Perutusan AidilAdha 1437H
SEMARAK KORBAN 2016 : SEMANGAT DAN HARAPAN
“Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah).” (Al-Hajj, 22: 34)
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar..
Aidiladha kembali lagi dengan seribu makna yang mengajar kita tentang peri pentingnya mengangkat nilai pengorbanan.
Korban adalah satu bentuk kepatuhan dan kebertanggungjawapan yang tinggi dan boleh diperolehi dalam ibrah kisah Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim. Ketaatan seorang hamba kepada tuhannya, dan kepercayaan anak kepada figura bapa.
Saya petik kata-kata Datuk Dr. Siddiq Fadzil- Begitulah yang selalu dilakukan oleh para penguasa teror sepanjang zaman, membunuh pencabar dan pengkritiknya. Tetapi dalam situasi seperti itulah pula terserlahnya keunggulan Ibrahim `a.s. sebagai pahlawan dakwah yang pantang menyerah, biar hangus menjadi arang, biar hancur menjadi abu. Komitmen seorang mujahid dakwah ialah mempertahankan risalah hingga ke titisan darah terakhir. Baginya tidak ada yang lebih berharga daripada kebenaran (al-haqq)petunjuk Tuhan.
Syukur, pada tahun 2016 ini menyaksikan momen-momen pengorbanan tanpa sia yang telah dicurahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim buat sekian lama. Kebenaran demi kebenaran tersingkap. Pengorbanan beliau dalam memastikan komitmen reformasi sejak 1998 membuktikan beliau di pihak yang benar.
Meski diakui, generasi kini adalah generasi yang tercicir dari sejarah pengorbanan serta kemampuan untuk alih upaya menjadi penggerak perjuangan. Justeru, ayuh kita garap ibrah daripada sosok Nabi Ismail A.S yang membawa nilai murni seorang anak muda.
Peristiwa korban tentunya mendidik umat Islam, khususnya anak muda tentang makrifat pengorbanan dalam mencari redha Allah S.W.T.
Walaupun dirinya masih dalam usia yang muda ketika itu, namun itizam, keihklasan, dan keyakinannya kepada janji Allah S.W.T memudahkan Nabi Ismail melaksanakan tanggungjawabnya demi mengejar keredhaan Allah S.W.T seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran:
” Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Wahai anak ku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah akan pendapatmu! Ia menjawab: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insyallah kamu akan melihat diriku sebagai golongan orang-orang sabar.” (As-Shaffat: 102).
Oleh itu, anak muda perlu mengambil iktibar keikhlasan,keyakinan dan semangat pengorbanan Nabi Ismail a.s dalam menempuhi cabaran hidup tatkala diduga dengam ekonomi dan kos hidup yang semakin meningkat.
Walaupun dengan ujian dana pendidikan tinggi, serta dibelenggu hutang pengajian, ditambah lagi dengan dasar-dasar yang bakal menyukarkan anak muda untuk memiliki rumah pertama kelak. Namun, janganlah itu dijadikan alasan untuk anak muda culas dalam kebaktian kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat umumnya. Kesukaran-kesukaran ini harus didepani dengan berani seperti yang ditonjolkan oleh Nabi Ismail A.S.
Semangat dan harapan adalah dua enjin utama yang memastikan pengorbanan kekal relevan. Setinggi tahniah saya ucapkan kepada Mohamad Ridzuan, Muhamad Ziyad Zolkefli dan Latiff Romly yang berjaya meraih pingat emas di Paralimpik Rio,Brazil. Usaha dan pengorbanan insan-insan berlian inilah yang berjaya menggegar arena Rio dengan suara Negaraku tidak seperti sesetengah individu yang menyebabkan negara masyhur dengan seribu sebab yang salah.
Sekalung penghargaan juga saya ucapkan kepada umat Islam di Parlimen Lembah Pantai atas usaha dan pengorbanan dalam meneruskan keberlangsungan hidup di tengah-tengah kota yang penuh cabaran. Pengorbanan anda menjadi kekuatan kepada saya untuk memberi sepenuh komitmen, masa dan tenaga demi mengangkat suara dan harapan rakyat Lembah Pantai demi kesejahteraan hidup.
Supaya AidilAdha kali ini dapat merapatkan ukwah dan semangat pengorbanan yang jitu bagi rakyat di Parlimen Lembah Pantai.
Moga-moga Aidiladha 1437H ini mampu memberi makna dan manifestasi penerusan perjuangan.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN