaman demi kekejaman puak militan ISIS yang membunuh Alan Henning, dan ramai lagi Muslim dan juga bukan Muslim tanpa perikemanusiaan dan belas kasihan.
Bagi Alan – nyawa yang terbunuh bermaksud hilangnya seorang sukarelawan yang sanggup mengorbankan sambutan Krismasnya demi anak-anak dan warga Syria yang kebuluran dan terseksa dengan peperangan yang terus melanda – yang pada Alan lebih mendesak dibantu. Kini, balu; anak-anak Alan, termasuk warga Syria yang mengenalinya terpaksa hidup tanpa kehadirannya.
Saya sempat membaca respon Sheikh Abdallah Bin Bayyah yang dinanti-nanti berkait ISIS.
Antara yang disebut:
Ayat Al Quran 2:205: “Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”
“When he is empowered, he sets out to do violence in the land, destroying crops and livestock. But God does not love violence” (Qur’an, 2:205).
Bukankah makanan, haiwan ternakan, termasuklah warga emas, wanita dan kanak-kanak telah dihancurkan (mereka)? Bukankah ini keganasan dan korupsi terhadap Bumi, yang dimurkai Tuhan?
Khalifah Umar Ibn Al Khattab, dalam khutbah terakhirnya telah berkata:
“Sesiapa yang berikrar setia kepada seseorang yang tidak dilantik oleh proses perundingan orang-orang yang beriman, maka orang itu ataupun orang yang diikrarkannya tidak perlu diikuti, oleh kerana takut untuk membongkar diri mereka yang sebenar dan dibunuh oleh mereka.”
“Whoever pledges allegiance to someone not appointed by the consultative process of the believers, neither he nor the one to whom he pledged allegiance are to be followed, out of fear of foolishly exposing themselves to being killed with them.”
Adakah individu yang mengakui bahawasanya dialah Khalifah kepada umat Islam merujuk terlebih dahulu kepada dunia Islam? Atau adakah dia meletakkan dirinya dan mereka yang mentaati dan mengikutinya dalam risiko terbunuh kemudian nanti? Bukankah cara ini dengan sengaja mengengkari apa yang disebut oleh Khalifah Umar?
“Has the one who claims to be the caliph of the Muslims consulted the Muslim world, or is he placing himself and those who pledge allegiance to him at risk of being killed? Is this not the disregard of the people which the Caliph ‘Umar warned of? “
Saya ingin tegaskan, apa yang dilakukan oleh puak ISIS ini amat bertentangan sekali dengan ajaran Islam. Islam didatangkan oleh Allah SWT untuk membawa kerahmatan kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa. Islam adalah cahaya buat manusia. Ketaatan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS kepada Allah perlu kita ambil iktibar. Kita tidak boleh mengelirukan apa yang diajar oleh Allah untuk agenda-agenda tertentu sahaja.
Dari itu, sempena Hari Raya Aidiladha ini, marilah kita semua kembali kepada rahmat Allah, menunjukkan belas kasihan sesama umat manusia. Kita perlu segera memupuk semangat ukhwah dengan sesiapa sahaja, jiran tetangga, rakan taulan dan sanak saudara. Kita perlu menjadi contoh masyarakat Islam yang disegani, untuk membersihkan nama Islam daripada terus dicemari oleh juak-juak Militan yang dahagakan darah. Apakah kita mahu agama yang kita cintai ini terus terpalit dengan persepsi-persepsi buruk seperti ini?
Semoga Aidiladha tahun ini membawa kerahmatan buat semua.
Selamat Hari Raya